Bagaimana Insan Mengetahui Sesuatu Daripada Falsafah Evolusi Ilmu bhg 2

oleh Ahmad Kamil Mohamed

PERBEZAAN DALAM MEMBENTUK MAKNA TENTANG SESUATU FENOMENA ADALAH FITRAH DAN PROSES EVOLUSI ILMU DALAM PERJALANAN SEJARAH MANUSIA

Kenyataan:

Perjalanan kehidupan manusia di bumi merupakan usaha berterusan membentuk makna yang lebih tepat tentang sesuatu fenomena. Ia berlaku dalam dimensi masa dan ruang yang berkembang dan bergerak dalam persekitaran kehidupan manusia yang dinamik. 

Secara ringkas dan mudah ilmu yang ada pada seseorang pengkaji tentang sesuatu merupakan makna yang dibentuk dan difahaminya pada satu ketika dan keadaan. Pemahaman seseorang itu boleh berubah.

Sebagai pengkaji sains informasi, komunikasi dan gelagat manusia maksud evolusi atau ubah ansur menerangkan perubahan makna dan fahaman kepada sesuatu fenomena (makhluk) ciptaan Allah dan fenomena buatan manusia. Perkembangan sains dan teknologi boleh mempengaruhi sifat dan tumbesaran semulajadi haiwan dan tumbuhan yang sedang diujikaji.

Teori ini merupakan asas kepada ilmu sains informasi, gelagat manusia dan biologi moden; dalam erti kata lain, ia perlu dilihat dalam kehidupan yang sentiasa berubah atau berevolusi.

Oleh kerana pendekatan sains “the truth is out there which exists independently from our mind” maka sudah tentu manusia sebagai pengkaji terlibat dalam usaha memproses atau mentafsir maklumat yang terkandung (embedded) sebagai ciptaan dan kejadian alam. 

Kita sedia maklum bahawa ada golongan  yang berpendapat sebaliknya. Mereka beependapat evolusi atau perkembangan pemahaman tentang fenomena itu adalah perkara yang tidak betul terutama apabila dikaitkan dengan rujukan ilmu agama. Mereka memegang kepada doktrin sesuatu perkara itu, sudah jelas dikaji, dijelaskan dan diajar oleh ilmuan terdahulu dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Maka pemikiran mereka tentu tidak secocok dengan aliran pemikiran yang dibentangkan di sini.

Maka ia boleh menimbulkan perbezaan pandangan dan perselisihan faham. Biasanya penentangan teori evolusi ini dibuat dengan mengaitkan teori evolusi dengan kenyataan manusia berasal daripada monyet sedangkan itu hanya merupakan satu aspek persoalan dalam kerangka penghujahan apabila kalangan saintis mengemukakan persoalan-persoalan penyelidikan (research questions) dan hipotesis. Tulisan ini tidak bermaksud untuk membincangkan perkara khusus tersebut atau mengemukakan perbezaan antara “theistic evolution theory,” “hypothetical evolution theory” atau “empirical evolution theory.” Tetapi bagi mereka yang berminat saya boleh sahaja bentangkan.

Dalam pengkajian sains komunikasi dan kognitif perubahan pemahaman manusia kepada sesuatu fenomena adalah fitrah. 

Sebagai pengkaji saya ingin mencari kebenaran tentang fenomena yang sangat penting untuk memahami diri saya sebagai insan makhluk komunikasi yang bergelumang dengan informasi. Apabila saya mula mengkaji maksud Alquran hasil dorongan yang saya perolehi daripada sarjana sains yang juga mengkaji perkara sama, maka saya sendiri menemui kebenaran ayat-ayat Alquran yang membincangkan fenomena alam dan kejadian berkaitan manusia. Jadi saya menggolongkan diri saya sebagai kelompok pengkaji yang berusaha meneliti kebenaran “ayat-ayat kitab Alquran” dan “ayat-ayat kitab alam semesta” bagi menjadikan ia satu sintesis pemahaman terhadap sebarang fenomena berasaskan informasi ciptaan Allah yang terkandung sebagai kalimatNya.

ilmu dan kebenaran yang bersepadu sebagai kalimah Allah selari dengan ayat Alquran berikut:

Alquran 41:53: 

Kami akan memperlihatkan kepada mereka *ayat-ayat* Kami di segala pelusuk bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa ini (ayat-ayat Alquran dan ayat-ayat fenomena alam) adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu? 

Bagaimana Manusia Menghadapi Perbezaan Pendapat?

Dari aspek gelagat manusia sesiapa yang tidak boleh menerima hakikat perbezaan dan perselisihan faham dalam proses mencari kebenaran di bumi ini bakal mewujudkan suasana konflik kerana dari segi pegangan dan tindakan setiap orang atau kelompok boleh memilih untuk:

1) sedia berlapang dada dan menghormati pandangan dan hujah masing-masing

2) sedia berkongsi ilmu dan berdebat secara ilmiah dan terhormat

3) sedia bertikam lidah, mengumpat dan menimbulkan kedengkian dan saling bermusuhan di antara satu sama lain

4) sedia menghukum, membuat tuduhan, menfitnah dan menggunakan kuasa “membunuh” harga diri atau sehingga mengusir orang itu dari sesuatu institusi, negeri dan negara

5) sedia berperang dan berbunuhan untuk memenangkan anutan pegangan masing-masing

Pilihan manusia itu pula biasanya didorong oleh sifat dengki, iri hati, ego atau ingin mengejar dan merebut kuasa, pengaruh, jawatan, duit dan harta.

Saya pernah menulis rencana “Konflik Manusia” tentang gelagat manusia ini yang wujud sejak anak-anak Nabi Adam berada di bumi. Memang dalam perjalanan sejarah kehidupan manusia unsur kedengkian terhadap perbezaan dan perselisihan pandangan adalah salah satu daripada punca utama kemelut dan konflik manusia zaman berzaman.

Malah manusia sering berperang kerananya. Kebanyakan orang ingin merasai dirinya benar dan betul. Kebanyakan orang ingin memenangkan aliran pemikiran dan fahaman mereka. Malah lebih dasyat mereka ingin memaksakan orang lain supaya tunduk kepada mereka. Maksudnya mereka ingin menjadi autoriti kebenaran di dunia.

Firman Allah dalam Alquran 2:213 tentang perselisihan manusia:

Manusia itu adalah umat yang satu (timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus.

Prinsip saya sebagai pengkaji adalah pada kedudukan sedia berlapang dada dan menghormati pandangan dan hujah setiap ilmuan dan pengkaji. Sekiranya sesiapa ingin mengemukakan pemikiran yang berbeza dipersilakan menulis pemikiran mereka untuk dikongsikan. Begitulah pendekatan saya sejak dulu.

Tahukah anda era 1980an adalah era “modernization of knowledge” dan “islamization of knowledge?” Maka akibatnya berlaku pertembungan pemikiran dan pandangan di peringkat universiti. Ada professor universiti menyatakan gejala ini sebagai pertembungan golongan ulamak tradisi dan golongan intelektual.

Begitulah senario apabila ilmu sains dan agama cuba dikaitkan dan digabungkan walaupun usaha itu dijalankan di peringkat pengajian universiti di mana sewajarnya perbezaan itu diraikan. 

Bagi saya Allah sebagai pencipta dan penguasa alam semesta adalah sebaik hakim dalam setiap kes, perkara, persoalan, permasalahan, konflik dan perselisihan yang berlaku di dunia semasa di akhirat kelak.

Firman Allah dalam Alquran 39:46: 

Katakanlah: “Wahai Allah, Pencipta langit dan bumi, Yang mengetahui perkara ghaib dan yang nyata, Engkaulah Yang memutuskan antara hamba-hambaMu tentang apa yang selalu mereka memperselisihkannya”.

Sebagai insan kita diuji dengan pelbagai sumber informasi dan idea maka kita perlu membuat penilaian dan keputusan paling baik dalam membuat pemilihan.

Firman Allah dalam Alquran 39:18: 

yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang menggunakan akal.

Di peringkat pemikiran atau kognitif kita boleh hidup dengan aman atas wujudnya perbezaan itu sekiranya diraikan, tetapi di peringkat amalan dan perlakuan pula seperti memaksa, mengumpat, menfitnah, mengusir, mendengki dan membunuh sudah pasti itu memudaratkan kehidupan yang aman dan sejahtera. Itulah yang membezakan kelompok dan tamadun manusia di antara yang beramal saleh dan yang tidak. 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*