Perjalanan Pemikiran Vol 3: Dari Anti-Sekular ke Pro-Sekular

Ketika ini, saya sedang berada di dobi. Sedang mencuci baju. Agak sibuk kebelakangan ini. Artikel di MalaysiaKini saya baru hantar satu. Komitmen saya di sana ialah tiga artikel sebulan. Disebabkan saya baru sahaja kena halau dari Quill City Mall, dan baru sahaja mendapat tempat baru, dan baru sahaja selesai acara tahunan #KUBU8TAHUN, maka sekarang sebelum jam 12, saya masih sempat untuk mencatat tulisan untuk dihantar ke Wacana Pemikir. Ini adalah tulisan ketiga. Selepas ini, tajuk² tulisan saya akan diubah kepada Perjalanan Pemikiran.

Saya sampai ke Melaka baru² ini untuk Pesta Buku Melaka (hujung bulan September hingga awal Oktober). Saya sampai ke sana bersama isteri saya, Kia Syakira. Melaka sebuah negeri yang asalnya sebuah negara kepada bangsa Melayu suatu masa dulu, kini hanya menjadi sebuah negeri kecil, yang kurang dikenali atau panas dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Saya pernah sampai ke sini dulu, saya ingat dua kali. Pertama ketika kecil, di Kota atau bangunan A Famosa. Seterusnya saya sekali lagi sampai ke Melaka, ketika masih belajar di KUIS. Kali ini saya sampai ke rumah bekas naqib saya, Rauf. Dia memperkenalkan kepada saya banyak benda. Saya memang pengikutnya yang setia satu masa dulu. Hingga apa sahaja benda semua saya tanya pada dia atau merujuk pada dia. Hinggalah dia pergi ke Mesir, membuatkan saya terkapai-kapai sendirian di KUIS tanpa halatuju. 

Balik ketika saya sampai ke Melaka dengan Rauf, kami pergi juga ke rumah Faisal Tehrani. Pada ketika itu ialah masa Raya Haji. Tapi Faisal Tehrani ketika itu buat rumah terbuka. Tetamu yang hadir pada masa saya sampai itu ialah Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah yang agak terkenal waktu itu kerana kelantangannya. Kami dijamu dengan teh hijau dari Turki. 

Tapi Rauf ketika itu sudah mulai meninggalkan Faisal Tehrani yang pernah dikaguminya, dan yang dibawanya saya ke rumah pengarang terkenal itu. Rauf ketika itu semakin menancapkan dirinya dengan mazhab akidah Asya’irah. Sungguh saya belajar atau faham sedikit demi sedikit dari beliau. Apatah lagi ketika itu fikiran saya mulai kacau dengan atheism. Ketika di Tingkatan Enam lagi. Ketika saya berjumpa dengan Rauf di KUIS, pertengahan tahun 2006, saya masih mengambil Diploma Quran Sunnah. Selepas saya berkenalan, berkawan dan dipengaruhi olehnya, saya kemudian menukar kursus pengajian saya kepada Usuluddin. Betapa kuat pengaruhnya pada saya waktu itu. 

Di Melaka ketika saya sampai dibawa Rauf itu, kami pergi bertalaqi dengan seorang sosok yang sangat berpengaruh pada Rauf, iaitu Ustaz Zulkifli Ismail, pendiri Baitul Quro’. Ada satu bukunya yang sangat terkenal, menurut Rauf, nama buku Ustaz Zulkifli itu diberikan oleh Nik Aziz sendiri bertajuk, Ancaman Bahaya Sekularisme. Di mana-mana sahaja kesempatan yang ada, Rauf mendakwahkan hal itu. Bukan sahaja kepada saya, malahan kepada teman² usrah PAS yang lain. Saya fikir teman² usrah PAS saya bukanlah kalangan yang gigih membaca dan menelaah. Jadi mereka saya lihat menelan begitu sahaja. Baik di usrah, baik di tamrin, baik di mana sahaja. 

Di Melaka, ketika saya baru² ini pergi, saya berjumpa lagi dengan Rauf. Kami sempat juga berbahas. Agak tegang. Suatu yang saya sendiri kesali. Saya fikir saya dah dia sudah berlainan aliran. Dan eloklah jika kita mahu lebih baik, kita tidak perlu menyentuh benda yang boleh membuat kita tegang. 

Tetapi selain itu di Melaka, saya juga berjumpa dengan seorang kawan dari UIA. Ku namanya. Dia mengikuti kumpulan HT dari zaman UIA hingga ke hari ini. Walaupun aliran kumpulan Islam yang diikutinya lebih radikal atau keras menurut kebanyakan orang, saya dan dia lebih selesa berbahas dan usik mengusik. Mungkin kerana Ku juga terlibat dalam hal² aksi sosial di tempatnya menyebabkan dia lebih terbuka dan lebih berfikiran. Ku saya nampak kurang menggeledah mazhab² akidah dalam Islam. Kerana walaupun Ku belajar di UIA, dia mengambil Sains Politik. Bukan Pengajian Islam. 

Saya mengikut lama atau berkawan dengan kumpulan HT. Saya tidak berpada dengan usrah² PAS yang pro demokrasi, sebaliknya di KUIS, di luar KUIS, saya mencari sendiri tentang kumpulan HT yang anti demokrasi. 

Akhirnya saya tidak boleh masuk dengan kumpulan HT sehingga ke hari ini. Tetapi saya rasa selesa berbual dengan Ku. Adakalanya dia menyindir saya. Adakalanya saya menyindir ideologi HT yang dia pegang. Tetapi tetap kekal tenang. 

Mungkin ini rahmat dari sekular? 

About Benz Ali 6 Articles
Seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*