Kebenaran, Kebaikan dan Keadilan dalam Perjalanan Kehidupan Manusia

oleh Ahmad Kamil Mohamed

Adakah insan seperti saya dijadikan untuk lahir di dunia ini sebagai seorang pencinta, pencari dan penegak kebenaran, kebaikan dan keadilan oleh Pencipta saya? Atau adakah insan seperti saya dijadikan untuk lahir di dunia ini sebagai pendokong dan penyebar kepalsuan, menyukai perbuatan buruk dan pembenci keadilan oleh Pencipta saya. Cuba bincangkan dan huraikan dan bincangkan mengikut pendapat sendiri.

Bagi saya soalan ini perlu ditanya dan dijawab dalam bentuk karangan di dalam kelas oleh setiap pelajar apabila mereka mencapai usia 17 tahun.

Apabila mereka sudah berusia 40 tahun mereka perlu menulis sekali lagi, Adakah saya secara sedar menghayati dan mengamalkan ciri insan sebagai penegak kebenaran, kebaikan dan keadilan dalam kehidupan harian saya? Atau sebaliknya kepalsuan, keburukan dan ketidakadilan.

Apakah contoh-contoh percakapan dan perbuatan yang boleh saya berikan untuk memberi gambaran perkara di atas dalam perjalanan hidup saya setakat ini?

Dari situlah berpaksinya tekad dan azam perjalanan hidup manusia seterusnya hingga akhir hayat.

Saya percaya ramai yang boleh menulis ayat-ayat dari Alquran yang membicarakan tentang kebenaran atau haq (lawan kepalsuan/kebatilan dan menzalimi), kebaikan (lawan kejahatan/korupsi atau fitnah) dan keadilan (lawan melampaui batas, menindas, menganiaya dan mengambil hak/bahagian harta orang lain).

Sebagai insan yang beretika (an ethical being) tentulah seseorang itu menurut atau patuh kepada perintah, peraturan dan undang-undang. Saya namakannya seorang yang jenis “ikut buku.”

Tetapi adakah hidup di dunia ini jadi mudah dan aman jika semua kaum dan ahli masyarakat yang pelbagai anutan kepercayaan ikut buku atau kitab masing-masing? Termasuk patuh kepada undang-undang dan perlembagaan tubuh negara (law of the land). Termasuk patuh pula kepada peraturan dan manual rujukan institusi seperti syarikat dan jabatan atau agensi masing-masing. Kemudian hidupnya pula memahami dan mematuhi prinsip-prinsip daripada ilmu yang dikaji dan dipelajari daripada segala bidang sains dari penerokaan fenomena alam fizikal, kejadian dan perlakuan manusia. 

Contohnya tentang kesan pembuangan perkara yang mencemar alam termasuk sungai dan hidup berprinsip iaitu tidak membuang bahan toksid dan pencemar terutama “non-biodegradeable” kepada alam.

Bagi yang berumur 60 tahun ke atas tentulah ada jawapan masing-masing samada mudah atau tidak. Itulah yang menjadi kepercayaan dan pedoman amalan serta pegangan masing-masing.

Pertama, perselisihan timbul apabila setiap insan mula merujuk kepada kitab kepercayaan masing-masing. 

Apakah reaksi anda bila saya membuat kenyataan tersebut?

Berdasarkan falsafah ilmu atau falsafah sains memang apabila seseorang membaca dia akan mentafsir. Jika dia tidak yakin atau suka mengkaji sendiri pelbagai sumber dia akan merujuk dan hidup berpandukan kepada tafsiran dan pilihan gurunya sahaja. Jadi hakikatnya hidup seorang insan adalah satu perjalanan penafsiran yang dibentuk sendiri atau diikut. Iaitu insan adalah penafsir jalanan hidup sendiri atau pengikut tafsiran orang. Ada pilihan lain? Ada. Malas nak fikir hal ini.

Salahkah fikir sendiri?

Ada golongan yang kata salah, “jangan nak pandai-pandai buat tafsiran sendiri. Kamu akan sesat.”  Oleh kerana pendirian ini agak kuat dalam sesebuah masyarakat maka wujudlah institusi penjaga agama dan ada bahagian yang menetapkan mana satu golongan sesat atau pengikut ajaran sesat. 

Ada golongan yang kata tidak ada salahnya membentuk tafsiran sendiri, yang salah menghebahkannya. Ada golongan yang tidak ada pendirian tentang perkara ini atau tidak minat ambil tahu.

Apabila saya membaca dan mengkaji Alquran memang ada ayat-ayat yang menyebut tentang hakikat perselisihan tersebut di kalangan manusia. Apabila saya mengkaji alam realiti dari perjalanan hidup saya di dunia ini saya mendapati memang berlaku perselisihan tersebut sehingga berbunuhan di antara golongan-golongan yang berselisihan.

Apabila saya mengamati ayat-ayat Alquran (bermula di dalam surah Albaqarah telah membicarakannya) bahawa Allah akan menjelaskan apa yang manusia perselisihkan semasa di bumi. Maknanya akhirnya Allah adalah Hakim kepada segala sesuatu yang berlaku dan diperselisihkan manusia semasa di bumi.

Sebagai seorang pengkaji gelagat manusia yang merupakan manifestasi perkataan dan perbuatan (menjadi amalan bila sudah yakin) makhluk komunikasi di bumi tentulah berminat untuk mengetahui perkara ini. 

Maklumat yang terhimpun oleh setiap insan melahirkan dan membentuk kerangka dan aliran pemikiran (disebut juga idealogi) seseorang.

Jadi perbezaan pandangan atau tafsiran adalah lumrah kehidupan manusia. Ia merupakan satu kenyataan yang benar. 

Sesuatu yang benar menjadi lumrah kehidupan manusia. Jika ada orang menyangkal  maka dia menolak atau menafikan lumrah kehidupan itu. Apa yang penafi ini akan lakukan? Dia suka menghukum dan membenci serta memerangi perbezaan.

Maka berlakulah konflik manusia. Ia diburukkan dengan pemujaan kepada keinginan untuk mencapai kepuasan diri (seperti meluaskan pengaruh secara paksa demi mewujudkan dunia satu aliran pemikiran sahaja), atau menjadi pemuja ego dan nafsu.

Saya pernah hidup dalam komuniti yang pelbagai kaum dan agama yang seimbang dari segi peratusannya, dalam komuniti kaum dan agama kepercayaan saya merupakan golongan paling majoriti, malah pernah hidup dalam komuniti di mana kaum dan agama kepercayaan saya adalah paling minoriti.

Dalam komuniti manakah agaknya di mana pengalaman berinteraksi dan berbincang tentang kandungan kitab dan aliran pemikiran atau tafsiran yang pelbagai dapat diadakan dengan rasa terhormat dan aman? Saya bertuah. Begitulah pengalaman hidup saya.

Itu merupakan fenomena perselisihan diperingkat pemikiran dan tafsiran manusia. Kita boleh pilih untuk saling menghormati di atas perbezaan atau saling membenci dan bermusuhan atau saling menghukum atau saling berbunuhan.

Pilihan itu telahpun dibuat oleh masyarakat manusia sebagai penduduk dunia dari sejak dahulu kala apabila turunnya manusia ke bumi, turunnya kitab Allah dan hadirnya rasul, sampailah ke hari ini dan tentunya juga masa akan datang. 

Kenapa?

Begitulah ragam manusia, lumrah kehidupan manusia di bumi. Pencari dan penyampai kebenaran lawan pengikut dan penyokong kepalsuan dari syaitan, pencinta dan pengamal kebaikan lawan pendokong dan penghasut keburukan dan antara penegak keadilan lawan pengaruh ketidakadilan.

Sesungguhnya yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk dari perkataan dan perbuatan tangan-tangan manusia. Juga telah dipesankan bahawa musuh yang nyata bagi manusia adalah syaitan yang membisikkan kepalsuan yang kelihatan indah dan menarik untuk mendapat habuan dan autoriti.

Sekadar penyampai dan pemberi ingatan kepada diri sendiri dan mereka yang ingin meluaskan pemikiran.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr 103:1-3).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*