
Musim PRU bakal tiba kurang sebulan lagi. Semasa Rakyat sedang bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh, kita juga terpaksa memikirkan tentang keselamatan masing-masing jika terpaksa keluar mengundi. Sepatutnya kita mengundi lima tahun sekali dan ini bermakna yang kita masih ada masa sehingga pertenghan tahun depan, 2023, untuk mengisytiharkan PRU.
Jadi mengapa kita memanggil pilihanraya bulan depan? Mungkin untuk menjaga kepentingan sesetengah pihak dan menyelamatkan mereka dari bala. Apa pun sebabnya, saya ingin membuat perisytiharan berikut – Saya MENOLAK parti-parti Melayu Islam walaupun saya sendiri orang Melayu Islam Malaysia (MIM). Ini mungkin mengejutkan tetapi saya ada sebab tersendiri.
Sebelum saya menerangkan sebab-sebab di sebalik pernyataan di atas, biarkan saya mengenalkan diri. Saya seorang Melayu yang beragama Islam. Saya amat mencintai bangsa, budaya dan tamadun sendiri. Agama saya merupakan sumber kod moral dan etika saya. Tetapi saya tidak boleh menerima parti-parti Melayu Islam walaupun di bawah pimpinan mereka, saya berhak menerima keistimewaan tertentu.
Mungkin para pembaca merasa hairan. Jika parti-parti Melayu Islam memperjuangkan hak-hak golongan MIM dan saya termasuk dalam golongan ini, mengapa saya menolak pula parti-parti yang menjamin hak dan keistimewaan saya?
Sebab yang paling ulung, unggul dan utuh ialah kerana kod moral and etika. Saya percaya yang manusia tidak mempunyai apa-apa kecuali dia mempunyai kod moral dan etika yang terbaik. Pada saya, Al-Quran mengajar kod ini. Apabila unsur-unsur Quran yang bercanggah dengan polisi-polisi parti-parti Melayu Islam, maka slogan mereka ‘bangsa, agama dan negara’ tinggal hanya laungan kosong!
Tap di mana perlanggaran ini? Unsur yang paling jelas ialah seperti yang saya katakan di atas, parti-parti Melayu Islam meletakkan golongan MIM di atas Rakyat Malaysia yang lain. Ini satu kesalahan yang terbesar. Dalam Quran, tidak ada langsung satu ayat pun yang menyuruh kita meletakkan saudara seagama, apatah lagi saudara sebangsa di atas manusia yang lain dari segi kepentingan. Semua dana orang mukmin mesti diagihkan kepada golongan yang memerlukan bantuan. Semua peluang pendidikan, perumahan, peminjaman dan sebagainya pun begitu. Golongan yang tidak memberikan ganjaran yang sepatutnya dipanggil ‘muthaffifeen’ (Quran 83/1) dan Allah mencelakakan mereka. Tidak hairanlah bila negara kita ditimpa bala bencana. Kita telah membelakangkan keadilan dan mengundang kecelakaan!
Perlanggaran kedua: sesetengah pemimpin-pemimpin parti-parti Melayu Islam kurang telus dalam mendedahkan aset-aset mereka. Ini juga melanggar prinsip Al-Quran yang menyuruh kita menjaga semua perjanjian (23/8) dan berbicara dengan benar (2/83). Peranan mereka sebagai pemimpin mempunyai ganjaran dan jika kita tidak tahu berapa aset mereka, bagaimana kita boleh tahu yang mereka tidak mengambil wang haram? Maka perjanjian di antara kita dan mereka telah terkompromi dan kebenaran terjejas.
Alasan yang mereka akan menjadi sasaran penjenayah adalah sendiri tertolak kerana, jika mereka yang hanya mengambil ganjaran yang sepatutnya dan ganjaran ini tidak berlebihan, apa yang perlu dikhuatiri? Lainlah jika mereka seperti pemimpin yang didapati bersalah oleh sembilan hakim dalam skandal kewangan yang terbesar di dunia. Pemimpin itu pun cukup petah berbincara tentang agama dan menunjukkan kewarakannya.
Perlanggaran ketiga: korupsi. Cukup berkaitan dengan kekurangan sifat telus dalam politik ialah korupsi. Pernah sekali itu dalam perhimpunan agung parti Melayu Islam sendiri, isu korupsi dibangkitkan. Sudah menjadi kebiasaan untuk melihat golongan parti-parti Melayu Islam memberi ‘hadiah saguhati’ kepada penyokong mereka. Adakah itu duit sendiri atau duit hasil titik peluh Rakyat? Quran memberitahu kita yang kita tidak akan dapat sesuatu kecuali kita berusaha (53/39). Walaupun mungkin kita menyangka yang hasil curian itu pendapatan juga, tapi ia tidak diberkati Allah.
Sebab saya yang kedua ialah sifat tidak konsisten yang kerap ditunjukkan oleh parti-parti Melayu Islam iaitu sifat flip-flop. Lihat sahaja parti agama yang terbesar. Mereka tidak stabil dalam gagasan mana-mana. Satu ketika dahulu, mereka selesa dengan parti bukan MIM yang terbesar walaupun berlanggar secara ideologi. Setelah mereka keluar dari gagasan-gagasan itu dan menyertai gagasan bersama parti-parti Melayu Islam yang lain, mereka melaungkan azan ‘perpaduan ummah’ pula.
Sama juga dengan pembentangan undang-undang berkaitan agama. Sebelum mendapat kuasa, mereka berkumpul untuk menunjukkan hasrat mereka. Setelah merampas kuasa, dua setengah tahun pun tidak mencukupi untuk membentangkan hasrat ini!
Sebab saya ketiga ialah kekurangan dalam kepandaian (intelligence) dan kebijaksanaan (wisdom) dalam parti-parti Melayu Islam. Sebab-sebab satu dan dua di atas adalah berkenaan dengan moral dan etika tetapi sebab ketiga ini berkaitan dengan kebolehan.
Jika kita meniliti gelagat dan perbicaraan pemimpin-pemimpin parti-parti Melayu Islam, kita sudah tentu melihat betapa rapuhnya ideologi mereka. Mereka lazimnya tidak membicangkan tentang polisi jauh sekali falsafah tetapi hanya sibuk dengan pembahagian kuasa, siapa nak masuk gagasan siapa dan mencerca ahli politik dari parti lain!
Dan apabila mereka mengkritik ideologi parti lain, mereka boleh tersilap terus dalam analisa mereka. Baru beberapa hari yang lepas, seorang presiden parti boleh terkeliru dengan apa itu sosialisme dan komunisme! Seorang presiden sepatutnya bijak dalam memberi komen atau, sekurang-kurangnya, mempunyai pasukan untuk menjalankan analisa. Tetapi tidak, dalam memberi pernyataan sebegini pun mereka boleh fail. Begitulah keadaan parti-parti Melayu Islam.
Sudah tiba masanya orang MIM kembali kepada kesedaran yang kita hidup dalam dunia sarwajagat. Kita bukanlah golongan terpencil dari dunia dan istimewa dari segi hukum alam. Sebelum kita MIM, jadilah manusia dulu. Pilihlah calon, parti atau gagasan yang memperjuangan kebajikan semua.
Leave a Reply