
Dari titik permulaan saya menyedari kewujudan saya sebagai manusia, Al-Quran telah berpusat dalam hidup saya. Pada pemulaannya, Al-Quran menjadi satu kesusahan. Sebagai seorang kanak-kanak di Malaysia pada awal tahun 1980an, Al-Quran menjadi pembukaan siaran televisyen RTM pada pukul 5 petang. Jadi, sebelum saya menonton kartun-kartun kegemaran, terpaksalah saya mendengar bacaan ayat-ayat suci. Saya tidak memahami mengapa aturannya begitu tetapi apakan daya, dah terpaksa.
Saya masuk sekolah rendah pada tahun 1983. Itulah permulaan saya meniti Pendidikan Agama Islam, matapelajaran untuk mengindoktrinasikan murid-murid seagama. Saya amatlah bingung tentang siapa yang kami pelajari pada ketika itu. Tiba-tiba kami terpaksa belajar mengenai figura-figura asal-usul Nabi. Selepas itu, mengenai Nabi sendiri dan sejarahnya. Peristiwa penerimaan wahyu Al-Quran menjadi butiran sahaja dalam naratif ini.
Saya juga belajar mengaji (bukan mengkaji!) Al-Quran oleh seorang ustaz. Itu bukanlah kerja sepenuh masanya. Dia sebenarnya peniaga pisang. Dia selalu datang ke rumah saya dan mengajar saya mengaji. Kadang-kadang dia tertidur jadi saya tidak tahu kalau bacaan saya betul atau salah. Setelah khatam tiga kali, maka saya pun tutup buku dan tidak membukanya sehinggalah tingkatan tiga.
Dalam tingkatan tiga, semasa umur saya 14 atau 15, satu bab dalam matapelajaran agama telah membangkitkan satu kesedaran dalam diri saya tentang kebesaran Islam. Saya terus mula menggeledah koleksi buku-buku agama arwah datuk saya untuk mendapat tahu lebih lanjut tentang agama Islam. Pada ketika itulah, saya menjumpai ilmu tasawwuf dan sesuatu telah bergema dalam hati.
Tasawwuf telah berjaya di mana matapelajaran agama Islam telah gagal – iaitu membangkitkan perasaan cinta saya kepada Tuhan dan agamanya. Pembacaan saya telah membawa untuk memahami sedikit sebanyak tentang peranan Al-Quran dalam hidup saya – iaitu satu kitab yang mengandungi isikandungan yang memberi permata-permata hikmah tentang Tuhan dan kewujudan manusia. Saya cukup minat dengan pendekatan Al-Quran oleh Al-Ghazali (Mishkat al Anwar, Jawahir al Quran ), Ibn ‘Arabi (Fusus al Hikam) dan Jalaluddin Rumi (Mathnavi)
Dengan tasawwuf, semua aspek Islam yang lain telah tersusun rapi dan indah. Islam adalah sistem hidup manusia yang unggul dan dapat membawa tamadun manusia ke mercu kejayaan.
Namun, pada umur 17, saya belum memaham permasalahan dalam Islam. Ketika itu, belum ada internet dan maklumat pun dikawal oleh kerajaan Malaysia. Saya agak kurang selesa dengan realiti yang umat Islam jauh ketinggalan pada zaman ini. Bagaimanakah agama Tohan tidak memimpin umatNya untuk ke mercu kejayaan.
Pada umur 20 iaitu tahun 1996, saya telah datang ke United Kingdom untuk meneruskan pembelajaran ke universiti. Pengembaraan ini telah membuka mata saya kepada satu dunia baru yang belum pernah saya alami – iaitu dunia pemikiran bebas.
Carian pertama saya di internet – semasa itu, Google pun belum wujud – ialah ‘islam’ dan di situ saya menjumpai laman web yang akan mengubah haluan hidup saya seterusnya iaitu www.submission.org
Slogan, ‘The Quran, The Whole Quran and Nothing but The Quran’ telah mengejutkan saya. Bukankah Islam itu sepatutnya terdiri daripada Quran dan Sunnah. Saya pernah terdengar tentang desas-desus golongan Anti-Hadis semasa di Malaysia tetapi inilah kali pertama saya menjumpai fikrah ini.
Dalam jangkamasa lebih kurang setahun berikutnya, saya telah menelaah buku-buku dan memikirkan tentang fikrah quranisme. Pada zaman itu, kalimah ‘quranisme’ sendiri belum dimeterai dalam pemikiran kita.
Satu daripada masalah yang tidak dapat saya atasi adalah dalam isu murtad. Hadis dan Sunnah amatlah jelas tentang hukum bunuh untuk kesalahan ini. Al-Quran pula tiada langsung apa-apa hukum berkenaan ini. Malah, Tuhan telah melarang Nabi sendiri dari memaksa orang untuk beragama! Mengapa, dalam isu yang begitu asas ini, ada percanggahan yang nyata?
Tahun berikutnya, iaitu 1997, semasa pulang bercuti ke tanah air, saya telah menjumpai buku yang menjadi faktor pemutus dalam halatuju fikrah saya. Setahun yang sebelumnya, saya telah menimbang hujah-hujah kedua-dua pihak, Quranis dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Tetapi buku ini mengubah segalanya.
Keluarga kami menziarahi sanak saudara di Pulau Pinang setahun sekali pada zaman itu. Seorang pakcik yang mempunyai minat yang sama iaitu subjek agama telah kami ziarahi. Saya suka menggeledah kutubkhanahnya yang, walaupun kecil, mempunyai buku-buku yang sukar dijumpai dan amatlah dalam (rare and deep).
Di situlah saya menjumpai kitab yang memberi keputusan untuk meninggalkan aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan mengikut aliran quranisme. Kitab ini telah memberi hujah-hujah yang begitu sistematik sehingga saya tidak dapat menjawabnya. Dua puluh lima tahun selepas menjumpai kitab ini pun, saya masih tidak dapat menjumpai satu jawapan sistematik kepada hujah-hujah tersebut.
Kitab ini ialah ‘Hadis – Satu Penilaian Semula’.
Inilah sebab mengapa tajuk karya ini saya pilih sebagai ‘Al-Quran – Satu Penilaian Semula’, sebagai satu penghormatan kepada Allahyarham mentor saya, Dr Kassim Ahmad. Dia telah menulis buku ‘Hadis: Satu Penilaian Semula’ lebih tiga puluh lima tahun yang lampau dan menggerak pemikiran jutaan orang ke arah membaca Al-Quran secara berfikiran kritikal.
Dan karya yang saya nukilkan bertajuk ‘A-Quran – Satu Penilaian Semula’ kerana, pada saya, cara kita berinteraksi dengan Al-Quran perlulah difikirkan semula.
Mengapa kita perlu menilai semula Al-Quran? Bukankah kita sudah ada satu rangka kerja (framework) di mana kita boleh memahami peranannya dalam hidup kita? Rangka kerja ini disediakan agamawan dahulu dan diwarisi agamawan-agamawan kini.
Sebabnya ialah, jika kita mengukur pencapaian Muslimin dengan kayu ukur Al-Quran, maka kita akan melihat dua kemungkinan – sama ada Al-Quran tidak memberi falsafah yang paling ampuh, utuh dan mantap ataupun kaum Muslimin tidak membaca and menerapkan Al-Quran dengan betul.
Saya telah menjumpai hujah yang telah mengubah halatuju tetapi ini bukan pengakhiran perjalanan saya. Ia hanya permulaan.
Berikut: menerokai dunia Quranis.
Leave a Reply