Adakah Salah Kita Ucapkan ‘Rest in Peace’ untuk Orang ‘Bukan Islam’?

Bila-bila sahaja ada orang kenamaan bukan Islam yang meninggal dunia, akan ada juga agamawan yang mengulangi fatwa yang orang Islam dilarang mengucapkan ‘rest in peace’ (berehatlah dalam kedamaian) kepada roh si mati. Kononnya, golongan bukan Islam itu kafir dan akan disiksa, maka adalah salah kita melahirkan harapan yang mereka akan dalam keadaan damai.

Fatwa ini adalah bengis dan tidak berperikemanusiaan. Syukur kepada Allah yang telah ramai orang Islam yang menyoal dan terus menolak fatwa ini. Tetapi itu bukan poin karangan ini. Poin saya ialah bagaiman fatwa agamawan sebenarnya melanggar falsafah Quran sendiri.

1. Siapakah ‘islam’ dalam Al-Quran?

Kepada majoriti golongan Melayu Islam Malaysia (MIM), Islam itu seakan-akan satu kultus (cult), seseorang itu, bila mengucap dua kalimah syahadah akan menjadi Muslim dan jabatan-jabatan agama akan dapat berkuasa dalam hidupnya. Kelakuan orang ini akan dikawal dalam beberapa aspek (tidak boleh berdisko, minum arak, berjudi, berkhalwat dsb) tetapi ada juga orang Islam buat. Ritual-ritual seperti sembahyang dan puasa juga dikawal tetapi ada juga yang sembunyi-sembunyi. Tetapi satu aktiviti yang tidak pernah dikawal – berbuat kebaikan. Jika kita tidak pernah berbuat kebaikan satu minit pun, tiada masalah. Kita tetap beragama Islam.

Adakah ini bertepatan dengan definisi ‘islam’ dari Quran? Jauh sekali! Dalam Quran, islam itu pembawaan salam iaitu kedamaian. Tidak ada ucapan syahadah pun yang memasukkan kita ke dalam apa-apa puak. Kita islam untuk Tuhan seperti personaliti dalam Quran juga. Ibrahim, antara personaliti utama Al-Quran melahirkan keislaman dia setelah mendirikan sistem yang menjaga manusia (2/124-131).

Firaun, musuh kepada Musa, personaliti Al-Quran yang paling disebut, mengaku yang Musa dan kaumnya adalah muslimin (10/90). Dia hanya melihat program sosial kaum Musa iaitu memberi perlindungan kepada masyarakat (10/87).

Konsep islam ini juga diamalkan oleh semua makhluk di alam kita (3/83). Maksudnya, semua makhluk mencari satu keadaan di mana mereka damai dan tidak mengalami apa-apa ancaman.

Jika kita mengikut fahaman Tradisional tentang ayat-ayat 2/62 dan 5/69, maka pelbagai agama yang mempercayai Tuhan/Kebenaran dan melakukan kebaikan akan diterima Tuhan. 29/69 juga memberitahu kita tentang ‘jalan-jalan Kami’ iaitu Tuhan yang berkaitan dengan kebaikan. Yang hairannya, ada pendakwah bebas memaparkan ayat ini di laman Facebooknya tetapi masih sempit dalam fahaman Islamnya!

2. Apakah syirik dalam Al-Quran?

Menurut fikrah MIM yang lazim, syirik itu menyekutukan Tuhan dengan entiti-entiti lain yang dipertuhankan. Jesus dalam agama Christian dan tuhan-tuhan agama Hindu menjadi sasaran terdekat golongan MIM.

Namun MIM tidak sedar yang banyak aspek syirik sebenarnya wujud dalam masyarakat kita. Contoh yang paling utama ialah pengambilan agamawan iaitu kasta paderi sebagai tuan-tuan (arbab) di sisi Tuhan (Quran 9/31 dan 34). Di Malaysia, agama adalah satu industri yang dapat memperkayakan agamawan. Tetapi kita tidak sedar yang ini sebenarnya satu syirik.

Kita juga telah mencipta ideologi-ideologi yang bertentangan dengan islam. Contoh yang paling utama ialah ideologi kafir bumiputra-isme. Ia satu kufr kerana ia menutup nikmat Tuhan untuk manusia sejagat dan menyempitkan penyebaran dana negara. Sistem islam mestilah adil kepada manusia dan kelangsaian prinsip ini adalah satu syirik (7/28-33).

Begitu juga syirik yang terbesar iaitu penuhanan hawa nafsu (Quran 25/43 dan 45/23). Berdekad lamanya, kita diperintah oleh golongan yang begitu rakus dan tamak haloba. Berbilion dana Rakyat dirompak dan disamun. Individu ini suka menayang kewarakannya ‘beribadat’ tetapi hakikatnya ialah yang tuhannya adalah hawa nafsu.

Maka, janganlah MIM menyangka yang syahadah mereka itu melepaskan dari seksa.

3. Hujah MIM dan penangkisannya

Pada kebiasaannya, golongan MIM akan memetik ayat berikut untuk memberi justifikasi posisi mereka. Penggunaan applikasi ini menunjukkan begitu kurangnya kerapian kita apabila memetik ayat. Ini tidaklah menghairankan kerana agamawan memang biasa berbuat begini.

Ayatnya 9/113:

Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.

a. Masalah pertama dengan memetik ayat di atas adalah jika kita memfaktorkan bahawa islam bukan kultus dan syirik itu tidak terhad kepada agama lain. Maka, orang musyrik (yang melakukan syirik) boleh jadi sesiapa sahaja

b. ‘meminta ampun’ bukanlah sama dengan melahirkan harapan ‘rest in peace’. Hanya bacaan yang cetek yang akan menyamakan kedua konsep ini. Lagi pun, ‘meminta ampun’ adalah terjemahan salah bagi ‘yastaghfiroo’. Ini adalah kerana tiada orang lain yang boleh meminta ampun untuk kita. Dalam Quran, konsep ‘sendiri buat, sendiri tanggung’ adalah konsep asas (35/18). ‘yastaghfiroo’ lebih sesuai diterjemah sebagai ‘mencari perlindungan’. Kita tidak boleh mencari perlindungan bagi orang yang menyekutukan sistem Tuhan dengan sistem kezaliman. Itulah bacaan menurut konteks.

4. Pemberian salam Ibrahim ke atas bapanya.

Dalam Quran 19/46-47, Ibrahim telah memberi salam ke atas bapanya yang telah mengancam untuk merejamnya jika dia tidak menghentikan dakwahnya dan pergi sehaja! Tetapi ini tidak menghalang untuk mengucapkan kedamaian! Ibrahim adalah contoh untuk Muhammad menurut Quran sendiri (16/123) dan dikatakan sebagai contoh yang cantik dua kali (60/4 dan 6).

Pengucapan salam ialah perkara yang dituntut bagi sesiapa sahaja. Kalau orang itu beriman, ucaplah salam (6/54), kalau orang itu baru kita jumpa dalam salam (kedamaian), jangan kata dia tidak beriman (4/94). Sekalipun orang itu jahil dan mengejek dan menolak kita sekalipun, kita patut memberi salam (25/63, 28/55).

5. Tuntuhan hidup positif kepada manusia

Salah satu prinsip asas dalam Quran ialah penghidupan yang saling memberi sikap positif. Contohnya ayat ini:

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat  maka balaslah pengormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu (4/86)

Ayat ini tidak menghadkan kita kepada bangsa atau agama manusia tersebut. Jika dia hidup positif dengan kita, maka hiduplah dengan lebih positif dengannya. Jika dia mengucapkan ‘rest in peace’ atau ‘al-fatihah’ untuk kesedihan kita, maka bila dia bersedih, kita patut mengucapkan ‘rest in peace’ juga. Bukan itu sahaja, kita perlu lebih positif! Maka kita mungkin boleh menolong dengan cara lain juga.

Inilah prinsip islam yang mendamaikan masyarakat. Ia berlawanan dengan kultus agamawan yang diikuti kebanyakan MIM.

About Farouk Peru 14 Articles
Editor dan penulis utama Wacana Pemikir Jaringan Quranis Bersatu

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*