
oleh Ghazali Long
Islam dan sensitiviti agama.
Sebenarnya Islam dan sensitiviti agama adalah dua perkara yang tidak berkaitan. Sedar atau tidak, kita tidak pernah di ajar tentang sesuatu perkara dalam Islam sebagai perkara sensitif. Apa yang menyebabkan sesuatu perkara menjadi sensitif ?
Apakah yang sensitif dengan kepercayaan kita yang seolah-olah tidak boleh dibincangkan secara terbuka. Adakah kita tidak boleh membicarakan apa yang kita percayai? Atau adakah kerana kita tidak boleh menjawab secara jujur dan benar tentang kepercayaan kita? Bukankah ini seolah-olah mempercayai sesuatu tanpa soal dan menerima dengan begitu sahaja kerana telah dipercayai sejak berzaman oleh nenek moyang kita. Maka ianya terus dianggap benar, tetapi sensitif? Atau kita mempercayai atas sebab default truth – iaitu sebab kita telah dilahirkan dalam sesuatu agama yang kita warisi dari keturunan dan dianggap benar dan bukan petunjuk yang dicari dari Allah?
Islam dengan Berserah.
Mengikut definasi Al-Quran, maksud Muslimin adalah mereka yang telah berserah kepada Rabb Sekelian Alam dan patuh kepada semua peraturan yang telah ditetapkan. Contoh berserah (aslama) yang paling jelas diterangkan ialah penyerahan Nabi Ibrahim. Kita telah melihat bagaimana Nabi Ibrahim telah bertukar-tukar tuhan, dari bintang, bulan dan ke matahari (6:75-79) . Akhirnya beliau mendapati semuanya ada kelemahan. Begitu juga dengan batu-batu sembahan nenek moyang beliau, Nabi Ibrahim turut mempersoalkan kepercayaan nenek moyang dan bapa beliau sendiri. Apabila dipersoalkan, kaum Nabi Ibrahim berasa amat tidak selesa dengan persoalan beliau dan tidak dapat memberi apa-apa jawapan. Inilah sensitiviti kaum Nabi Ibrahim yang mereka sendiri rasa terhina kerana mereka tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan. Kerana tidak dapat menjawab, maka mereka berasa terpanggil untuk menghukum Nabi Ibrahim dengan mencampakkan beliau ke dalam api.
Tapi ini hanya kiasan. Apa yang dimaksudkan dengan api adalah lontaran-lontaran cemuhan ketidakpuasan hati. Ianya tidak membahayakan Nabi Ibrahim, tetapi hanya sekadar untuk menyakiti (21:70, 3:111).
Nabi Ibrahim ternyata telah berserah kepada Allah tanpa ada sekutu dengannya. Beliau tahu bintang, bulan, matahari dan semua makhluk adalah patuh kepada Allah. Dan tidak ada perantaraan antara Nabi Ibrahim dan Allah.
Dari kisah Nabi Ibrahim, kita boleh melihat bagaimana Nabi Ibrahim menilai setiap kejadian alam dan akhirnya akur dan berserah kepada Tuan kepada alam semesta (Rabbi Al-AAlameen). Tidak ada perantaraan antara Nabi Ibrahim dan Allah. Penyerahan (aslama) ini menjadikan Nabi Ibrahim seorang Muslimin dimana beliau patuh kepada semua hukum Allah dan peraturan alam semesta ciptaanNya. Nabi Ibrahim telah selamat dari sensitiviti agama dan tidak perlu perantaraan antara beliau dan Allah – Rabb sekelian alam. Kiasan Nabi dilontar ke dalam api bermaksud, segala tohmahan atau cacian kepada beliau, tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan kerana antara Allah dan Nabi Ibrahim, tidak ada apa-apa perantaraan yang dapat digunakan oleh kaumnya sebagai cacian atau tohmahan. Kiasan api dari kaum Nabi Ibrahim sedikit pun tidak memberi kesan padanya.
Imaan dan keamanan.
Iman bermaksud beroleh keamanan atau keselamatan selepas kita berserah (aslama) kepada Rabb sekelian Alam. Ini bermaksud, segala pemahaman dan tindakan kita adalah berasaskan fakta nyata, pembuktian dan saintifik. Ini adalah asas kepada Al-kitab kepada orang yang bertakwa (2:2).
Penyerahan (aslama) Nabi Ibrahim telah membawa kepadanya keadaan beroleh keamanan (āmanū) dan selamat (salama) dari unsur-unsur sangkaan yang tidak berasas.
Ini bermakna, keislaman dan keimanan Nabi Ibrahim tidak terdedah kepada apa-apa unsur penghinaan. Kehinaan akan berlaku apabila unsur-unsur sangkaan tidak dapat diberi pembuktian kukuh.
Syirik dan Sensitiviti Agama.
Dari kisah Nabi Ibrahim, kita dapat rumuskan bahawa sensitiviti agama kaum Nabi Ibrahim terletak pada patung-patung batu. Kaum Nabi Ibrahim tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Nabi Ibrahim dan itu telah menjadi isu sensitif kerana mereka telah gagal untuk menjawab dengan yakin.
Syirik adalah apabila kita meletakkan sesuatu sebagai perantaraan antara diri kita dengan Allah. Perantaraan ini boleh terjadi dalam pelbagai bentuk, sama ada dari batu berhala, kuil, tempat-tempat suci, manusia termasuk Nabi atau pendita-pendita agama dan juga masa, iaitu mempercayai Allah mempunyai kesukaan pada waktu-waktu tertentu, atau hari atau bulan. Dalam setiap agama, akan terdapat pelbagai ritual-ritual unik kepada agama tersebut. Sesiapa yang bukan dari agama tersebut mungkin tidak dapat menerima atau memahami penjelasan dari mereka yang dari agama tersebut.
Contohnya seorang Islam mungkin sukar untuk mempercayai ritual orang Yahudi di Dinding Barat Jerusalem. Sebaliknya, orang Yahudi juga mungkin tidak dapat menerima kota Mekah sebagai tempat suci, walaupun Yahudi, Islam dan Kristian berasal dari kepercayaan Tuhan yang sama. Perbalahan inilah yang menjadikan agama sebagai isu sensitif. Jerusalem adalah contoh terbaik apabila kita mengaitkan sesuatu dengan Tuhan. Yahudi, Kristian dan Islam masing-masing mempunyai kepentingan tempat yang dianggap suci kerana dikaitkan dengan Tuhan. Perbalahan timbul kerana masing-masing meletakkan kesucian pada sesuatu tempat. Kita sebenarnya gagal untuk melihat kebesaran Tuhan dengan segala ciptaanNya di seluruh alam.
Pendedahan teleskop James Webb baru-baru ini telah memperlihatkan betapa besarnya cakrawala dengan galaksi-galaksi yang kita sendiri tidak dapat gambarkan apakah disebalik kebesaran yang kita telah saksikan. Kita lebih asyik kepada tumpuan tempat-tempat yang dianggap suci dan sanggup berbalah, tapi gagal untuk melihat apa yang lebih besar iaitu Rahmat dariNya. Bayangkan betapa besarnya rahmat yang kita kecapi dari bumi ini sahaja, dan bandingkan dengan apa diluar galaksi sana.
Tapi kita lebih tertumpu dengan perkara remeh dan tempat-tempat suci di muka bumi. Seperti debat antara Taslim Ahmed Rehmani dan Nupur Sharma, kita telah tersangkut dengan perkara sangkaan dan ianya akhirnya menjadi tegang apabila masing-masing tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan.
Mengapa jawapan tentang Agama selalu tidak memuaskan?
Al-Quran telah berulang kali menjelaskan bahawa kita seharusnya mengikuti tanda-tanda (ayat) yang jekas nyata dan bukan sangkaan dan tekaan. Apabila kita gagal untuk menjelaskan sesuatu dengan nyata dan benar, kita harus beringat adakah ianya cuma sangkaan tanpa bukti yang kukuh. Jikalau jawapan yang diberi hanya bersandarkan penceritaan tanpa bukti kukuh, maka kita mempunyai asas dan sebab untuk meraguinya. Dalam lain perkataan, Al-Quran berkehendakan pemikiran saintifik dalam apa jua bukti penerimaan dan bukan berasaskan sangkaan atau tekaan.
Sangkaan dan tekaan amat berleluasa sehingga menyebabkan Islam telah berpecah kepada pelbagai fahaman, mazhab atau tarikat sehingga ke hari ini. Agamawan amat sedar kerana perbezaan yang berlaku kesemuanya adalah atas perbezaan pendapat. Mengapa pendapat mereka berbeza? Adakah kerana pendapat masing-masing sebenarnya dibuat di atas tekaan dan sangkaan berdasarkan maklumat yang mereka perolehi dari penceritaan dari pelbagai pihak?
6:115 Dan telah SEMPURNALAH Kalimah RABB kamu dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.
6:116. Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan SANGKAAN ( l-zana ) semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah MENEKA ( yakhrusuna ).
Inilah yang kita perlu jauhi, tapi malangnya kita telah menerima tanpa soal sejak kita lahir kerana hanya mengikut kepercayaan keturunan ibubapa kita. Kita terima segalanya sebagai kebenaran mutlak. Dan apabila kita tidak mendapat memberi jawapan yang memuaskan, kita menyatakan ianya adalah sesitiviti agama yang tidak boleh dipersoalkan. Kita menjadi marah atau menganggap ianya sebagai penghinaan apabila persoalan tersebut menimbulkan konflik yang kita tidak dapat selesaikan.
Inilah akibat dari hanya mengikut dan menerima amalan nenek moyang tanpa ragu-ragu.
2:165 ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah sekutu-sekutu, mereka mencintainya, sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman itu MENGETAHUI ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya,
2:166 ketika ketua-ketua yang menjadi IKUTAN itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan terputusnya segala hubungan di antara mereka.
2:167 Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami dapat berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami!” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.
2:170 Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?
5:104 Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada RasulNya” , mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah sekalipun DATUK NENEK MEREKA TIDAK MENGETAHUI APA-APA dan TIDAK PULA MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK?
Lagi di ulang di Surah Al-Araf
7:28 Dan apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya”. Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?”
Di ulang lagi
7:70 Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.
Surah Yunus
10:78 Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi? Dan sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.
Surah Ibrahim
14:10 Rasul-rasul mereka bertanya: “Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak MENYEKAT KAMI DARIPADA MENYEMBAH APA YANG TELAH DISEMBAH OLEH DATUK NENEK KAMI. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata”.
Apa yang kini jelas, agamawan-agamawan Islam hari ini sering memberi amaran yang agama Islam yang mereka warisi berada dalam ancaman dari pelbagai musuh dan ideologi. Undang-undang digunakan untuk melindungi agama menunjukkan kelemahan agama itu. Bukankah ini satu penghinaan pada Islam yang terpaksa bersembunyi disebalik undang-undang. Adakah Allah juga bersembunyi dibelakang tindakan undang-undang Syariah atau Sivil?
Apabila agama Islam diletak dalam situasi sebegini iaitu terdedah kepada ancaman, maka agama Islam bukan lagi Islam kerana kita diletak dalam suasana ketakutan. Agamawan telah gagal menawarkan keamanan kepada kita sebaliknya asyik menakut-nakutkan kita dengan pelbagai ancaman dan perkara haram. Di manakah letaknya keamanan dan keselamatan?
Syirik dan Kesengsaraan
Apabila kita meletakan sesuatu sebagai perantaraan atau sebagai kaitan dengan Allah, kita telah menjadikan perkara tersebut terdedah kepada penyoalan, kritikan dan juga tohmahan. Akhirnya ianya menjadi perkara sensitive yang membuat kita marah jika ada pihak mempersendakan atau menyoal asas kepada perkara itu dikaitkan dengan Allah.
Kita boleh lihat pelbagai konflik agama telah wujud atas sebab ini, terutama dengan apa yang berlaku di Jerusalem. Tiga blok agama dengan konflik untuk mempertahankan tempat suci masing-masing, walaupun pada asalnya semua adalah dari rumpun agama yang sama. Kerana masing-masing mengaitkan sesuatu dengan Tuhan masing-masing, maka ianya akhirnya menjadi perkara sensitif yang membawa kepada kesengsaraan.
Al-Quran amat jelas tentang menjauhi syirik dan mengapa kita perlu menghayati Syaari Allah yang sebenar.
22:30 Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, –
22:31 dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).
22:32 Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
Dari ayat di atas, Al-Quran telah memberi amaran tentang bahaya syirik dan kesengsaraan yang datang dengannya.
Perspektif Al-Quran.
Bagi mereka yang meneliti isi kandungan Al-Quran, kebenaran yang dicari adalah sesuatu yang amat kukuh dengan petunjuk yang sukar untuk dinafikan. Ini adalah asas kepada keimanan, iaitu pengetahuan yang mendalam tentang apa yang diketahui, yang membawa kepada keamanan diri, sekuriti dan selamat. Asas pengetahuan yang kukuh akan membentuk keimanan yang sukar digugat. (2:26)
Perbandingan antara keimanan dan kekufuran boleh kita lihat dari reaksi agresif atau keresahan bila asas kepercayaan dirasakan tergugat atau terancam didalam sesuatu konflik.
Perasan terhina ini sebenarnya adalah konflik dalaman yang kita tidak dapat selesaikan, iaitu percanggahan kognitif (Cognitive dissonance ). Ini terjadi apabila kepercayaan yang kita pegang selama ini tergugat dari segi kebenaran, dan tidak dapat dipertahankan.
Islam tidak akan mampu dihina.
Didalam surah Al-Imran ayat 3:111 Mereka tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.
Ayat di atas memberi jaminan bahawa jika ada apa-apa tohmahan, ianya tiada asas yang perlu kita risaukan. Dan ayat seterusnya menjelaskan, mereka yang terhina adalah mereka yang kufur.
3:112 Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).
Maka jika kita rasa terhina, itu adalah sebab kekufuran kita sendiri yang kita tidak dapat tegakkan dengan nyata.
Kita rujuk kembali contoh kontroversi di India baru-baru ini dimana seorang wakil politik India telah memetik perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aisha. Kes ini amat menarik kerana kita dapat melihat konflik dalaman umat Islam bila berhadapan dengan kenyataan seperti ini.
Umat Islam tidak ada masalah bila para agamawan memetik dan bersyarah tentang perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aisha ketika Aisha masih lagi di alam kanak-kanak. Semuanya dianggap indah belaka sambil memetik hadith-hadith sahih. Namun apabila ada pihak bukan Islam memetik perkara yang sama dari hadith yang sama, kita menganggap ianya satu penghinaan dan bukan satu yang indah pula.
Mengapa ini terjadi? Perkahwinan kanak-kanak adalah sesuatu yang sukar untuk diterima dalam persekitaran masyarakat sivil. Tapi umat Islam secara umum tidak mengetahui bahawa perkahwinan dengan kanak-kanak tidak disokong oleh AlQuran yang sebenarnya memberi asas kepada masyarakat sivil (4:6, 19, 21).
Jadi jelas disini, jika umat Islam mengetahui kebenaran yang berlandaskan Al-Quran, ternyata, isu ini tidak lagi akan menjadi sesuatu yang membuat umat Islam rasa malu, dan sebaliknya menyampaikan perkara sebenar dan mendedahkan perkara yang palsu.
Leave a Reply