Jom, Mapley!

Oleh: Uthaya Sankar SB

Kehadiran restoran mamak milik peniaga India-Muslim bukan sesuatu yang baharu di Malaysia. Frasa “Jom, mamak!” sering kedengaran dalam kalangan penduduk pelbagai kaum, latar belakang, dan agama.

Belakangan ini, frasa “Jom, mapley!” (atau “Jom ke warung mapley”) pula semakin popular. Sekiranya mamak (“pak cik” atau “bapa saudara” dalam bahasa Tamil) merujuk kepada peniaga India-Muslim, apa pula yang dirujuk oleh mapley?

Dalam konteks Bahasa Malaysia, gelaran mamak merujuk kepada “saudara lelaki kepada ibu; bapa saudara sebelah ibu” atau “panggilan untuk orang-orang India yang beragama Islam atau untuk orang Melayu berketurunan India” (Kamus Pelajar, DBP).

Menurut Kamus Dewan (DBP) pula, istilah mamak adalah bagi “saudara ibu yang laki-laki, bapa saudara” atau “sebutan oleh raja kepada pembesar­-pembesar negeri” atau  “mak kecil, mak tua” atau “panggilan kepada lelaki India yang beragama Islam (terutamanya yang terlibat dengan per­niagaan makanan dan sebagainya)”.

Perkataan mapley (atau lazim dieja mappillai) dalam bahasa Tamil merujuk pada “pengantin lelaki” atau “menantu lelaki”. Daripada perkataan mappillai itulah muncul istilah “mempelai” dalam budaya Melayu.  Ya, bahasa Melayu tidak lengkap tanpa bahasa Sanskrit, Tamil, dan bahasa-bahasa lain dari India.

Sementara itu, ada pula sekurang-kurangnya tiga filem Tamil dengan judul Mappillai iaitu lakonan T.R. Ramachandran (1952), Rajinikanth (1989), dan Dhanush (2011).

Sebagaimana gelaran macha (“adik ipar lelaki”) sudah biasa digunakan dalam kalangan rakan-rakan pelbagai kaum di Malaysia, sapaan mapley juga sudah tidak asing. Bezanya, macha digunakan kepada rakan-rakan, manakala mapley kepada pelayan restoran.

Fadzil Latif menulis makalah bertajuk “Warung mamak/mapley: Apa istimewanya?” (Dewan Budaya, Disember 1997). Gambaran yang diberikan adalah bahawa mamak dan mapley sama dari segi makna dan konsep.

Kalau kita melayari Internet sepuluh tahun lalu, kita akan menemui laman www.mapley.org yang khusus bagi keluarga Mapley di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia, tetapi tiada apa-apa kaitan dengan India; apatah lagi dengan golongan India-Muslim. (Domain itu sudah tidak berfungsi sekarang.)

Mamak Tidak Semestinya Mapley

Satu lagi laman, www.mapleyfoods.com pula khusus pernah menjual barangan makanan berasaskan pokok mapel. Anehnya, domain itu juga sudah tiada sekarang. Sekali lagi, tiada apa-apa kaitan dengan mapley yang kita kenali di Malaysia.

Majoriti kaum India di Malaysia adalah daripada keturunan Tamil. Malah, keturunan Telugu, Malayali, dan sebagainya tidak menghadapi masalah menguasai serta menggunakan bahasa Tamil. Maka, dalam kalangan pengguna bahasa Tamil (kaum India), istilah mapley yang digunakan mungkin sedikit lucu kerana dikaitkan dengan mappillai iaitu pengantin lelaki.

Saya juga pernah berasa pelik dan lucu. Akan tetapi, apabila saya berusaha mencari maklumat, maka tahulah saya akan kisah di sebalik mapley. Mungkin rata-rata rakyat Malaysia yang menggunakan frasa “Jom, mapley!” juga belum tahu kisah sebenar.

Rupa-rupanya gelaran mapley tidak merujuk kepada golongan India-Muslim (mamak) secara umum, seperti yang sering kita fikir. Sebaliknya, merujuk kepada suatu komuniti khusus di/dari Kerala yang menganut mazhab Syafie dan Sunni.

Komuniti berkenaan yang juga digelar Mappila, Moplah, dan Mopla adalah komuniti Islam terbesar di wilayah Malabar, negeri Kerala, pantai barat India. Kumpulan masyarakat ini wujud berikutan kedatangan agama Islam yang dibawa dari Arab pada masa silam.

Menurut fakta, masyarakat Mappila (mapley) juga terdapat di negeri Karnataka dan Tamil Nadu, India. Komuniti ini juga berhijrah ke Tanah Melayu (Malaysia) dan sering dikenali sebagai Malabari atau Malwari. Maknanya, mapley merujuk secara khusus kepada “Mamak Malabari” seperti yang lazim digunakan oleh beberapa orang rakan saya.

Istilah mappilai dipercayai terhasil daripada gabungan kata ma (ibu) dan pillai (anak), iaitu “anak emak”. Ada juga pendapat mengatakan ma adalah kependekan bagi maha (besar/hebat), iaitu “anak yang hebat”.

Bagaimanapun, pada peringkat awal di Kerala, komuniti yang memeluk Islam berikutan pengaruh Arab digelar Conaka Mappila untuk dibezakan dengan Nasrani Mappila (Kristian) dan Juda Mappila (Yahudi).

Hal ini adalah kerana gelaran mappila pada asalnya merujuk kepada “pendatang” iaitu pedagang Islam, Kristian, dan Yahudi yang datang ke Kerala.

Budaya Komuniti Mapilla

Ibn Buttuta yang mengembara ke Kerala pada kurun ke-12 dilaporkan melahirkan rasa takjub dengan kewujudan komuniti Mappila beragama Islam yang kekal berpegang teguh pada budaya keturunan Malayali yang diwarisi sejak turun-temurun.

Komuniti Mappila juga terdapat di Pakistan. Sebenarnya, menjelang tarikh kemerdekaan India pada tahun 1947, Liga Muslim Kerala mencadangkan supaya wilayah Mallappuram di bahagian Kerala Selatan berpenduduk majoriti Islam diisytiharkan sebagai negara Islam dengan nama Moplastan. Cadangan itu gagal menjadi kenyataan, lalu ramai juga komuniti Mappila kemudian berpindah ke negara baharu yang dinamakan Pakistan.

Agak menarik untuk mengetahui kisah di sebalik mapley. Apabila pergi ke “warung mapley”, mungkin kita boleh bertanya kepada mapley (pelayan) sama ada dia golongan Mappila yang berasal dari Kerala, atau golongan mamak (India-Muslim) yang boleh sahaja berasal dari mana-mana bahagian Benua Kecil India.

Tidak mustahil pelayan itu akan terasa seronok, bangga, dan rasa dihargai apabila mendapat tahu bahawa kita tahu serba sedikit mengenai komunitinya. Atau sekurang-kurangnya kita menggunakan gelaran dan sapaan mapley betul pada tempatnya.

Saya percaya, memang ada komuniti Mappila di Malaysia. Maksud saya, warganegara Malaysia yang nenek moyang mereka berasal daripada komuniti Mappila di Kerala. Nenek moyang saya berasal dari Kerala, berketurunan Malayali, dan beragama Hindu. Sekali gus, saya bukan mapley.

Tentulah komuniti Mappila di Malaysia juga memiliki budaya yang unik dan menarik untuk diketahui. Apatah lagi dalam keadaan di mana pemerintah menggalakkan konsep “meraikan kepelbagaian” di bawah gagasan retorik 1Malaysia dan Keluarga Malaysia.

Namun, pada masa sama, saya masih ingat bagaimana pada 7 April 2008, siaran berita di RTM1 mengenai sambutan Ugadi (tahun baharu) oleh komuniti Telugu dihalang seorang editor dengan alasan “masyarakat Telugu hanya kelompok minoriti” (Free Malaysia Today, 19 Mac 2012). Sedangkan, pada waktu itu, konsep “meraikan kepelbagaian” sedang hebat dicanangkan pemerintah.

Maka, mungkin kita perlu melupakan sahaja hasrat dan impian melihat keunikan komuniti Mappila (mapley) seperti tarian/nyanyian oppana, lagu-lagu mappila paatu bertema Islam, dan tarian kolkkali menyerupai koolatam (tarian kayu) ditonjolkan menerusi media milik pemerintah; semata-mata kerana mereka adalah golongan India-Muslim minoriti.

Mapley di Layar Perak

Dalam pada itu, kita mungkin berpendapat bahawa kita tidak mengenali walau seorang pun individu daripada komuniti Mappila; kecuali mapley iaitu pelayan di restoran mamak.

Sebenarnya, Mammootty (Muhammad Kutty) yang dikenali dalam industri filem Malayalam dan Tamil adalah keturunan Mappila/mapley. Beliau yang berlakon dalam lebih 370 filem – termasuk filem-filem Tamil seperti Azhagan (1991), Thalapathy (1991), Marumalarchi (1998), dan Kandukondain Kandukondain (2000) – lahir dan membesar dalam keluarga Mappila di Kottayam, Kerala.

Begitu juga dengan Cochin Haneefa yang sempat berlakon dalam lebih 300 filem Malayalam dan lebih 80 filem Tamil – khususnya Mahanadhi (1994), Sivaji (2007), Enthiran (2010) dan Madrasapattinam (2010) – sebelum meninggal dunia pada 2 Februari 2010.

Filem Malayalam Bodyguard (2010) dibikin semula dalam versi Hindi (2011) dan Tamil (Kaavalan, 2011). Ketiga-tiga versi dilaporkan mendapat sambutan hangat daripada penonton. Pengarahnya ialah Siddique yang juga merupakan individu keturunan Mappila, iaitu komuniti India-Muslim dari Kerala.

Bagaimanapun, tentulah tidak memadai untuk kita mengenali komuniti Mappila daripada kalangan pelakon dan pengarah filem. Atau daripada kalangan mapley yang merupakan warganegara India dan menjadi pelayan di restoran mamak.

Mungkin belum terlewat untuk kita berusaha mengesan golongan mapley dalam kalangan rakan-rakan kita sendiri. Untuk kita mengenali kebudayaan unik yang mereka miliki. Cuma, jangan tersilap bertanya kepada Tun Mahathir Mohamad kerana anda mungkin sahaja berdepan tindakan saman. (Pada 2017, Najib Razak dan Zahid Hamidi “dedahkan” Mahathir berdarah India dan pada 2022, Mahathir mengumumkan baha saman Zahid.)

Sementara itu, usah kita lupa bahawa mapley (Mappila) merujuk pada nama komuniti; sama seperti “Melayu”, “Jawa”, “India”, “Tamil”, “Cina”, “Iban”, “Bajau”, dan sebagainya.

Secara rasional, kita tidak akan memanggil seorang pelayan atau pekerja dengan laungan “Oi, Melayu!” “Oi, India!” “Oi, Cina!” dan sebagainya.

Maka, sebelum kita memanggil “Oi, Mapley!” untuk menarik perhatian pelayan di restoran mamak, wajarlah apa-apa yang diperkatakan di atas diberikan perhatian.

[Rencana ini diterbitkan semula daripada kumpulan esei Mandala Bicara (2016) dengan izin penulis. Uthaya Sankar SB boleh dihubungi di uthayasb@gmail.com dan beliau juga aktif di media sosial.]

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*