
oleh MvZ
Pada saat ini cuba anda fikirkan; adakah anda sekarang ini dikatakan orang Islam? Atau ia
hanyalah sebuah perkataan yang wujud pada bahagian ‘agama’ di dalam kad pengenalan (IC)
anda tetapi sebaliknya cuma samar-samar sahaja dalam kehidupan anda yang bergelar orang
beriman? Ya, kemungkinan anda rajin melakukan ibadah wajib yang terdapat dalam rukun
Islam, tetapi apa yang mungkin anda tidak sedar adalah anda belum lagi melepasi rukun Iman.
Apa maksudnya? Bukankah semua orang beragama Islam telah menyatakan syahadah
(persaksian) jadi mereka termasuk anda telahpun beriman dan menjadi orang Islam? Ia tidak
semudah begitu dan Al-Quran menyatakan sebaliknya, mari kita lihat.
Secara dasar, terdapat 2 perkara yang anda perlu tentukan dulu jika anda ingat anda adalah
orang Islam iaitu:
- Pegangan personal
- Pegangan hidup
Secara ringkas pegangan itu adalah suatu kepercayaan. Ia adalah kepercayaan yang anda
berpegang dan mempunyai panduan ke jalan yang anda hendaki, iaitu jalan dan destinasi yang
benar. Mengapa anda berpegang pada perkara yang membawa ke jalan yang anda tidak mahu,
atau jalan yang salah? Secara semula jadi, pegangan adalah perkara yang mesti anda tentukan
awal-awal lagi jika anda telah mencapai tahap kematangan hidup dan boleh berfikir dengan
waras, jika tidak, hidup anda akan menjadi tidak tentu arah dan tidak lurus kerana mempunyai
kebingungan dan masalah persoalan diri. Jadi, bagaimanakah untuk menentukan pegangan
seseorang?
Dalam hakikat hukum semula jadi manusia ini yang nyata dan konkrit, terdapat satu hukum yang dipanggil law of polarity, iaitu suatu hukum 2 perkara yang mempunyai kesamaan dalam perspektif, tetapi berbeza dan bertentangan dalam pelbagai aspek, prinsip, dan bentuk sama ada secara fisik atau abstrak. Dalam ilmu matematik juga boleh difahami perkara ini contohnya:
0/1 iaitu sistem binari. Tetapi yang lebih mudah untuk difahami adalah seperti: ya/tidak,
atas/bawah, terang/gelap, buka/tutup, turun/naik, benar/salah. Dan dalam aspek tingkah laku
kehidupan manusia kita boleh merujuknya pada surah Al-Balad (90) ayat 10 berikut:
وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ (البلد: 10).
Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan
2 jalan yang dinyatakan dalam ayat tersebut adalah jalan baik atau buruk (jahat). Jika kita
melihat mesej Al-Quran, penekanan utama yang disampaikan oleh Allah adalah hakikat dan
jalan manusia sama ada haq atau batil, dan semestinya yang haq adalah yang baik, batil adalah
yang buruk. Jadi persoalannya, yang manakan pilihan anda? Secara semula jadi, jika anda tidak
pernah menerima Al-Quran sekalipun anda boleh menentukan perkara ini dengan akal fikiran
dan perspektif anda melalui pengalaman hidup ini. Sebab itu bukan orang beragama Islam
sahaja yang boleh menjadi baik; orang Kristian, Hindu, Yahudi, malah Ateis juga boleh menjadi
baik, tetapi itu sebatas adab dan perlakuan sahaja, juga dinilai secara individu. Kepercayaan
adalah hal dan topik yang berbeza. Jika anda memilih kebaikan dan bukannya keburukan,
apakah dasar kebaikannya jika anda mengaku diri anda sebagai orang Islam?
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang
Dasar kepada semua pegangan personal kita terdapat dalam surah Al-Fatihah (1) ayat 1 dan
pada 2 perkataan iaitu; Ar-Rahman dan Ar-Rahim (Maha Pengasih dan Maha Penyayang).
Secara umum orang Islam memikirkan bahawa ayat ini hanyalah sebagai ayat pahala yang
disebut sebelum makan atau dalam kelakuan harian dan keselamatan mereka. Dan disebabkan
itu, makna ayat ini hanyalah sebatas kata-kata sahaja, yang disebut tanpa memahaminya. Ia
hanya terombang-ambing didalam makna yang gaib tetapi tidak yang nyata. Ayat 1:1 dan yang
terdapat pada permulaan semua surah (kecuali At-Tawbah) adalah dasar aqidah, juga visi
untuk pegangan hidup anda. Itu kerana ayat ini adalah sifat-sifat Allah, dan ia adalah sifat yang
baik.
Ar-Rahman dan Ar-Rahim dan keseluruhan ayat 1:1 mempunyai makna yang lebih mendalam
lagi, tetapi yang pasti secara jelas perkataan ini adalah sifat-sifat Allah yang terpuji. Jadi apakah
pelajarannya? Pelajaran yang boleh didapati daripada ayat 1:1 dan 1:3 ini adalah dari segi
kepercayaan dan penerapannya. Jika anda mengaku beriman kepada Allah, maka sifat-sifat itu
perlulah diterapkan dalam amalan diri anda; sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu. Ia
tidak bermakna sifat anda serupa dengan Allah, tetapi penekanannya adalah meletakkan
keutamaan anda pada kefahaman dan penerapan ayat ini dalam pegangan personal anda
supaya anda boleh menjadi versi seperti mana kehendakNya. Ia adalah landasan kebaikan
paling asas dalam Islam bagi pegangan personal.
Jika pegangan personal anda adalah kebaikan dan ia berlandaskan ayat 1:1, apakah
sumbernya? Tentulah Al-Quran, jadi ia mestilah menjadi pegangan hidup anda secara
keseluruhan jika anda beriman kepada Allah. Orang yang mengaku Islam secara umum
menjadikan Al-Quran perkara yang tidak dipedulikan. Adapun yang peduli, tetapi
keutamaannya terletak pada baca-baca, bunyi-bunyi, syair-menyair doa berkat sahaja, tetapi
tidak faham isi kandungan maknanya. Kaedah membaca dan mendengar Al-Quran dengan
untuk mendapat kemerduan dan pahala bacaannya adalah hal yang tidak salah, manakala
keutamaanlah yang patut dibetulkan, iaitu memahaminya dulu. Lihat surah Al-Baqarah (2) ayat
185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنْ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Qur`ān,
sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai
petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil)
Juga Ali Imran (3) ayat 138 dan Al-Qamar (54) ayat 17,22,32,40:
هَذَا بَيَانٌ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِلْمُتَّقِينَ (آل عمران: 138).
Inilah (Al-Qur`ān) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan
menjadi petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ
Dan sungguh, telah Kami mudahkan Al-Qur`ān untuk peringatan, maka
adakah orang yang mau mengambil pelajaran?
Di sebahagian ayat 2:185 memberikan fungsi-fungsi utama Al-Quran iaitu salah satunya
sebagai hudan lin nas iaitu petunjuk bagi manusia, perkara itu yang anda perlu fokus kerana
untuk mendapat petunjuk anda kena memahaminya dulu dan mengambil pelajaran akan
isinya, juga sebagai peringatan iaitu selalu mengingati ayat-ayat yang difaham supaya dapat
mencegah apa yang dilarang dan dimurkai oleh Allah, bukan peringatan sebatas hafal ayat-ayat
Al-Quran tetapi tidak memahaminya. Di surah Al-Qamar, Allah menekankan dan
mempersoalkan supaya anda selalu mengingati dan mengambil pelajaran daripada Al-Quran
sebanyak 4 kali, jadi perkara ini adalah isu besar terhadap manusia yang lalai dan tidak
memahami ayat-ayatNya.
Ad-Dukhan (44) ayat 58:
فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (الدخان: 58).
Sungguh, Kami mudahkan (Al-Qur`ān) itu dengan bahasamu agar mereka
mendapat pelajaran.
Ilmu Allah it luas dan Al-Quran itu adalah petunjuk bagi manusia, maka anda mestilah cuba
untuk memahaminya walaupun bahasa anda berbeza. Jika kita lihat sekarang ini terdapat
pelbagai kemudahan terjemahan yang sedia ada dalam pelbagai bahasa, apa yang menghalang
anda untuk tidak memahaminya jika anda mengaku sebagai orang Islam? Tetapi disarankan
anda juga memilih terjemahan yang sesuai, iaitu terjemahan yang lebih dekat kepada literal
dan tidak banyak campur-adukan dan tambahan perkataan yang lebih-lebih. Pilihan ini
terpulang kepada anda untuk fikir dan tentukan kerana adalah lebih baik jika anda
membacanya melalui terjemahan dekat kepada yang asli. Salah satu terjemahan Al-Quran yang
dicadangkan adalah daripada Sabeq Company (Indonesia) iaitu terjemahan yang digunakan
untuk ayat-ayat contoh ini, dan jika anda orang berbahasa Malaysia juga boleh merujuk
terjemahan itu kerana perbezaan bahasa formal Malaysia dan Indonesia tidaklah jauh.
Penekanan kepada topik utama dapat difahami dengan melihat logik pemikiran dan
kepercayaan anda melalui rukun iman. Jika anda masih ingat dan lihat, terdapat 6 perkara
dalam rukun iman:
- Beriman kepada Allah
- Beriman kepada Malaikat
- Beriman kepada Kitab Al-Quran
- Beriman kepada Rasul
- Beriman kepada Hari Kiamat
- Beriman kepada Qada’ & Qadar
Seperti yang dikatakan, sudahkah anda melepasi rukun iman untuk dikatakan orang Islam? Jika
kita lihat dalam rukun iman; Allah, Malaikat, Hari Kiamat, Qada’ dan Qadar adalah gaib.
Rasulullah Muhammad SAW sudahpun lama wafat, jadi baginda juga gaib, demikian manakah
diantara rukun iman itu yang sekarang ini didepan mata anda yang anda boleh lihat untuk
mengenali perkara yang gaib itu? Tentulah Al-Quran, dan jika anda dilahirkan dan membesar
dalam kalangan orang Islam, sudah tentu anda diajar tentang rukun iman dan wajib berpegang
kepada rukun itu. Tetapi apakah tahap dan cara anda beriman dan yakin? Jika anda hanya
‘percaya-caya’ rukun itu tanpa memahaminya bermakna; jika anda dilahirkan dalam kalangan
bukan Islam anda juga akan menganggap kepercayaan anda itu betul. Bukankah Islam adalah
pegangan yang paling benar bagi anda? Adakah pemikiran begitu masuk akal?
ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Kitab (Al-Qur`ān) itu tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa
وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلاَ الإِيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (الشورى: 52).
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) ruh (Al-Qurān) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidaklah mengetahui apakah Kitab (Al-Qur
ān) dan apakah iman itu, tetapi Kami jadikan Al-Qur`ān itu cahaya, dengan itu Kami memberi petunjuk siapa yang Kami kehendaki di
antara hamba-hamba Kami. Dan sungguh, engkau benar-benar membimbing (manusia) kepada jalan yang lurus
Surah Al-Baqarah (2) ayat 2 mengatakan Kitab ini (Al-Quran) tiada keraguan padanya.
Bagaimana patut anda tidak ragu-ragu dan yakin jika anda tidak mula memahaminya? Jika anda
menggunakan cara pemikiran serupa ini dalam urusan hidupan harian anda, pasti anda akan
terima padahnya. Surah Asy-Syura (42) ayat 52 memberitahu bagaimana sebelum ini kalangan
yang menerima wahyu termasuk Nabi Muhammad SAW juga melalui proses keimanan dulu
kerana baginda dan Para Sahabat sebelum ini juga tidak mengenal Al-Quran dan iman untuk
memasuki Islam. Tetapi anda yang lahir-lahir terus Islam dengan kata-kata dan kepercayaan
samar-samar sahaja? Ia terpulang pada anda untuk fikirkan terhadap diri anda
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (البقرة: 208).
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah setan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.
Pada surah Al-Baqarah (2) ayat 208 ini, perhatikan klausa Ya ayyuha allatheena amanoo (Wahai
orang-orang beriman), kemudian udkhuloo feessilmi kaffatan (Masuklah ke dalam Islam secara
keseluruhan). Persoalannya: adakah iman dulu atau Islam dulu menurut ayat ini? Begini: Tidak
kenal Kitab bermakna tidak kenal petunjuk, tidak kenal petunjuk bermakna tidak kenal iman,
maka adakah anda akan kenal Islam?
Untuk menyimpulkan semua ini termasuk aqidah anda;sedarlah diri, dan malu terhadap orang-orang yang bukan beragama Islam malah yang menentangnya, iaitu para-para debat dan
pengkritik yang telah mengenali, membaca dan memahami Al-Quran, bezanya mereka tidak
setuju. Penekanan utama adalah ketepikanlah alasan-alasan yang ada dan mula untuk
mengenalinya, iaitu dengan membaca ayat-ayatNya sendiri dan berfikir. Anda tidak perlu lagi
pergi ke hal-hal yang lebih jauh dan mendalam dari segi pengkajian Al-Quran atau memahami
ayat-ayat yang tersirat, atau terus menjadi pakar, kerana berjalan pun anda belum boleh,
bagaimana anda boleh berlari? Tentukan nilai anda sebagai manusia ciptaanNya.
Leave a Reply