
Saya akan terus berasa bersalah kepada Farouk Peru jika tidak menuliskan hal ini. Kerana sudah banyak kali beliau meminta saya menulis di Wacana Pemikir, dan saya hanya berjanji dan terus berjanji. Jika saya berjanji sekali lagi, dan tidak menunaikannya, maka tak ubahlah saya seperti politikus-politikus haprak di Malaysia.
Baru-baru ini berlangsungnya program peluncuran buku Kassim Ahmad. Ini bukanlah karya baru penulis, sasterawan dan pemikir kontroversial itu, tetapi saya nampak adalah himpunan tulisan-tulisan Kassim Ahmad (Pak Kassim) yang sama ada belum pernah disiarkan di mana-mana, atau yang jarang dibaca tetapi terpilih untuk dibukukan oleh pasukan Lestari Hikmah pimpinan Mohd Rashidi. Beliau ini dulunya adalah juga anggota IRF (Islamic Renaissance Front), kemudian mungkin sudah keluar. Saya juga nampak Dr. Farouk Musa pendiri IRF turut hadir. Lif rosak di Hotel Prescott itu menyebabkan kami beramai-ramai kena mengangkat Dr. Farouk beserta kerusi rodanya termasuk Dr. Chandra Muzaffar yang juga berkerusi roda.
Pengisian diberikan oleh anak Pak Kassim sendiri iaitu Ahmad Shauqi Kassim diteruskan kemudiannya oleh Dr. Chandra Muzaffar. Saya kurang jelas sangat penjelasan dari Dr. Chandra, apatah lagi kualiti mikrofon yang agak kureng. Dan seterusnya pembentangan oleh Dr. Azhar Ibrahim. Sebenarnya sebelum ini, Dr. Azhar sendiri pernah membentangkan –solo– tentang Pak Kassim di Gerak Budaya. Saya hadir ke program itu tetapi tidak ingat asbab program itu dijalankan sempena apa. Pembentangan Dr. Azhar di majlis anjuran Lestari Hikmah itu, sedikit sebanyak boleh dibaca di dalam buku terbaru Pak Kassim yang diterbitkan itu. Tiga pembentangan atau perkongsian pada petang itu boleh ditonton sendiri di Youtube.
Bagaimanapun tulisan ini bukanlah tentang program itu semata. Di mana-mana sahaja acara, ‘after program’ selalunya lebih meriah dan rancak. Tulisan ini lebih kepada mencatat ‘keriuhan’ selepas program tersebut. Dr. Wan Manan –penerjemah Fatimah karangan Ali Syari’ati dan Pedagogi Kaum Tertindas karangan Paulo Freire – juga ada. Saya bertemu dua kali dengan beliau sebelum ini. termasuk Pak Engku (Raja Ahmad Aminullah) dengan buku barunya. Tetapi untuk kali ini saya memilih untuk bersama kawan-kawan baru yang muda-muda, yang jarang dapat berjumpa dan bersua muka.
Selepas habis program, kami melepak seketika di luar dewan, dengan menikmati santapan-santapan yang sedap. Bersama saya ketika itu ialah, Ibn Azhar, Fardhil Azri, El Ghazali, Mus, Kashhogi, Munawir dan beberapa orang lagi. Assad ketika itu melepak di meja Dr. Farouk sebelum bersama kami.
Saya fikir kehadiran ramai anak muda ke program ini, antaranya disebabkan Pak Kassim sendiri yang terkenal dengan ‘anti-hadith’. Sekurang-kurangnya itulah teman-teman muda yang ada di meja bersama-sama saya ketika itu. Melainkan Fardhil Azri yang Salafi, tersesat masuk ke dalam perkumpulan ini, semuanya boleh dikatakan Quranis.
Ibn Azhar juga sudah Quranis, jika saya tak salah. Sosok ini pernah berdebat dengan saya dalam satu perdebatan yang sengit awal 2014, sehingga saya berdiri di atas kerusi dan mengucapkan sesuatu yang tidak ada dalam mana-mana rakaman. Saya pun sudah lupa inti apa yang saya debatkan di malam itu. Kerana pada malam itu ialah pembentangan oleh Ibn Azhar sendiri, dan saya menjual buku di luar, sebelum dipanggil untuk masuk. Tetapi bila difikirkan balik, hujah-hujah Ibn Azhar dari sudut keagamaan sememangnya lebih cemerlang, bahkan sehingga sekarang ini. Cuma di luar hal agama, seperti sekular, bukan semuanya saya setuju dengan beliau.
Fardhil Azri, entah kenapa begitu dibenci ramai orang, terutamanya yang tidak hadir ke situ. Bagaimanapun saya jadi tertarik pula kepadanya, bagaimana dia yang seorang secara terang-terang mengatakan dirinya Salafi boleh terjebak dalam kumpulan yang kalau dalam ikut pandangan arus perdana, sudah menjadi ahli neraka (congregation of hell). Untuk hal ini, saya menjadi kagum juga kepada beliau. Dan selain Assad, saya tidak fikir ramai yang boleh menerima argumentasinya (Fardhil). Jadi keberanian beliau untuk masuk ke dalam kumpulan-kumpulan sebegini, wajar saya tabik.
Ini semua mengingatkan saya pada kumpulan-kumpulan di sosial media yang meletus era 2013-2014. Antaranya yang boleh disebutkan seperti Lepak Maqasid pimpinan Ustaz Wanji, seterusnya perkumpulan-perkumpulan ‘murtadin’, seperti yang saya masih ingat seperti Murtad Melayu Singapore, Murtad Melayu Pantai Timur – jika saya tak salah. Ketika itu, belum wujud lagi KUBU (Kuliah Buku). Kuliah Buku hanya wujud pertengahan tahun 2014 atau lebih tepat, semasa Ramadan tahun 2014. Jadi sebelum adanya KUBU, group yang saya rasakan hampir sama dari sudut semangat ‘kesesatannya’ ialah The School of Seekers. Antara ahlinya yang masih berhubung dengan saya seperti Terry. Bagaimanapun group itu sudah lama tutup kedai. Terry adalah designer yang mereka logo The School of Seekers, yang biasa saya akronimkan sebagai tSoS. Seingat saya. Dan tSoS ini pernah ada zine, yang entah di mana sudah saya letak.
Jadi yang bersama kami pada petang, hingga lanjut malam itu dari group yang pelbagai. Ada group baru, dan ada group lama. Dari Wacana Pemikir, BUMI (Buana Minda), Kiub Batu Itu Berhala, bahkan ada yang dari Warung Atheist, maksud saya yang berada dalam group itu.
Antara yang menjadi perbincangan ialah dari mana sesuatu pengetahuan atau ilmu datang. Ini adalah persoalan epistemologi. Persoalan ini antara lain sering diulang-ulang oleh Fardhil hingga menjemukan yang lain-lain. Fardhil terlalu mengagungkan persoalan periwayatan dan sanad, sebagai sumber ilmu. Sedangkan cara sesuatu ilmu itu sampai kepada seseorang ialah pelbagai. Selain kaedah sanad, empirical juga adalah metodnya. Selain itu bagi saya ialah pengalaman. Manusia tidak semestinya belajar atau berguru dengan buku, teoritikal ataupun sekolah. Tetapi pengalaman sendiri boleh jadi satu guru terbaik. Ada lagi cara nak memastikan kebenaran itu, iaitu provando e riprovando iaitu test and test again. Uji dan uji lagi. Ini moto sebuah kumpulan yang saya baru baca. Jadi bukan hanya mendengar riwayat, tetapi harus diuji cuba.
Kashoggi dan saya sendiri menafikan penggunaan analogi untuk semua keadaan. Contohnya untuk mengetahui tentang Kutub Utara, kita tidak semestinya hanya bergantung pada periwayatan para perawi (atau orang yang pergi ke sana). Ibn Azhar menambah tentang ainul yaqin. Dalam pengertian mudahnya, sampai satu tahap, kita harus pergi ke sana, bukan sekadar percaya. Begitu juga tentang 1 + 1, kita tidak mengetahuinya melalui hanya perawi atau periwayat (pencerita), sebaliknya kita sendiri boleh mengujinya sendiri melalui kita membuat sendiri operasi matematik itu.
Banyak hal lain lagi yang dibahaskan, sampai ke nihilism. Saya pun bukanlah nihilist tegar. Tapi saya cenderung pada perspectivist. Jika ada permintaan, saya sambung lagi tulisan ini. Jika tidak, sekadar ini sahaja.
Leave a Reply