Al-Quran: Satu Penilaian Semula (Bhg 3 – Teori Bacaan Kewujudan)

Teori Qira’ah Wujudiyyah – Bacaan Kewujudan.

Setakat ini, saya telah mengimbas kembali bagaimana saya menemui pelbagai fikrah quranis dalam perjalanan hidup saya. Sampainya kita ke tahun 2002.  Saya dapat merumuskan pembangunan fikrah saya kepada prinsip-prinsip berikut:

1. Quran adalah sumber yang ulung, unggul dan utuh dalam Islam ( dari Dr Kassim Ahmad)


2. Quran menerangkan ayat-ayatnya sendiri (Pelajar antarabangsa dari Pakistan, Pak Othman Ali)


3. Quran mengajar manusia hidup dengan satu sistem sosial/ekonomik/politik (Ghulam Ahmad Parwez)


4. Quran merupakan satu teks yang hidup dan ayatnya bermanifestasi dalam realiti (Mohamed Shiekh)


5. Quran bermatlamat untuk menjana evolusi untuk seluruh tamadun manusia (Inayatullah Khan Al-Mashriqi)


6. Quran menggunakan bahasa yang precis untuk tiap-tiap maksud dan sinonim tidak wujud (Dr Mohamed Shahrour)


7. Quran bersifat ‘munadhdhamah’ itu sempurna dari segi susunan. Susunannya adalah aspek terpenting untuk memahami maksudnya (Amin Ahsan Islahi)


8. Quran tidak mengajar ritual. Konsep-konsep yang dikatakan ritual itu sebenarnya berkaitan dengan pembangunan hidup manusia (Aidid Safar).

Dengan berbekalkan prinsip-prinsip ini, saya meneruskan perjalanan hidup saya selari dengan terus mengkaji Al-Quran. Kerja saya pada masa itu ialah pengurus projek dan ia sememangnya ada banyak masa menunggu (downtime). Saya menghabiskan melayari internet, berdikusi dan membaca Al-Quran.

Lebih lima tahun kemudian, dalam tahun 2007, dengan tidak tahu asal-usulnya, saya telah memikirkan konsep Al-Quran sebagai satu interaksi di antara Sang Pengkarya (The Author), iaitu yang mewahyukan Al-Quran, dengan kita manusia. Al-Quran agak unik kerana ia mempersembahkan kepada kita tentang aspek-aspek dirinya (self-reference). Ia memberi deskripsinya sendiri terus dari kata-kata Sang Pengkarya.

Sebagai contoh, Sang Pengkarya memberitahu kita tentang fungsi Al-Quran secara keseluruhan (dengan frasa ‘hadhal quran’). Dia mengatakan yang Al-Quran itu adalah benda yang terbesar sebagai kesaksian kita kepada tauhid (6/19). Dia juga menceritakan tentang ketidakmungkinan yang Al-Quran dicipta oleh selain dari Tuhan (10/37). Dia seterusnya memberitahu kita yang cerita-cerita dalam Al-Quran itu adalah berhubung dengan kita sendiri yang menyelamatkan kita dari kehidupan yang tiada makna (12/3). Sejurus selepas itu, dia mendakwa yang Al-Quran akan membimbing kita kepada yang paling tegak berdiri (17/9). Ini hanyalah empat pernyataan pertama Al-Quran mengenai dirinya. Ada banyak lagi yang akan kita menganalisa kelak.

Perlahan-lahan, saya mula nampak ‘suara’ Sang Pengkarya (the voice of The Author). Suaranya menghidupkan Al-Quran dan menjadikannya sebagai satu teks yang sentiasa ‘kini’ (ever-present text). Ia seakan-akan kita sendiri bertapa, berguru dan mendapat inspirasi dari Tuhan sendiri.

Teori Sang Pengkarya bersama saya selama beberapa tahun sebelum saya menyedari yang orang yang mendengar ‘suara’ Sang Pengkarya mestilah wujud. Sekitar tahun 2010, saya mula menyedari kewujudan Si Pembaca (The Reader) iaitu penerima kata-kata Sang Pengkarya dengan membaca teks Al-Quran. Si Pembaca ditujui (is addressed) tiap-tiap kali yang Sang Pengkarya bercakap kepada ‘engkau’ (kata-kata ganti ‘anta, ka, ki, ta, ti’). Dia juga ditujui tiap-tiap kali ada suruhan kepada individu (seperti ‘qul’ atau ‘katakanlah’) atau ‘aqim’ dan ‘qum’ (dirikanlah). Dia sendiri bersuara dalam ayat di mana ada perkataan ‘aku’ (‘ana’)

Si Pembaca membaca Al-Quran dan mengenal dirinya dengan perjalanan teks Al-Quran. Dia ditujui seawal Al-Quran 2/3 dan selewat 110/2 (sebagai ‘engkau’) dan 114/1 (suruhan untuk berkata). Jika kita mengamati perjalanannya, kita akan mendapat jalan kepada aktualisasi diri. Setakat ini, saya hanya mendapat imbasan konsep tetapi, apabila saya terperasan adanya ayat berkenaan Si Pembaca, maka saya dapat nampak situasi dirinya yang khas untuk ayat itu.

Teori Sang Pengkarya dan Si Pembaca ini telah memasuki kesedaran pembacaan (awareness of reading) saya dan semakin lama, semakin jelas dan ketara kedua peranan ini. Tetapi ada satu lagi entiti yang saya tidak pernah fikirkan sehingga tahun 2017. Entiti itu ialah Si Penulis (The Writer). Si Penulis ini adalah medium perantaraan Sang Pengkarya untuk berkomunikasi dengan Si Pembaca. Ia berperanan memangkinkan (to catalyse) kebenaran kepada Si Pembaca.

Si Pembaca itu manusia yang wujud dalam dunia dan dia menjumpai pelbagai unsur yang menyedarkan dia tentang kewujudan, kehendak dan kebaikan Sang Pengkarya. Unsur-unsur ini termasuklah ayat di ufuk dan dalam jiwa (41/53), kalimaat iaitu konsep-konsep (18/109) dan bayyinaat iaitu penerangan-penerangan (98/1-3). Dari kacamata Al-Quran, ia sendiri adalah Si Penulis yang paling unggul. Maksudnya, ia sendiri berperanan untuk menyampaikan kebenaran unggul kepada manusia dan mengenalkan dia kepada Sang Pengkarya.

Itulah teori ‘Qira’ah Wujudiyyah’ setakat ini. Ia adalah jalan bacaan Al-Quran yang mengutamakan kesedaran tentang Sang Pengkarya (Tuhan), Si Pembaca (tiap-tiap manusia yang membaca Al-Quran) dan Si Penulis (Al-Quran sendiri dan sumber-sumber lain). Melalui jalan bacaan ini, manusia dapat memahami kehendak Tuhan dan mengalami kehidupan yang damai dan selamat. Ia boleh dikatakan sebagai ‘sains kewujudan’.

Berikut – pandangan saya mengenai teori bacaan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.

About Farouk Peru 14 Articles
Editor dan penulis utama Wacana Pemikir Jaringan Quranis Bersatu

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*