‘Freethinker’ di dalam Al-Qur’an?

Rata-rata orang Melayu memandang perkataan ‘Freethinker’ sebagai suatu yang buruk dan negatif. Dari sudut bahasa, ‘Freethinker’ bermaksud pemikir bebas. Golongan agamawan tempatan sering mendidik anak-anak murid mereka agar memandang serong terhadap Freethinker.

Padahal watak Freethinker telah disebut di dalam Al-Quran dengan gelaran Ulul Albab.

ٱلَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

“Iaitu orang-orang yang mendengar (bersungguh-sungguh) perkataan-perkataan lalu mereka mengikuti yang paling baik darinya, mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan, dan mereka itulah Ulul Albab” [Az-Zumar 39:18]

Berdasarkan ayat tersebut, Ulul Albab adalah orang-orang yang berfikiran bebas. Mereka tidak menutup ruang untuk aliran anutannya sendiri dipertikai ataupun diperbaiki kerena mereka sentiasa bersikap mendengar perkataan-perkataan lalu mereka mengikuti yang paling baik darinya. Sikap mereka itu berterusan hinggalah mereka mati. Jika mereka berhenti bersikap demikian, maka mereka bukan lagi Ulul Albab dan bukan lagi di bawah petunjuk daripada Tuhan.

Menurut tatabahasa Arab, perkataan يَسْتَمِعُونَ (Yastami’un) di dalam ayat tersebut serupa tapi tidak sama dengan perkataan يَسْمَعُونَ (Yasma’un). Perkataan Yastami’un ialah mereka mendengar dengan bersungguh-sungguh dan bersedia untuk merombak pegangan mereka yang sebelumnya jika perkataan-perkataan baharu yang mereka dengar itu lebih baik. Bahkan mereka mendengarnya dalam keadaan bersedia untuk meninggalkan anutan mereka sebelumnya.

Bahkan Tuhan mengajar Nabi untuk mempamerkan sikap Freethinker.

قُلْ فَأْتُوا۟ بِكِتَـٰبٍۢ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ هُوَ أَهْدَىٰ مِنْهُمَآ أَتَّبِعْهُ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Katakanlah, “Maka kalian datangkanlah sebuah buku daripada sisi Tuhan yang ianya lebih memberi petunjuk berbanding keduanya, aku akan mengikutinya jika engkau daripada kalangan orang-orang yang jujur” [Al-Qasas 28:49]

Walaupun Nabi berhubung dengan Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu , tetapi Tuhan tetap menyuruh Nabi untuk menyatakan ungkapan yang menunjukkan bahawa baginda seorang Freethinker di hadapan orang-orang yang ragu terhadap baginda.

About Ibn Azhar 5 Articles
Seorang penulis bebas.

1 Comment

  1. Ulul Albab bermaksud Akal (pemikiran) yang sempurna / akal yang sihat / orang yang berakal. Ul Albab bukan bermaksud berfikiran bebas.Jika berfikiran bebas alamat jadi liberal jawabnya

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*