
Apakah cara agar anda tidak menduakan Tuhan tanpa pengetahuan?
Apabila ada seseorang cuba melarang anda untuk melakukan sesuatu atas nama agama, maka suruhlah dia mendatangkan bukti daripada firman Tuhan bahawa Dia telah melarang perkara tersebut.
Jika dia gagal mendatangkannya namun mengatakan bahawa Nabi telah mengharamkannya, maka suruhlah dia datangkan nama orang-orang yang membawa berita atas nama Nabi tersebut.
Jika dia telah mendatangkan nama-nama tersebut, maka suruhlah dia buktikan Tuhan telah menjamin bahawa nama-nama tersebut boleh dipercayai.
Jika dia memetik nama-nama orang lain yang memuji nama-nama tersebut di hadapan anda, katakanlah kepadanya bahawa anda tidak mengambil penjamin selain daripada Tuhan. Perumpamaan orang yang mengambil para penjamin selain daripada Tuhan adalah seumpama labah-labah yang membina sarang. Sesungguhnya selemah-lemah sarang adalah sarang labah-labah.
مَثَلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ اللهِ أَوْلِيَآءَ كَمَثَلِ ٱلْعَنكَبُوتِ ٱتَّخَذَتْ بَيْتًا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ ٱلْبُيُوتِ لَبَيْتُ ٱلْعَنكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ
“Perumpamaan orang-orang yang mengambil para penjamin selain daripada Tuhan adalah seumpama labah-labah yang mengambil sebuah sarang, dan sesungguhnya selemah-lemah sarang benar-benar adalah sarang labah-labah, kalaulah mereka mengetahui” [Al-Ankabut 29:41]

Setiap helai garisan benang labah-labah cuba menyokong helaian garisan benang yang lain namun sebenarnya setiap helai garisan benang tersebut adalah lemah belaka. Gambar di atas ialah jaringan yang kononnya merupakan para perawi Hadis yang saling bertemu satu sama lain.
Jika anda bertanya kepada para penganut Hadis siapakah yang menjamin setiap nama perawi tersebut, sudah tentu mereka akan mendatangkan nama-nama lain yang menjamin kebolehpercayaan para perawi yang terlibat. Lalu siapakah pula para penjamin kepada para penjamin tersebut? Jika soalan itu diteruskan tanpa henti ia akan berantai sepertimana berantainya sarang labah-labah. Ironiknya, tiada seorang pun di antara mereka yang setanding Tuhan dalam kesempurnaan jaminan.
Jika dia mengubah tajuk bicara dan mengatakan bahawa secara mata kasarnya perbuatan anda itu tidak baik, maka katakanlah kepadanya bahawa pandangan mata peribadi daripada orang tertentu tidak layak menjadi pemutus di antara baik dan jahat. Tuhanlah yang menjadi pemutus di antara benar dan salah, baik dan jahat.
Leave a Reply