
Oleh: Uthaya Sankar SB
Kita ada Unit Anjing Pengesan (K9) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kerja-kerja unik seperti mengesan dadah, bahan letupan dan senjata api, menjejak penjenayah, mencari orang yang hilang (termasuk tertimbus), serta mengesan mayat di sungai, tasik, laut, atau di bawah runtuhan.
Pada Mac 2021, dua ekor anjing baka German Shepherd dalam Unit K9 menerima Anugerah Ketua Polis Johor kerana membantu menyelesaikan banyak kes jenayah, termasuk kes berprofil tinggi.
Pada Februari 2020, seekor lagi anjing dalam Unit K9 yang berjaya mengesan suspek curi kenderaan menerima pingat Jasamu Dikenang daripada Ketua Polis Pahang. Pada April 2021, Ketua Polis Negara memaklumkan bahawa jumlah anjing dalam Unit K9 akan ditambah.
Selain daripada itu, anjing pemandu arah yang terlatih dan dipakaikan jaket khas juga digunakan golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya mereka yang cacat penglihatan. Namun, tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia kerana kekangan (alasan) “sensitiviti agama”.
Acara I Want To Touch A Dog pada Oktober 2014 menimbulkan kontroversi kerana dikatakan tidak menghormati agama Islam dan orang Muslim. Makalah bertajuk “Pahala Sayangi Anjing” (The MalayMail Online, 10 November 2014) dan “Kami Tidak Benci Anjing” (The MalayMail Online, 19 Januari 2015) turut membicarakan topik hangat ini.
Sehingga kini, topik mengenai anjing masih kurang diperkatakan secara terbuka dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Ia masih dianggap terlalu sensitif dan menyentuh hal-hal agama Islam; walaupun ramai juga orang Muslim yang benar-benar mendalami Quran semakin berfikiran terbuka.
Bagi orang Bukan Islam pula, ramai yang masih tertanya-tanya apakah sebab sebenar orang Islam di Malaysia “takut” pada anjing; sama ada untuk menyentuh, melihat, atau memeliharanya. Tambahan pula, kita sering membaca berita mengenai orang membunuh anjing tanpa belas kasihan.
Misalnya, insiden dua lelaki di Alor Setar, Kedah disyaki membunuh anjing liar dengan memanah haiwan berkenaan pada Mac 2021. Pada Mei 2020, tular kes seorang perempuan “mengajar” cara membunuh anjing jiran menggunakan racun tikus. Manakala, pada Julai 2021, tular pula video menunjukkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan dalam operasi menangkap anjing di Taman Tiram.
“Islam melarang keras sebarang bentuk perbuatan yang boleh menyakiti sehingga boleh menyebabkan kematian, tidak kira apa makhluk sekalipun,” ujar Mufti Kedah, Syeikh Fadzil Awang berhubung penemuan seekor anjing yang mati dipanah di Kuah, Langkawi (Sinar Harian, 13 Ogos 2019).
Di Arab Saudi, “Visi 2030” yang digerakkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman menyaksikan gerakan reformasi radikal. Semakin ramai orang Arab beragama Islam memelihara anjing secara terbuka tanpa jatuh hukum munafik dan murtad.
Malah, kafe anjing pertama bernama The Barking Lot dibuka secara rasmi di Kohbar pada Jun 2020 dan mendapat sambutan orang ramai. Menjelang Julai 2021, satu lagi cawangan dibuka di Riyadh dan terus mendapat sambutan hangat daripada orang Arab-Muslim.
Pemilik The Barking Lot turut merancang untuk membuka cawangan di Jeddah, Mekah, dan Madinah susulan permintaan penduduk setempat. Perkembangan ini tentu sahaja suatu kejutan budaya bagi segelintir orang Melayu di Malaysia yang sentiasa cuba meniru budaya “Pak Arab” dan mahu menjadi orang Arab — dari segi pakaian, makanan, bahasa, dan apa sahaja.
Dalam Surah Al-An’am (Ayat 38), Allah mengingatkan bahawa kesemua binatang di bumi dan langit adalah juga umat-Nya, sama seperti manusia:
“Dan tidak ada seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami [Allah] luputkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”
Saya meneliti Kutub al-Sittah yang terdiri daripada Kitab Sahih al-Bukhari, Kitab Sahih Muslim, Kitab Jami’at-Tirmizi, Kitab Sunan Abu Dawud, Kitab Sunan an-Nasa’i, dan Kitab Sunan Ibnu Majah untuk lebih memahami pendirian Nabi Muhammad mengenai kedudukan anjing di sisi Allah.
Sebagaimana diketahui umum, Kutub al-Sittah merupakan interpretasi dan huraian Muhammad kepada orang Islam sebagai panduan dalam memahami hukum syarak. Hadis menjadi sumber penting dalam Islam berdasarkan peranan dan pengaruh besar selepas Quran sejak zaman Rasulullah.
Dalam Hadis Sahih Muslim, Muhammad dilaporkan menceritakan mengenai insiden seekor anjing yang hampir mati kehausan. Seorang pelacur Yahudi memberi air kepada anjing itu. Maka, menurut Rasulullah, Allah mengampuni dosa-dosa wanita itu walaupun dia seorang pelacur.
Dalam Hadis Sahih al-Bukhari dan Hadis Sahih Muslim juga diceritakan mengenai seorang lelaki yang memberi air kepada seekor anjing yang kehausan. Muhammad mengesahkan bahawa Allah menerima amal lelaki itu serta mengampuni dosanya.
Para sahabat Rasulullah bertanya, benarkah kalau mereka mengasihi binatang maka mereka mendapat pahala. Muhammad bersabda: “Setiap hati yang pengasih mendapat pahala.”
Dalam Kitab Sunan Abu-Dawud didokumentasi pengalaman Abdullah bin Umar bermalam di masjid pada zaman Muhammad. Anjing-anjing bebas berkeliaran dan kencing di dalam masjid tetapi orang ramai langsung tidak mencucinya.
Dalam Kitab Sunan An-Nasa’i dicatatkan kisah Rasulullah berkunjung ke suatu tempat. Anjing dan keldai bebas berkeliaran di perkarangan rumah yang dikunjungi. Malah, semasa Muhammad solat asar, anjing dan keldai berkeliaran di hadapan tetapi baginda tidak mengusir atau mengherdik.
Dalam Hadis Sahih al-Bukhari dan Kitab Sunan An-Nasa’i, Rasulullah dipetik sebagai pernah bersabda, jika anjing minum dari bejana (bekas air), maka perlu dibasuh lapan kali, termasuk sekali dengan air bercampur tanah.
Dalam Hadis Sahih al-Bukhari dinyatakan bahawa tiga perkara yang membatalkan solat adalah anjing, keldai, dan wanita.
Dalam Hadis Sahih al-Bukhari juga dinyatakan dengan jelas bahawa binatang buruan yang dibunuh oleh anjing pemburu (yang dilepaskan dengan bacaan Bismillah) adalah halal untuk dimakan.
Dalam Kitab Sunan An-Nasa’i dinyatakan dengan jelas bahawa Rasulullah melarang hasil jualan senjata perang dan hasil jualan anjing (kecuali anjing pemburu).
Dalam Hadis Sahih al-Bukhari dan Kitab Sunan An-Nasa’i sudah ditegaskan bahawa orang Muslim hanya boleh memelihara anjing yang digunakan bagi tujuan menjaga ternakan (kambing), menjaga kebun (tanaman), dan memburu.
Jika anjing dipelihara bagi tujuan selain tiga perkara di atas, maka pahala amal bagi individu berkenaan berkurang satu atau dua qirath (gunung) setiap hari.
Pendirian Allah dan kekasih-Nya terhadap anjing seolah-olah berubah secara beransur-ansur. Hal ini dapat diperhatikan menerusi dokumentasi yang terkandung dalam Kutub al-Sittah iaitu enam buah Hadis Sahih.
Dalam Hadis Sahih al-Bukhari, Muhammad diriwayatkan bersabda, ada lima binatang yang hukumnya tidak berdosa dibunuh. Lima binatang itu ialah helang, gagak, kala jengking, tikus, dan anjing yang berbahaya (misalnya anjing gila atau ganas).
Dalam Hadis Sahih Muslim, Kitab Sunan An-Nasa’i, dan Hadis Sunan Ibnu Majjah pula Rasulullah “dengan mengeraskan suaranya” dan “berseru dengan suara keras” memerintahkan para pengikutnya (orang Islam) supaya membunuh anjing; kecuali anjing yang dipelihara untuk menjaga ternakan (kambing), menjaga kebun (tanaman), dan memburu.
Dalam Hadis Sahih Muslim, diriyawatkan bahawa susulan perintah itu, para pengikut Muhammad pergi ke seluruh pelosok kota dan membunuh semua anjing sehingga tidak ada seekor pun yang tertinggal.
Malah, seekor anjing yang selalu mengikut seorang wanita pemilik dusun juga dibunuh. Kemudian, Muhammad mengeluarkan perintah melarang anjing seperti itu dibunuh.
Dalam Kitab Sunan An-Nasa’i dan Kitab Sunan Ibnu Majjah dinyatakan bahawa Muhammad bersabda: “Andaikan anjing-anjing itu bukan bahagian dari makhluk Allah, nescaya aku akan perintahkan untuk membunuhi anjing-anjing.”
Malah, ditegaskan secara khusus oleh Muhammad supaya membunuh anjing yang hitam pekat atau hitam legam. Sampai begitu sekali rasa benci Rasulullah kepada makhluk Allah yang satu ini — anjing.
Dalam Hadis Sahih Muslim dan Jami’at At-Tirmizi dijelaskan bahawa anjing hitam, wanita, dan keldai (himar) boleh memutuskan solat seorang Muslimin. Rasulullah dilaporkan bersabda: “Anjing hitam adalah syaitan.”
Turut diriwayatkan dalam Hadis Sahih Muslim, Muhammad bersabda: “Bunuhlah anjing yang seluruh bulunya berwarna hitam dengan dua titik putih di keningnya kerana anjing seperti itu adalah syaitan.”
Orang ramai – khususnya umat Bukan Islam dan sesiapa yang tidak pernah membaca Hadis Sahih dan kalamullah – tentu tertanya-tanya mengapa sikap dan pendirian Muhammad terhadap anjing berubah; sebagaimana dapat diperhatikan secara jelas dalam dokumentasi hadis-hadis di atas. Jawapan juga terakam dalam Hadis Sahih.
Dalam Hadis Sahih Muslim, isteri ketiga Muhammad iaitu Aisyah binti Abu Bakar meriwayatkan bahawa pada suatu hari, Jibril tidak datang bertemu Rasulullah mengikut jadual.
Kemudian, Muhammad menyedari seekor anak anjing di bawah tempat tidur (katil). Dalam Jami’at At-Tirmizi disebut bahawa anjing itu milik cucu Muhammad, iaitu Husain dan Hasan.
Dalam Hadis Sahih Muslim, Muhammad meminta supaya anak anjing itu dibawa keluar (“keluarkan”). Dalam Hadis Sunan An-Nasa’i, Muhammad dilaporkan menyuruh isteri baginda “mengusir” anak anjing itu.
Tidak lama selepas itu, Jibril pun datang. Apabila ditanya, malaikat itu menjelaskan: “Kami (malaikat) tidak mahu masuk ke dalam rumah yang di situ ada anjing dan gambar-gambar (haiwan).” Dalam hadis lain, Jibril menggunakan frasa “kami tidak dapat masuk”.
Maka, seperti tercatat dalam Hadis Sahih Muslim dan Hadis Sunan An-Nasa’i, pada keesokan hari, Rasulullah memerintahkan supaya semua anjing dibunuh; kecuali anjing yang digunakan untuk memburu, menjaga ternakan (kambing), dan menjaga kebun (tanaman).
Bagi kebun, hanya anjing yang menjaga kebun yang luas dibiarkan, manakala anjing di kebun-kebun kecil turut dibunuh.
Dalam Hadis Sunan An-Nasa’i juga diberi maklumat tambahan bahawa selain daripada rumah yang ada gambar atau anjing, malaikat juga tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada “seorang junub yang belum bersuci”.
Dalam bahasa Arab, menurut Kamus Dewan, “junub” merujuk kepada keadaan tidak suci yang disebabkan oleh hadas besar; misalnya keluar mani, baik dengan bersetubuh atau tidak.
Bagi sesiapa yang masih tertanya-tanya mengapa orang Islam “membenci” atau tidak menyukai anjing, maklumat sahih dalam Kutub al-Sittah diharap sudah memberi jawapan dan penjelasan yang tidak meragukan. Boleh juga merujuk Quran untuk maklumat lebih terperinci.
Dalam Hadis Sahih al-Bukhari dan Hadis Sahih Muslim, ada sekurang-kurangnya 50 hadis yang menyebut tentang anjing, tetapi banyak juga hadis yang berulang-ulang. Beberapa hadis penting dan berkaitan sudah disentuh dalam perbincangan di atas.
Muhammad juga menggunakan anjing dalam perumpamaan apabila menyamakan orang yang meminta dipulangkan pemberiannya (sedekah) tidak ubah seperti anjing yang muntah dan kemudian makan semula muntah itu.
Rasulullah turut mengingatkan pengikutnya supaya sujud dengan sempurna semasa solat; tidak membentangkan kedua-dua siku seperti anjing mahu tidur.
Mujurlah tidak semua anjing dibunuh atas arahan Muhammad. Jika tidak, tentu orang Islam tidak akan faham posisi “anjing mahu tidur” yang dimaksudkan.
Dalam Mazhab Syafie, setiap inci seekor anjing dikira sebagai najis. Maknanya, jilatan (air liur), kencing, tahi, darah, peluh, bulu, serta mana-mana anggota badan anjing, jika terkena atau tersentuh, maka wajib dibasuh (disamak) tujuh kali menggunakan air mutlak, termasuk sekali menggunakan air bercampur tanah. Menyentuh anjing secara sengaja adalah haram.
Kita tidak pasti sama ada pemelihara anjing di Arab Saudi dan pengunjung The Barking Lot masih ingat hukum ini.
Menurut Hadis Sahih, anjing boleh dibela untuk memburu, menjaga ternakan, dan menjaga kebun (tanaman). Di bahagian awal tadi, saya menyebut tentang anjing dalam Unit K9 dan juga anjing pemandu arah. Dalam Islam, keizinan diberi apabila anjing digunakan bagi tujuan keselamatan oleh polis dan kastam, misalnya.
Penggunaan sebagai anjing pemandu arah bagi orang buta beragama Islam hanya diizinkan jika amat diperlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu individu berkenaan.
Bagaimanapun, pemilikan anjing sebagai binatang peliharaan (pet) adalah haram bagi orang Islam di Malaysia. Pandangan ini disepakati Mazhab Shafie, Hanbali, Maliki, dan Zahiri.
Mungkin hukum ini tidak lagi terpakai di Arab Saudi. Sebab itulah kafe anjing semakin popular di Kohbar dan Riyadh; cawangan bakal dibuka di Jeddah, Mekah, dan Madinah.
Dalam pada itu, ada pihak berhujah bahawa rumah adalah harta, maka anjing sah dipelihara oleh orang Islam untuk menjaga, mengawal, atau melindungi harta itu daripada penceroboh dan perompak.
Pensyarah kanan Pengajian Islam di Islamic Institute of Toronto, Kanada iaitu Syeikh Ahmad Kutty dipetik dalam buku Sunnah Nabi: Realiti dan Cabaran Semasa (2011) menggunakan Quran dan Hadis Sahih untuk menegaskan bahawa orang Islam boleh memelihara anjing “untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah”.
Sesungguhnya, ada pandangan yang berbeza-beza antara mazhab berhubung hukum memelihara atau menyentuh anjing bagi orang Islam. Mungkinkah amalan “Pak Arab” pada masa kini dalam soal ini menggambarkan Islam yang progresif? Wallahu a’lam bish-shawab.
[Rencana ini diterbitkan semula dari kumpulan esei Suvarna Bhumi (2022) dengan izin penulis. Uthaya Sankar SB seorang pengkaji dan penulis sepenuh masa. Beliau turut menulis di www.uthayasb.blogspot.my dan boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@gmail.com]
Leave a Reply