Al-Quran: Satu Penilaian Semula (Bhg 5: Adakah Al-Quran itu Kitab Agama)

Pada mulanya, soalan ini akan nampak bodoh atau sarkastik. Ini adalah kerana kita telah biasa untuk melihat yang Al-Quran ini kitab agama. Di kedai-kedai buku, ia dijumpai di seksyen agama. Ia diajar dalam matapelajaran agama Islam di sekolah rendah dan menengah. Ia muncul di kaca TV dan, dewasa ini, di tingkap layar komputer dan smartphone juga! Semua kemunculan ini mencadangkan yang Al-Quran ini satu kitab agama.

Tapi apa itu ‘kitab agama’? Dalam persepsi kita, apabila kita memikirkan kitab agama, mungkin kita akan gambarkan satu kitab yang diangkat atau dipegang oleh sesuatu kumpulan manusia. Misalnya, Bible dipegang oleh golongan Kristian, Bhagavad Gita dipegang oleh golongan Hindu dan, seperti contoh di atas, Al-Quran dipegang oleh orang Islam.

Rasanya tidak salah jika saya mengatakan yang golongan Muslimin sangat menyanjung Al-Quran. Ia memang wujud dalam segala aspek kehidupan mereka. Daripada ritual sembahyang kepada bacaan sebelum berbuat segala sesuatu.

Namun begitu, sikap Muslimin ini tidak bererti yang Al-Quran itu memperhadapankan dirinya sebegai kitab agama. Seperti kitab ‘The Art of War’ karangan Sun Tzu: ia ditulis dalam konteks peperangan pada zaman kuno di negeri China. Atau ‘The Book of Five Rings’ karangan Miyamoto Musashi: ia mengenai seni peperangan dalam kendo. Mungkin Sun Tzu atau Miyamoto Musashi tidak menyangka yang kitab-kitab mereka akan digunakan dalam konteks seperti dunia perniagaan zaman moden! Jadi janganlah kita hairan bila dicadangkan yang mungkin Al-Quran juga mengalami nasib yang sama – iaitu digunakan dalam konteks yang bukan dikehendaki oleh Sang Pengkarya (The Author , sila baca Bab 3)

Maka, kita perlu bertanya, apakah ciri-ciri yang menjadikan satu karangan itu kitab agama? Mari kita dapati ciri-ciri ini daripada kitab-kitab agama yang lazim didapati di kedai buku Islam dan membandingkannya dengan ajaran Quran:

1. Mengajar ritual-ritual dari tradisi Islam: Mungkin kitab yang paling popular didapati di kedai-kedai buku Islam di Malaysia ialah mengajar cara sembahyang dan zikir-zikir atau doa-doa yang paling afdhal. Idea ini memang termaktub dalam literatur Hadith sendiri. Tetapi adakah idea ini diiktiraf oleh Al-Quran?

Jawapannya, tidak! Dalam keseluruhan kitab Al-Quran tidak ada satu pun doa yang dikatakan mustajab atau paling afdhal. Falsafah Quran tidak ada ide ini. Perkataan ‘qawl’ dalam Quran bukanlah ucapan secara literal tetapi mengambil maksud daripada kata-kata asal dalam teks.

Mari kita lihat qawl pertama dalam Al-Quran secara zahiriyah:

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman dengan Allah dan dengan hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak dengan orang beriman.(2/8)

Jika kata-kata ‘kami telah beriman kepada Allah…’ itu diambil secara lafaziyah (iaitu ‘man yaqulu amanna billah wa bil yawmil aakhir), maka ayat ini sepatutnya berkata, ‘dan di antara orang arab’ dan bukan di antara manusia kerana orang Arab sahaja yang melafaz begitu! Tetapi, jika ia diambil secara maksud, maka manusia di pelusuk dunia mengaku beriman dengan Allah tetapi tidak berperangai seperti deskripsi di atas.

Maka, Al-Quran tidak mengajar kita jampi mantera dalam bahasa Arab bukan seperti banyak kitab agama Islam! Sebaliknya, ia memberi kita falsafah untuk hidup.

2. Mengajar biografi Nabi Muhammad dan para sahabatnya.

Dalam warisan ilmu Islam Tradisional (At-Turath) terlalu banyak butir-butir tentang kehidupan Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya. Maklumat ini selalu digunakan oleh agamawan dalam khutbah-khutbah mereka untuk menarik perhatian umat Islam. Cerita-cerita ini adalah mengenai kehidupan seharian Muhammad dan sahabat-sahabatnya dan mungkin sudah tak relevan untuk zaman ini.

Bagaimana pula dengan Al-Quran? Sebenarnya, Al-Quran tidak ada langsung maklumat spesifik tentang para sahabat*. Sebaliknya, ia memberi prinsip-prinsip am mengenai kelakuan orang di sekeliling Muhammad. Ini termasuklah:
– orang yang menyedihkan rasul (5/41 iaitu panggilan pertama kepada rasul)
– orang yang mendustakan rasul (5/42)
– orang yang bersungguh dalam perjuangan (9/100)
– orang munafik yang tidak dikenali Muhammad (9/101)

Mengapa Quran berisikandung begini? Kerana ia memaparkan sunnah atau kelaziman manusia yang universal, tidak seperti kitab-kitab agama.

3. Cerita-cerita rasul dan kaum terdahulu

Kalau kita mengamati seksyen-seksyen di kedai buku Islam, cerita-cerita rasul dan kaum terdahulu tidak ada banyak ruang. Ada beberapa kitab sahaja yang mengumpul semua cerita rasul dalam satu kitab atau siri berjilid. Jika kita merumuskan cerita-cerita mereka, ia berjalan seperti berikut: sesuatu kaum itu telah mensyirikkan Allah dengan tuhan-tuhan palsu. Rasul atau rasul-rasul dihantar untuk membetulkan balik kaum tersebut. Rasul itu memberikan sesuatu atau beberapa mukjizat untuk menyakinkan kaum mereka. Kebanyakan kaum menolaknya dan datanglah azab.

Rumusan di atas bukan tiada dalam Quran, ia ada tetapi mempunyai maksud yang jauh lebih mendalam dan relevan kepada manusia. Quran memberitahu kita yang cerita-cerita ini:

– dihubungkaitkan dengan kewujudan kita (11/120)
– menguatkan kesihatan emosi kita (11/120)
– merupakan kebenaran (11/120). Kebenaran juga ada implikasi mendalam dari segi rasional (21/18), process pengaliran realiti (13/17) dan sistemik (17/81)
– instruksi (11/120)
– pemuliaan mukmin (11/120)
– misalan tinggi sampai ke tahap universal untuk orang berfikiran mendalam (12/111)
– membenarkan realiti manusia (12/111)
– membutirkan segala sesuatu (12/111)
– hikmah iaitu pembawaan manfaat yang terjauh (54/5)

Maka, cerita-cerita rasul-rasul dan kaum-kaum terdahulu bukanlah cerita yang lepas. Mereka mengandungi falsafah Quran sendiri! Jadi Quran tidak mengikut mentaliti orang Islam dalam meniliti cerita-cerita ini.

4. Institusi agama dan kepaderian

Sebenarnya, umat Islam mempunyai institusi agama dan kepaderian yang mempunyai otoriti yang terkuat dari semua agama di dunia. Tidak ada institusi kepaderian agama lain yang mempunyai pengaruh dalam aspek undang-undang sesebuah negara, umpamanya. Tetapi paderi-paderi Islam mempunyai pengaruh yang jauh lebih besar dari itu. Mereka menasihati dan kadang-kadang memaksa umat Islam untuk mengikut segala suruhan mereka.

Bagaimana pula dengan Al-Quran? Quran memang terlalu jelas dalam isu paksaan dan kehendak bebas (freewill):
– tidak ada paksaan dalam agama (2/256)
– sesiapa yang mengkehendaki, boleh percaya dan sesiapa yang tidak, boleh menolak (18/29)
– Muhammad sendiri ditanya soalan retorik kalau dia mahu memaksa orang untuk percaya, sepatutnya tidak (10/99)

Dalam soalan institusi agama dan kepaderian pula, Quran memberitahu kita:

– banyak dari golongan paderi akan memesongkan kita dari jalan Allah (9/34)
– kita sepatutnya mengesahkan sendiri sesuatu sebelum mengikutnya (17/36)

Maka, sekali lagi, Quran berbeza daripada mentaliti kitab agama. Ia mementingkan pemerkasaan mental sesuatu individu. Individu itu tidak tertakluk kepada mana-mana institusi kepaderian agama.

5. Teologi sistematik

Dalam Islam Tradisional, akidah memang sering dibincangkan. Muslimin amat ragu-ragu kalau mereka mengikut akidah yang benar atau tidak. Di antara mazhab Ahlus Sunnah sebenar dan golongan Salafi pun, ada perbezaan kritikal dari segi teologi.

Yang menghairankan, Al-Quran tiada langsung perkataan akidah pun! Tiada senarai kepercayaan yang mesti kita pegang sebelum kita diterima sebagai golongan terselamat.

Quran memerang ada senarai yang dipaperkan untuk kita imani (2/177, 2/285 dan 4/136) tetapi semua ayat ini adalah dalam konteks pengalaman specific. Ia bukanlah satu pengakuan ucapan yang perlu kita lakukan untuk selamat dari azab neraka. Sebaliknya, ia merupakan satu pencapaian (attainment) yang kita dapati hasil daripada mengalami apa yang diberitahu konteks ayat.

Umpamanya, 4/136 datang selepas 4/135 yang mengenai penegakkan keadilan. Jika kita berlaku adil dalam ertikata Quran, maka kita akan dapat mengalami keimanan yang sebenar. Sekali lagi, Quran bukanlah seperti kitab agama Islam yang lazim.

*Saya tidak bersetuju yang Quran 33/37 berkenaan dengan Zaid, anak angkat Nabi. Saya akan berkongsi fahaman saya dalam bab lain.

About Farouk Peru 14 Articles
Editor dan penulis utama Wacana Pemikir Jaringan Quranis Bersatu

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*