Bagaimana Insan Mengetahui Sesuatu Daripada Falsafah Evolusi Ilmu bhg 1

oleh Ahmad Kamil Mohamed

Konsep dan falsafah sains dipermudahkan Untuk Bacaan Umum

Kenyataan:

Setiap insan melalui proses evolusi mengetahui sesuatu daripada tidak tahu (jahil) kepada tahu (berilmu) tentang sesuatu itu. Saya namakan fenomena ini proses evolusi ilmu pengetahuan insan dan peradaban tamadun manusia.

Di peringkat individu ada perkara yang kita tidak tahu ketika usia 10 tahun kemudian kita mengetahuinya bila berusia 21 tahun contohnya hidup berkerjaya. Begitu juga  peradaban manusia, ada perkara yang generasi manusia tidak mengetahuinya pada satu zaman contohnya pada tahun 1800 dan mengetahuinya pada tahun 2020. Contohnya ilmu pengetahuan manusia tentang virus dan sistem imunisasi manusia terhadapnya. Maka manusia melalui evolusi pengetahuan secara berperingkat.

Di zaman moden perkembangan evolusi ilmu pengetahuan ini disebut perkembangan sains dan teknologi. Begitulah falsafah sesebuah universiti contohnya Iowa State University of Science and Technology, tempat saya belajar satu ketika dahulu di Amerika Syarikat.

Boleh atau tidak manusia menjadikan proses evolusi ilmu itu mati (stagnant). Dengan mengemukakan teori “the end of science?” Atau falsafah (pemikiran) dan pengetahuan lama atau terkini yang hebat tidak boleh dipertikaikan dan disanggah lagi oleh ilmuan (saintis) hari ini dan akan datang? 

Bagi saya seseorang itu BOLEH mematikan perkembangan fikirannya dan ilmunya di sesuatu tahap. Tetapi perbuatannya dari sudut falsafah pengertian ilmu moden yang saya pelajari menyatakan ianya melanggar sunnatullah atau “the laws of the universe.” Perkara ini akan saya jelaskan.

Ada ke orang dan kaum yang menganuti falsafah pemikiran yang statik ini? Ada. Saya ada mencatitkannya dalam buku karangan saya “Keunggulan Berkomunikasi Dalam Era Masyarakat Informasi,” terbitan DTP Enterprise Sdn Bhd, Kuala Lumpur 1995. 

Suku kaum yang perkembangan ilmu pengetahuan mereka terhenti akan ditelan zaman atau bakal menghadapi kepupusan. Ia satu kajian yang dilakukan oleh National Geographic.

Ilmu adalah makna yang dibentuk oleh akal fikiran manusia yang mahu memikir dan mengkaji tentang sesuatu perkara, dalam istilah sains disebut fenomena. Fenomena pula adalah apa sahaja yang wujud dan berlaku di luar diri contohnya gerhana bulan dan dalam diri manusia contohnya darah. Dari sudut Alquran ia meliputi setiap ciptaan Allah dan kejadian semulajadi yang berkaitan dengan proses alam dan aktiviti manusia. 

Pertama manusia diciptakan memiliki akal, hati dan pancaindera untuk membolehkan mereka menjadi peneroka ilmu. Kedua fenomena yang wujud di luar dan dalam diri manusia itu pula mengandungi informasi, dalam istilah sains disebut “data” atau “bits of information”. Dalam istilah Alquran ia disebut ayat.

Perkara ini pernah saya bentangkan dan tuliskan antaranya  dalam rencana berjodol “Alquran: Maklumat Asas Sistem Kognitif Muslim” Berita Harian, terbitan 9 Mei 1990 dan “Saintis Terokai dan Hayati Alquran” yang diterbitkan di dalam Berita Minggu 17 Februari 1991. 

Ia adalah hasil daripada pengkajian saya tentang informasi (ayat-ayat) daripada Alquran berkenaan perkara ini dan informasi (ayat-ayat) daripada kajian falsafah ilmu sains tentang fenomena yang dihuraikan oleh sarjana dan saintis termasuk pemenang Hadiah Nobel Francis Crick dan James Watson yang hasilnya saya bentangkan kertas saya bertajuk “An Iinformation Base For An Ethical Being” di Seminar abtarabangsa “Communication From An Islamic Perspective” pada tahun 1988.

Saya hanya melakukan sintesis dan meneruskan usaha mengambil pelajaran daripada sarjana-sarjana seperti Profesor Ismail Faruqi dan Dr Imaduddin dan ramai lagi dari pelbagai latarbelakang, keturunan dan bangsa di serata dunia.

Kenapa saya ingin meneruskan usaha ini? Sebab utama saya bermotivasi untuk menyampaikan apa yang saya temui sebagai kebenaran tentang realiti dan untuk memartabatkan diri dan kaum yang ingin mengambil pelajaran.

Jadi langkah ini hanya akan berterusan jika saya menemui kalangan yang mempunyai sikap, pemikiran dan pendekatan yang hampir sama. 

Nota: 

Bahagian 1 daripada 3 Bahagian.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*