Catatan Benz Ali Vol.2: Persoalan Manusia yang Menuhankan Dirinya, Keakuannya, dan Mahu Kekal Abadi Seperti Ilahi

i.

Antara persoalan yang ditimbulkan pada hari itu juga – yang membawa sampai ke malam – ialah persoalan manusia yang menuhankan dirinya yang sebenar-benarnya. Saya bertanya kepada Fardhil Azridi situ, jika selepas mati nanti, dan selama kau hidup atas dunia fana ini, kau beramal soleh, mengikuti segala perintah dan menjauhi segala larangan, tetapi di hari akhirat nanti, Tuhan kau yang bernama Allah akan mencampakkan kau ke dalam neraka, adakah kau akan membantahnya?

Kata Fardhil Azri, ya, dia akan membantahnya.

Di situ makin meyakinkan saya lagi, bahawa seolahnya agama dicipta oleh manusia, untuk menuhankan dirinya yang sebenar-benarnya, bukanlah mahu tunduk dan patuh pada apa sahaja perintahNya, tetapi kerana keinginan untuk kekal dan tidak mahu mati.

Fardhil Azri, saya lihat dia seorang Islamis –bukan gerakan Islam– yang tegar. Saya melihat penampakan Hamza Tzortzis pada cara-cara penghujahan beliau. Saya harap suatu hari nanti, dia akan makin lebih hebat. Tetapi bagaimanapun hujahan-hujahannya belum cukup kuat untuk meyakinkan saya.

Fardhil Azri berada di garis literalis-Salafi. Beliau banyak menyebutkan nama Ibn Taimiyah dll yang saya sudah tidak ingat lagi.

Tetapi jika dalam garis Sufi, ia selalu akan menekankan soal peleburan dengan Tuhan suatu hari nanti. Jadi tiada yang kekal, hanya Dia. Kerana itu bait puitis Rabiah Adawiyah ada menyebutkan perihal ini, bahawa jika Tuhan campakkan dia ke dalam neraka itupun, dia akan terima. Maknanya, dia sudah sungguh-sungguh mahu melenyapkan dirinya, keakuan dirinya itu.

Bila saya katakan begitu, bukanlah maknanya atas muka bumi yang fana ini, kita tidak perlu makan, atau bila ada bunyi guruh meletup, kita tidak akan melompat, atau jika ditikam, kita tidak akan merasakan sakit. Itu adalah instinct. Ada kereta hendak melanggar kita, adakah kita patut melanggar kereta itu juga, atau mengelak?

Jadi agama secara harfiyah membekukan fikiran penganutnya. Dan membuatkan penganutnya hendak hidup abadi. Pertanyaan: abadi sampai bila?

Saya pernah mendengar ketika kecil abang saya bertanya kepada emak saya, bolehkah di syurga nanti, kita minta apa sahaja? Dan jika ya, bolehkah kita minta diciptakan satu planet untuk kita, dan kita menjadi Tuhan untuk planet itu?

Jika tidak boleh, kenapa tidak boleh? Bukankah dikatakan di syurga, kita boleh minta apa sahaja? Takkanlah kepuasan syurga berjuta-juta tahun itu, hanya untuk beromen sahaja dan mabuk sepanjang masa? (Saya tertarik dengan persoalan ini yang ditimbulkan dalam fiksyen terbitan Cukong Press, bagi saya itu antara naskhah mereka yang terbaik)

Adakah minta sebuah planet untuk ditadbir itu suatu yang sangat besar?

Dan jika dibolehkan, bukankah ianya sudah persis Tuhan?

Bukankah atas kuasa Tuhan, Dia nak masukkan sesiapa sahaja ke dalam syurga, dan sesiapa sahaja ke dalam neraka?

Jika Fardhil Azri seorang Muktazilah, atau Syi’ah, saya tidak mahu berbahas lagi. Kerana bagi dua sekte ini, Tuhan itu Maha Adil. Maka Tuhan tidak akan bertindak kepada kezaliman. Sementara Ahli Sunnah sebaliknya. Ahli Sunnah pula beriktikad bahawa Tuhan tidak terikat dengan janji-janjiNya. Tuhan dalam konsepsi Ahli Sunnah tidak wajib dan tidak kena mengikuti apa dan siapa, kerana Dia itu Tuhan. Fardhil Azri pula Salafi. Tetapi dia tidak mahu masuk neraka.

Persoalan keabadian dan ketuhanan.

Jadinya jika Fardhil di syurga nanti, hendak berapa lama? Sejuta tahun? Beromen dan berasmaradana di dalam syurga selama sejuta tahun?

Kebanyakan atheist dan sufi nampaknya mempunyai hujung yang sama, bahawa ketidakkekalan manusia. Kita akan mati akhirnya. Akan hilang, lebur dan hancur. Kita akan tiada lagi di sini. Kita akan mati meninggalkan planet bumi. Kalau mengikut fahaman Buddha, mereka percaya kepada reinkernasi. Maka berbuat baiklah kepada sesama yang ada di sini. Kelak kita akan hidup lagi, dan menjadi lebih teruk posisi jika kita berlaku jahat dan biadab pada hari ini. Tetapi hidup yang tidak sama lagi seperti sebelum ini.

Ya, sampai satu masa kita akan berasa lenguh dan letih dalam kehidupan ini. Kita tidak mahu menyambung nyawa lagi. Jika dunia ini penuh kesakitan, mengapa harus terus hidup dan menyaksikan? Jika dunia ini tiada apa-apa masalah, seperti ada sesuatu yang hilang, dan untuk apa kita berada di sini begitu lama?

Di sini yang membawa kepada absurdism dan nihilism itu. Agak teruk dua ism ini ‘dikatok’ pada malam itu, baik oleh Fardhil juga oleh Assad. Bagaimanapun itulah yang kebanyakan orang (bukan semua) melihat dunia hari ini. Akhirnya, agama seperti Islam akan berpada dengan mengatakan, serahkan sahaja pada Allah, Wallahu’alam bis showab.

Sedangkan baik hidup atau mati, kedua-duanya adalah persoalan yang tidak terlerai. Persoalan yang tidak pernah ada jawapan tuntas, meskipun sekian ramai cerdik pandai cuba menjawabnya.

Absurdism dan nihilism itu, bagi saya juga adalah sebuah konsepsi yang tidak pasti, sama seperti ideologi dan segala falsafah yang pernah lahir dan menetap di muka bumi ini. Marxism mengimpikan sesuatu yang berbeza, tetapi kemudian bila di tampuk kekuasaan, menjadi sesuatu yang berbeza pula seperti apa yang dicita-citakan para pendiri awalnya. Saya agak pro Soviet dan Stalin, dan masih membaca tentangnya. Tetapi apa yang berlaku di Cambodia dan Korea Utara agak sukar untuk dikatakan ini adalah mimpi-mimpi yang dimimpikan oleh Marx dan Engels. Ini yang saya katakan bahawa sepasti mana pun kita pada mana-mana konsepsi, kita masih tidak benar-benar pasti, apakah ia akan pasti menjadi seperti yang kita yakini.

Sama juga dengan agama. Orang Islam, Kristian, Yahudi percaya bahawa ada dunia selepas mati. Tetapi mengapa orang-orang Semitic Religion ini tidak mahu mati-mati? Bukankah mereka percaya secara objektifnya, mereka itu benar? Kenapa takut pada mati kalau percayakan syurga dan neraka, dan mereka di pihak yang benar? Bukankah mereka seperti yang mereka dakwahkan, bahawa mereka akan kembali kepada Tuhan? Mengapa mereka melambat-lambatkan hal ini? Bahkan orang-orang agama juga bersedih bila ahli keluarga, adik beradik dan sahabat handai mereka mati. Kenapa bersedih? Bukankah akan jumpa lagi? Di sini saya sangat kurang faham. Jika percaya pada dunia selepas ini, kenapa bermuram durja bila ada kematian, seolah tidak akan bertemu lagi?

Ini yang saya sebutkan bahawa agama juga adalah konsepsi yang tidak pasti. Ia bukanlah ilmu sains, yang tahap kepastiannya lebih tinggi berbanding agama, ideologi dan falsafah. Tetapi manusia mencipta konsepsi-konsepsi ini kerana takut dan bimbang, ke mana akan pergi selepas ini, apa akan jadi, adakah abadi di syurga nanti, atau hancur hilang terus selepas mati?

About Benz Ali 6 Articles
Seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*