Al-Quran – Satu Pernilaian Semula (Bhg 2 – Menerokai Dunia Quranis)

Setelah saya memeluk pendekatan quranisme, saya memulakan kesedaran baru dalam keagamaan peribadi saya. Semasa saya menjadi Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebelumnya, saya terpaksa mengikut pandangan-pandangan agamawan tersohor walaupun saya tidak setuju (seperti ‘kesalahan’ murtad yang mewajibkan hukum bunuh) dan mereka banyak berbeza pendapat sesama sendiri. Jika saya berbeza pendapat dengan mereka, maka saya terpaksa akur dengan pendapat mereka kerana mereka kononnya telah mengorbankan hidup dalam pencarian ilmu padahal saya hanyalah budak-budak mentah yang umur setahun jagung dalam agama.

Ini adalah terbalik dengan dunia Quranisme. Dalam dunia kami, tiada siapa yang memegang otoriti. Semua orang dapat mengajukan pendapat. Masing-masing bertanggungjawab untuk mencari jalan sendiri. Ini selari dengan falsafah Quran di mana kita kena bertanggungjawab ke atas segala ikutan kita.

Seperti yang saya katakan, saya memulakan interaksi saya dengan quranis pada tahun 1996 semasa saya menelaah laman web www.submission.org . Walaupun ide-ide mereka menarik, saya tidak dapat menerima ide-ide tersebut disebabkan beberapa perkara:

1. Kod 19 – mereka berpegang kepada kepercayaan yang Al-Quran mempunyai satu kod dalam bilangan huruf-huruf and kalimah-kalimahnya. Kod itu menunjukkan kemukjizatan kitab ini. Pada saya, kod ini adalah subjektif kerana kriteria-kriteria pengiraan telah diputuskan oleh manusia.

2. Penyingkiran dua ayat dari Al-Quran – akibat kod 19 edisi kedua, dua ayat dari Al-Quran (9/128 dan 129) terpaksa dikeluarkan kerana tidak mematuhi corak kod! Yang hairannya, kedua-dua ayat ‘palsu’ ini pun ada ciri-ciri kod sendiri di antara mereka.

3. Kerasulan Rashad Khalifa – pengasas konsep kod 19, Dr Rashad Khalifa, telah mengumumkan kerasulannya dan saya tidak dapat menerima klaim ini.

Setelah saya menerima pendekatan quranisme pada tahun 1997, saya telah berjumpa dengan seorang lagi pelajar antarabangsa di UK seperti saya. Beliau dari Pakistan dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luar biasa tentang Al-Quran. Sebenarnya, dalam lebih sedekad yang menyusul, saya tidak dapat menjumpai pembaca Al-Quran yang lebih memahami teks ini lebih daripadanya. Dia telah mempunyai laman web sendiri (sekarang tidak lagi wujud) dan telah menulis artikel-artikel tentang Al-Quran.

Mungkin karangannya yang paling besar ialah mengenai otoriti Al-Quran sebagai sumber ulung dan unggul Islam. Dalam karangan ini, dia telah menyenaraikan semua hujah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan memberi semua jawapan. Sehingga hari ini, hampir dua puluh lima tahun kemudian, risalahnya masih belum dijawab.

Dia juga telah mengenalkan saya dengan beberapa individu dan organisasi lain dan lebih penting lagi, dengan quranis dari tanahair sendiri.

Pada tahun berikutnya iaitu 1998, saya diperkenalkan kepada Tolu-islam. Ia satu organisasi yang diasaskan di Pakistan pada tahun 1938, jadi ia hanya lebih kurang enam puluh tahun. Pengasasnya, Ghulam Ahmed Parwez baru sahaja meninggal pada ketika itu iaitu pada tahun 1985.

Tujuan utama Tolu-islam ialah mempromosikan Islam sebagai satu sistem sosial/ekonomi/politik. Parwez telah mengkarya lebih kurang lima puluh buah buku dan risalah untuk membutirkan sistem ini bersama teorinya.

Karya Parwez yang lengkap dalam bahasa Inggeris ialah ‘Islam: A Challenge to Religion’ (Islam: Satu Cabaran kepada Agama) walhal selainnya dalam bahasa Urdu. Saya telah menyerap buku ini dan mendapat anjakan paradigma dalam konsepsi saya tentang Islam. Belum pernah saya melihat Al Quran diapplikasi sebegitu rupa.

Satu lagi karya Parwez yang memperuja minda saya ialah ‘Lughatul Quran’ yang hanya sebahagian kecil diterjemah pada masa itu. Karya ini menerangkan maksud-maksud kalimah Al Quran sebagaimana difahami sebelum Islam diperagamakan. Walaupun hanya membaca sebahagian kecil, minda saya begitu tercetus dengan karya ini.

Namun demikian, saya tidak dapat lari dari kritikan terhadap Toluislam. Umpamanya, mereka terlalu memberi fokus kepada konsep negara Islam (ad dawlah al-islamiyah) walaupun Al-Quran tidak mempunyai frasa ini pun! Mereka juga telah menerima banyak konsep asasi Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang saya tolak.

Kawan saya, pelajar antarabangsa dari Pakistan itu, telah terlibat dengan satu organisasi di Pakistan iaitu International Islamic Propagation Centre, IIPC (Pusat Dakwah Islam Antarabangsa). Dengan video-video mereka, saya berkenalan dengan fikrah Mohamed Shiekh.

Prinsip utama Mohamed Shiekh yang saya terima ialah bahawa Al Quran itu kitab yang hidup. Maka, ‘sejarah’ dalam Al Quran ialah seperti cerita yang berulang dengan hanya pemain wataknya yang berubah.

Sebagai contoh, konsep ‘bani israil’ ialah kumpulan yang ada bersama mereka kitab wahyu. Maka, bani israil pada masa ini bukanlah kaum Yahudi tapi umat Islam sendiri.

Dengan pendekatan Mohamed Shiekh ini, ayat Al Quran bagi saya telah menjadi kitab hidup. Saya mendapati yang ia bukan lagi buku sejarah, sebaliknya, kita sendiri wujud dalam naratif Al Quran.

Sama juga dengan Ghulam Ahmed Parwez, saya tidak dapat menerima kesemua fikrah Mohamed Shiekh. Pada saya, dia tidak cukup mendalami maksud-maksud kalimah Al-Quran dan hasilnya, analisa dia ada bermasalah.

Ada juga satu quranis yang mencetuskan anjakan paradigma saya. Saya tidak pernah membaca kitabnya yang dikarya sendiri tetapi saya membaca komentar mengenai fikrahnya. Dia ialah Inayatullah Khan Al Mashriqi yang menulis kitab ‘Tadhkirah’ and beberapa kitab sepertinya.

Saya membaca kitab komentar ‘Tadhkirah’ iaitu ‘Quran and Evolution’. Dari kitab ini, saya mempelajari yang skop Al Quran ialah universal, kemanusiaan sarwajagat. Takdir manusia sebagai satu umat ialah untuk memperolehi evolusi spesis kita. Mungkin inilah maksud khilafah yang sebenarnya.

Pemikir-pemikir di atas saya telah diketemukan oleh sahabat saya secara tidak langsung. Tetapi dia juga memperkenalkan saya kepada pemikir secara langsung. Mereka ialah ‘Kedua Syed Ali’. Mereka daripada dua jenerasi berbeza tetapi mempunyai fikirah yang hampir sama. Syed Ali yang tua menunjukkan kepada saya bagaimana Al-Quran berfungsi sebagai kitab politik dan Syed Ali yang muda menunjukkan kepada saya bagaimana Al-Quran berdialog dengan falsafah. Ini berlaku dalam sekitar tahun 1999.

Sebelum perubahan abad dan kedatang abad dan alaf baru, saya diperkenalkan dengan fikrah quranis dari Syria iaitu Dr Mohamed Shahrour. Dia telah menulis buku ‘Al Kitab Wal Quran’ yang mempraktikkan prinsip ‘ghayr taraduf’  iaitu ‘dengan tiada sinonim’. Selalunya, kita tidak melihat prinsip ini dipraktikkan. Bilamana dua perkataan hampir sama, agamawan tidak mendalami perbezaan-perbezaan halus di antara perkataan-perkataan itu. Padahal, kehalusan inilah yang akan mengeluarkan maksud kalimah-kalimah yang dalam.

Walaupun saya telah mengambil prinsip ini, saya tidak dapat menerima pendapat-pendapat Dr Shahrour hasil daripada prinsip ini. Contohnya, dia berpendapat yang kalimah ‘Al Kitab’ merujuk kepada mushaf Al Quran secara keseluruhan. Ayat-ayat hukum pula ialah ‘umm al kitab’ dan adalah fungsi kerasulan. Selain itu,  kalimah ‘Al Quran’ merujuk kepada kisah-kisah dalam mushaf, perumpamaan-perumpamaan, huruf-huruf muqataat dan sebagainya. Saya tidak setuju dengan pandangan ini kerana ada percanggahan dengan beberapa ayat dan konsep am Al-Quran tetapi prinsip Dr Shahrour saya praktikkan dalam pembacaan saya.

Sejak dari tahun 1996 lagi, saya tidak lagi belajar dari tafsir-tafsir Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Namun begitu, pada tahun 2001, dunia tafsir saya digempakan oleh satu prinsip yang serta-merta menjadi tunggak kepada pembaçaan Al Quran saya iaitu qira’ah munadhdhamah (bacaan yang mematuhi konteks dan susunan ayat).

Buku yang membangkitkan kesedaran ini ialah ‘Coherence in the Quran’ oleh Mustansir Mir. Dia telah mengungkapkan fikrah dua ahli tafsir Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Hamidduddin Farahi dan Amin Ahsan Islahi. Islahi menjadi pemikir yang membangunkn sistem ini. Islahi menteorikan bahawa susunan Al- Quran dalam tiap-tiap surah, surah kembar (twin chapters) dan kumpulan surah (chapter groupings) mempunyai fungsi dalam tafsir. Jadi, walaupun pemikir-pemikir ini dari kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah, mereka tidak mematuhi ulumul Quran yang lazim.

Saya banyak belajar dari buku ini. Malah, saya berani berkata yang inilah prinsip utama yang mendorong bacaan saya sehingga hari ini. Selain dari teori, saya juga memikirkan tentang kembar-kembar tiga dan empat, konsep surah-surah kemuncak, surah-surah ringkasan dan rumusan dan sebagainya. Sebenarnya, susunan Al-Quran adalah kunci kepada lautan permata hikmah tetapi konsep ini tidak difikirkan oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah di Malaysia!

Pada tahun berikutnya, 2002, saya berpeluang melihat sendiri process di mana sesebuah buku dilahirkan dari konsepsi ke penulis ke penerbitan. Buku ini ialah ‘Arab Conspiracies Against Islam’ yang ditulis oleh Aidid Safar, seorang pemikir quranis yang amat radikal pada ketika itu.

Dia berpendapat yang ‘deen’ itu bukan agama tetapi ‘cara hidup yang tersusun’. Semua konsep yang dikaitkan dengan agama seperti, solat, haji, umrah, sawm dan sebagainya mempunyai maksud berlainan yang lebih berpaksi kepada kehidupan manusia dalam realiti. Solat umpamanya ditafsirkan sebagai komitmen.

Penemuan Aidid Safar ini juga telah memberi anjakan paradigma kepada saya. Buat pertama kalinya, saya memahami bagaimana kita boleh beriman dengan hakikat ketuhanan Al-Quran. Ia menjadi jauh lagi powerful apabila konsep-konsep yang dijadikan ritual kembali kepada maksud asal.

Seperti biasa, saya tidak dapat menerima kebanyakan hasil tafsiran pemikir dan saya telah melahirkan sendiri tentang apa yang dimaksudkan oleh konsep-konsep tersebut.

Berikut: Teori bacaan Al-Quran saya sendiri.

About Farouk Peru 14 Articles
Editor dan penulis utama Wacana Pemikir Jaringan Quranis Bersatu

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*