Bolehkah Islam terdedah kepada Penghinaan?

oleh Ghazali Long

Bahagian I: Konflik Agama

Sejak kebelakangan ini, termasuk pelbagai peristiwa yang berlaku di Malaysia dan juga di luar negara, umat Islam, dari masa ke semasa telah dihadapkan dengan pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.  Ini tidak menampakkan penghujung, apatah lagi dengan perkembangan media sosial yang terbuka, kebebasan untuk mengemukakan pendapat sukar dibendung.  Jadi perkara seperti ini jelas seperti tiada penghujungnya, dan umat Islam nampaknya terpaksa bergelut atau menelan pelbagai pendirian yang berbeza yang sukar diterima.

Sampai bila umat Islam terpaksa berdepan dengan keadaan sebegini?  Bolehkan ianya dibendung? Jika ianya berlaku di dalam negara, paling tidak, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang.  Tetapi, dalam keadaan media sosial yang tiada batasan sempadan negara, dengan isi kandungan media sosial yang tidak lagi kenal sempadan antarabangsa, kita tidak akan dapat membendung kritikan, ekspresi terbuka dari luar.  Kita hanya boleh melihat komen-komen media sosial dari pelbagai pihak, dan bagaimana hujah yang berbeza dari pelbagai pihak telah menimbulkan pelbagai persoalan tentang apakah kebenaran yang sebenar.

Platform media sosial telah memberi ruang kepada pelbagai pihak, untuk meluahkan isi pandangan dan perasaan masing-masing, sama ada di atas ketidakpuasan hati, kritikan, atau sebagai ruang untuk menekankan ideology masing-masing.

Media sosial dan intenet telah memberi ruang keterbukaan yang amat sukar bagi orang Islam untuk menerima kritikan atau tohmahan dari pelbagai pihak.  Bukan itu sahaja, umat Islam hari ini telah disajikan dengan pelbagai informasi-informasi baru yang menggugat kepercayaan umat Islam yang telah dipegang sejak sekian lama dari generasi ke generasi.

Perbalahan antara umat Islam juga tidak dapat dibendung dengan pelbagai konflik antara “school of thoughts” yang menyebabkan satu pihak menjadi defensive atau tercabar.  Ini jelas menunjukkan terdapat elemen ketidakpastian yang sukar dibuktikan, terutama bagi pihak yang terasa terhina.

Persoalannya sekarang, sampai bila umat Islam terpaksa menanggung sensitiviti agama dalam konteks dunia media sosial yang tiada batasan?  Hari ini kita dapat menyaksikan pelbagai hujah dari seteru Islam yang membangkitkan pelbagai soalan yang sukar dijawab secara konklusif, atau menjawab dengan sekadar penafian.  Dan persoalan-persoalan ini tidak lenyap dan akan terus menghantui umat Islam sebagai perkara sensitive.

Bagi mereka yang tidak faham atau sedar tentang apa yang sedang dibahaskan di pelbagai platform sosial media, ini tidak memeranjatkan kerana pada amnya umat Islam seperti telah berasa selesa dengan apa yang telah mereka fahami sejak kecil dari naratif tradisional.  Tetapi bila sesuatu isu timbul yang menyentuh sensitiviti agama, mereka berasa resah seolah-olah agama Islam itu telah di ancam.  Apa yang terancam adalah kepercayaan, bukan Islam itu tersendiri.

Untuk meneliti permasalahan sensitiviti agama, kita akan kupas tiga isu yang telah timbul baru-baru ini berkaitan dengan penghinaan agama.  Adakah betul Islam boleh terdedah pada penghinaan?

1. Komen Nupur Sharma terhadap Nabi Muhammad.

Pada penghujung Mei 2022, telah terbit satu pendebatan di siaran TV Times Now berkenaan pertikaian masjid Gyanvapi yang pada asalnya adalah sebuah Kuil. Di dalam pendebatan tersebut, Nupur Sharma telah membuat kenyataan balas terhadap Taslim Ahmed Rehmani yang telah membuat kenyataan yang menghina Tuhan Hindu di dalam perdebatan tersebut.  Nupur Sharma telah membuat rujukan hadith mengenai perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aisha ketika Aisha masih kanak-kanak.

Amat menarik untuk kita perhatikan perbandingan reaksi orang Hindu kepada penghinaan Tuhan Hindu dengan reaksi Orang Islam terhadap Nabi Muhammad.  Kenyataan Taslim Ahmed Rehmani langsung tidak mendapat perhatian, tetapi komen Nupur Sharma telah mendapat reaksi meluas dan antarabangsa, sehingga menyebabkan rusuhan oleh umat Islam dan menyebabkan kematian seorang warga Hindu.

Dalam debat yang mula berbaur penghinaan kepada kepercayaan Nupur Sharma, dia telah merujuk kepada petikan hadith dan sirah yang amat di ketahui umum oleh umat Islam.  Umat Islam mana yang tidak mengetahui tentang perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aisha yang berumur 6 tahun.  Nupur Sharma bukannya mencipta pembohongan atau memfitnah Nabi Muhammad, tetapi hanya bertanya kembali kepada lawan debatnya, apa perasaan Taslim terhadap perkahwinan tersebut. 

Jika umat Islam telah terima perkara itu sebagai satu kebenaran dan kebiasaan, tidak ada sebab untuk umat Islam berasa terhina. Ada banyak penceramah-penceramah Islam yang mengimbau dan mengupas peristiwa perkahwinan Aisha dan menggambarkan ianya adalah sesuatu yang amat istimewa.  Perasaan hina terbit kerana perkahwinan kanak-kanak adalah sesuatu yang janggal dalam masyarakat sivil atau madani hari ini, dan dianggap menyalahi undang-undang serta merampas hak kanak-kanak untuk melalui zaman kehidupan sebagai kanak-kanak.

Apa yang berlaku ialah umat Islam tidak dapat menerima paradox yang bertentangan antara naluri dalaman dengan fahaman doktrin kurun ke-7.  Umat Islam tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan pertembungan antara nilai insan dengan amalan kurun ke-7 yang dianggap sebagai Sunnah Nabi.

Apa yang umat Islam tidak sedar adalah catatan dan hadith tentang Nabi Muhammad tersebut adalah palsu.  Sarjana Islam yang meragui catatan tersebut mula membuat analisa dengan memeriksa catatan lain untuk mendapat kepastian.  Apa yang mengejutkan, mereka mendapati Aisha tidak berkahwin pada umur 6 atau 9 tahun, tetapi antara umur Aisha 19 atau 21 tahun. 

Apa yang lebih menarik, Al-Quran sendiri telah memberi garis panduan tentang perkahwinan dimana, usia kanak-kanak tidak menepati kriteria Al-Quran.  Amat mustahil bagi Nabi untuk melanggar perintah dari Al-Quran untuk membawa pembaharuan kepada nilai kehidupan yang lebih baik.

Di ayat 4:6, umur untuk mencapai perkahwinan, seorang itu haruslah di uji kematangan dalam mengurus harta. 

4:6  Dan ujilah anak-anak yatim (L-Yatama ) itu sehingga mereka mencapai umur berkahwin (BALAGHOO ANNIKAHA), Kemudian jika kamu lihat maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru  sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa yang kaya maka hendaklah ia menahan diri; dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas.

Di ayat 4:19 pula menerangkan perkahwinan haruslah secara rela dan bukan paksaan.

4:19 Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan PAKSAAN, dan janganlah kamu menyakiti mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu benci kepada mereka, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak.

Dan di ayat 4:21 pula mengingatkan kita bahawa perkahwinan adalah satu ikatan perjanjian yang kuat.  Tidak mungkin seorang kanak-kanak faham dengan implikasi mengikat perjanjian yang serius.

4:21  Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal KASIH MESRA kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula telahpun mengambil PERJANJIAN yang KUAT daripada kamu?

Dari ayat-ayat di atas, kita boleh rumuskan, Al-Quran memandang berat tentang kehendak asas sebuah perkahwinan.  Ianya jelas membawa pembaharuan dari amalan jahiliyah, di mana, perkahwinan kanak-kanak adalah suatu kebiasaan.

Sekiranya kita lebih yakin dengan Al-Quran, dan kini yakin hadith perkahwinan kanak-kanak yang membuat kita berasa malu dan hina adalah palsu, persoalan yang perlu kita kemukakan adalah mengapa hadith palsu yang sedemikian di tulis?

Adakah ianya ditulis supaya orang lelaki Arab yang masih mempunyai selera terhadap kanak-kanak, dapat meneruskan amalan jahiliyah tersebut, dan menggunakan Nabi sebagai alasan Sunnah untuk membolehkan amalan tersebut diteruskan?

Sekiranya kita menerima nilai-nilai yang diberi petunjuk dari Al-Quran, sudah tentu Nupur Sharma tidak mempunyai peluang untuk memburuk-burukkan Nabi. 

Kita pula tidak akan berasa terhina, walaupun dia mengulang tohmahan tersebut seribu kali, kerana kita tahu itu adalah palsu dan kita tidak perlu melayan konflik dalaman kita untuk menghalalkan perkara mungkar, iaitu perkahwinan kanak-kanak.

Berbalik kepada soalan asas, mengapa pula kita rasa terhina bila hadith itu dipetik ?  Umat Islam rasa terhina kerana kita sendiri tahu perbuatan mengahwini kanak-kanak adalah hina dan tidak bertamadun (jahiliyah).  Tetapi kerana kita telah dihidangkan dengan doktrin palsu dalam bentuk sunnah Nabi, dan kita telah di indoktrinasi untuk tidak mempertikaikan apa-apa perkara berkaitan agama, kerana itu semua telah dipersetujui oleh ilmuan-ilmuan agama sejak dahulu. Ilmuan-ilmuan agama juga telah dilatih untuk menerima hasil karya ulama terdahulu sebagai asas dan terulung, dan dengan itu, mereka juga tidak mempertikaikan apa yang mereka pelajari.

Mengapa orang Islam tidak dapat mengawal perasaan hina ini?  Adakah ini disebabkan oleh konflik dalaman kerana tidak dapat mencari penyelesaian antara perbuatan hina dengan sunnah Nabi?  Pemikiran rasional sudah tidak dapat digunakan lagi untuk mempertahankan perkahwinan kanak-kanak.  Kerana jauh di sudut hati, kita sedar yang kita sendiri tidak rela untuk menikahkan anak-anak kita yang masih dibawah umur.

2. Tayangan Filem Lady of Heaven.

Sebuah filem yang diterbitkan oleh Yasser Al-Habib, yang melakarkan perjalanan hidup anak perempuan Nabi Muhammad, iaitu Saidina Fatimah, telah mendapat tentangan dari golongan Sunni Islam di United Kingdom.  Filem ini diarah dari perspektif dan naratif Syiah yang memberi gambaran yang menyebelahi Saidina Ali dan Fatimah.  Tidak ada gambaran buruk terhadap Nabi Muhammad, sebaliknya digambarkan dengan penuh sanjungan dan rapat dengan Ali.

Apa yang dipertikaikan oleh pihak Muslim Sunni UK adalah gambaran negatif terhadap Khalifah Abu Bakar, Umar dan Uthman.  Mereka digambarkan dengan rupa paras yang bengis dan gila kuasa, serta tidak sabar untuk mengambil alih tampuk kepimpinan dari Nabi semasa nabi sedang nazak. 

Setelah kewafatan Nabi, filem tersebut memberi gambaran Fatimah dan Ali telah disisih oleh Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman.  Sebenarnya apa yang dipaparkan dalam filem tersebut tidak ada unsur untuk menghina Islam.  Yang menerbitkan filem tersebut cuma ingin mengangkat darjat anak perempuan Nabi, menantu Nabi yang juga sepupu Nabi, serta cucu Nabi.  Yang digambarkan secara negative adalah para sahabat-sahabat Nabi.  Ini cuma naratif Syiah yang kita perlu terima. Soal siapa yang benar, tidak timbul kerana ini adalah perspektif kepercayaan, dan penulis-penulis sejarah yang mana kita percaya, dari pihak yang bersengketa. 

Di negara Barat, di mana filem tersebut hendak ditayangkan, kebebasan untuk melahirkan ekpresi amat dihormati dan diberi ruang.  Begitu juga ruang untuk mengkritik atau berbahas, masyarakat Barat mencapai kematangan dalam menerima perbezaan pendapat.  Mereka ada keyakinan dalam pegangan ideology masing-masing dan sentiasa terbuka kepada idea atau pendapat baru yang berbeza.  Ini adalah ciri masyarakat yang progresif.

Namun orang Islam, yang telah berhijrah ke negara-negara maju, masih tidak dapat menyesuaikan ideologi dan keterbukaan pemikiran masyarakat Barat dengan pegangan keagamaan.  Masyarakat Islam seolah-olah mudah diancam dengan pemikiran berbeza, dan menggambarkan pegangan orang Islam terlalu sensitif dan tidak boleh dipersoalkan.

Masyarakat Islam yang ortodok masih tidak sedar bahawa reaksi mereka kepada fahaman yang tidak sehaluan, menunjukkan seolah-olah mereka berada dalam ketakutan dan dalam keadaan lemah.  Dalam konteks Islam itu sendiri, ini menggambarkan sifat keimanan yang lemah.  Dan keimanan umat Islam nampaknya mudah diganggu dengan pemaparan sebuah filem Syiah.   

3. Comedy Crackhouse.

Budaya stand-up comedy bukanlah sesuatu yang biasa dalam masyarakat Melayu Islam.  Stand-up comedy, atau komediri  adalah jenaka pertunjukan pentas yang menghasilan bahan-bahan jenaka dari pelbagai sumber.  Kandungan komediri biasanya memberi perspektif berbeza dari sudut jenaka ke atas pelbagai situasi harian, yang mungkin asalnya sesuatu yang serius pada amnya.  Komediri juga digunakan sebagai kritikan dalam bentuk jenaka, untuk menyampaikan perspektif berbeza dalam sesuatu situasi.

Ada dua kes yang menjadi tumpuan dalam kejadian di Comedy Crackhouse.

Kes pertama adalah melibatkan seorang wanita yang menanggalkan pakaian baju kurung dan tudung kepala dan memperlihatkan pemakaian yang dianggap seksi.  Aksi yang dilakukan bukanlah sesuatu kebiasaan dalam masyarakat Melayu Islam.  Namun kita perlu sedar aksi tersebut adalah didalam sebuah premis persendirian dan tertutup di hadapan konteks sekumpulan penonton yang boleh menerima aksi sebegitu rupa.  Ianya bukan nya di pasar malam atau di perkarangan masjid.  Jika dilakukan di perkarangan masjid, itu amat jelas mempunyai tujuan untuk menghina, seperti kes membaling kepala babi di masjid.

Bagi penonton komediri tersebut, aksi tersebut dianggap sebagai simbolik kepada penentangan diri wanita tersebut (rebel) kepada latarbelakang beliau yang konservatif.  Dia memaparkan dua imej berbeza untuk memperlihatkan konflik dalaman diri beliau, dan menganggap perubahan tersebut sebagai komedi kehidupannya.  Dari satu sudut, ianya bukanlah cerita lucu baginya, tetapi diolah sebagai aksi komedi, mungkin kerana dia telah selesa dengan keadaan dia ketika ini.  Walaubagaimanapun, aksi tersebut bukanlah sesuatu yang patut dipuji, apatah lagi persembahan serta skrip yang tidak menarik.

Apa yang sebenarnya yang berlaku, bukanlah satu penghinaan pada Islam.  Tidak ada seorang Islam pun mengalami tekanan atau saat kehinaan dalam dirinya.  Yang berlaku hanya kejutan kerana orang Islam tidak biasa dengan aksi seorang wanita yang begitu berani. Di alam maya internet, aksi sebegitu bukanlah sesuatu yang asing, seolah kita tidak pernah melihat aksi rebellious sesetengah wanita Islam untuk mengikut haluan tersendiri. 

Di Arab Saudi, pemakaian tudung kepala tidak lagi dianggap wajib setelah Putera Raja Muhammad Bin Salman mula membuat pembaharuan dengan menolak fahaman orthodok yang beliau kaitkan dengan hadith-hadith yang diragui.  Anehnya kita disini tidak berani pula untuk menyuarakan bantahan kepada Kedutaan Arab Saudi, sebagai penghinaan kepada syariah Islam. Adakah kerana kita hanya berani kepada wanita Melayu Islam?

Umat Islam sebenar tidak berasa hina pun sebab masih meneruskan rutin harian seorang Islam seperti biasa, seperti sembahyang, berpuasa, mendengar ceramah dan mengaji Al-Quran.   Umat Islam tidak merasa hina atau malu pun dalam melakukan segala ritual dan ibadat, walaupun selepas melihat aksi tersebut.

Umat Islam hanya terkejut.  Islam sebenarnya tidak terdedah sedikit pun kepada penghinaan.

Kes kedua pula melibatkan pemunya premis Comedy Crackhouse yang juga seorang penjenaka komediri.  Saudara Rizal sebenarnya meluahkan perasaan beliau dengan memberi perspektif yang berbeza.  Sudut pandangan beliau adalah dari perspektif yang neutral tetapi dengan nada jenaka.  Apa yang Rizal perkatakan adalah benar dan bukanlah rekaan tohmahan.  Kerana apa yang diperkatakan itu adalah benar, mengikut apa yang guru-guru agama telah ajarkan, bahawa orang bukan Islam akan masuk neraka.  Mengapa orang Islam harus tersinggung? Macamlah seperti orang bukan Islam baru mendapat tahu rahsia ini dari jenaka tersebut. Manakala orang bukan Islam langsung tidak tersinggung dan turut ketawa?  Sepatutnya orang bukan Islam yang rasa terhina kerana dikatakan akan masuk neraka.

Apakah yang sebenarnya yang berlaku di sini?  Adakah kerana saudara Rizal telah memecah rahsia kelas-kelas agama yang tidak patut di ketahui oleh orang bukan Islam?

Tapi semua orang bukan Islam telah tahu tentang ini sejak sekian lama.  Dan sebenarnya mereka tidak percaya atau kesah pun dengan apa yang orang Islam percaya iaitu orang bukan Islam akan masuk neraka.

Sama juga dengan kita yang tidak mempercayai kepercayaan Kristian yang anggap orang Islam akan masuk neraka.   Orang Barat pun ramai membuat jenaka tentang neraka Kristian.  Tapi tak ada orang kena tangkap atas sebab penghinaan.  Ini bermakna orang Kristian amat yakin dengan heaven & hell mereka.  Mereka sedikit pun tidak terasa hina dengan pelbagai jenaka terhadap mereka oleh penjenaka mereka.

Adakah orang Islam marah kerana mereka tidak percaya apa yang orang Islam percaya?  Kita tidak boleh paksa kepercayaan kita pada orang lain.  Orang bukan Islam pun tidak boleh paksa orang Islam untuk percaya apa yang mereka percaya.

Jika orang Islam begitu percaya bahawa orang bukan Islam akan masuk neraka, apa yang saudara Rizal bangkitkan adalah benar sekali.  Kita patut beritahu mereka.  Tapi kita biarkan.  Mengapa?  Adakah kita malu atas sebab perbuatan kita ini?  Kita membiarkan sahaja orang bukan agama Islam masuk neraka?  Dan sebenarnya kita berasa hina dengan perbuatan kita sendiri?  Menjadikan syurga sebagai hak ekslusif orang Islam dan membiarkan orang lain masuk neraka?

Apa yang berlaku sebenarnya telah menimbulkan rasa tidak senang dalam diri kita dengan sikap kepercayaan kita sendiri.  Orang bukan Islam yang mendengar jenaka tersebut memang telah tahu perkara ini dan mereka turut ketawa.

Persoalan seterusnya, apa yang orang Islam boleh buktikan yang orang Islam telah dihina.  Jika kebenaran berada di pihak kita, maka kita tidak perlu berasa gusar, atau gelisah kerana kita akan masuk syurga.  Kita akan serahkan ini kepada Tuhan dan bukan menjadi Tuhan untuk membuktikan kita adalah benar dan akan masuk syurga sementara orang bukan Islam akan masuk neraka.

Bayangkan orang Kristian juga ingin buktikan mereka akan masuk syurga dan kita orang Islam akan masuk neraka.  Bukti apa yang kedua-dua belah pihak akan kemukakan?  Siapa yang akan membuat keputusan pihak mana yang benar?

Kesimpulan

Dalam ketiga-tiga contoh di atas, kita boleh lihat bahawa rasa hina itu terbit dari konflik kesedaran dalaman kita sendiri. 

Di contoh pertama, kita tidak boleh menerima kenyataan bahawa Nabi berkahwin dengan kanak-kanak apabila hadith tersebut itu dipetik oleh orang bukan Islam, tapi kita rasa ianya mulia bila ustaz-ustaz berbicara mengenainya, walaupun kini kita telah tahu ianya adalah hadith palsu dan fitnah terhadap Nabi Muhammad.

Di contoh kedua, kita yang beraliran Sunni tidak boleh menerima perbezaan kepercayaan atau pendapat dari aliran Syiah, dan menganggap ianya satu penghinaan, walaupun itu hanyalah pandangan Syiah yang berbeza terhadap sahabat Nabi sahaja.  Ini hanya menunjukkan kita tidak terbuka kepada perbezaan pendapat.

Di contoh ketiga, ianya adalah kejutan dari kebiasaan masyarakat kita.  Aksi-aksi tidak senonoh bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam masyarakat kita dan dunia luar.  Ianya telah menjadi perkara subjektif dan terpulang kepada cara mana setiap individu mahu melihatnya.  Adakah kita merasa tekanan mental akibat melihat aksi tersebut dan tidak dapat meneruskan kehidupan ritual harian kita sebagai seorang Islam seperti biasa? Jika jawapan adalah tidak, maka tidak ada kehinaan dengan kehidupan kita sebagai umat Islam.

Di dalam contoh ketiga, kita sebenarnya marah dengan diri kita sendiri, bila kita mula mengenal sikap islamofasis dalaman kita terhadap orang beragama bukan Islam.  Kita malu dengan sikap dan perbuatan orang Islam sendiri.  Malangnya kita tidak tahu bagaimana untuk menghadapi kenyataan tersebut, dan tidak mahu menyoal dan menilai diri kita sendiri.  Kita memilih jalan mudah dengan menyalahkan pihak lain dan menutup persoalan yang timbul kerana sukar untuk kita menjawabnya.

Di bahagian seterusnya, kita akan teliti mengapa kita merasa amat sukar untuk menjawab persoalan-persoalan ini. Kesukaran ini akhirnya dirumuskan sebagai sensitiviti agama yang kita tidak mahu sentuh dan mengelak dari dibincangkan secara terbuka.  Jika ini dibiarkan berterusan, umat Islam akan terus dihantui dengan pelbagai isu yang kononnya mengancam atau menghina agama Islam.  Islam sebenar tidak akan dihantui oleh situasi sebegini. 

Jika kita dihantui oleh perkara sebegini, maka itu bukanlah Islam sebenar yang diterangkan dalam Al-Quran. 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*