
oleh Uthaya Sankar SB

Sesungguhnya projek buku Katha Sarit Sagara yang sedang saya usahakan
antara lain bertujuan mengangkat martabat Bahasa Malaysia sebagai bahasa
ilmu, bahasa kebangsaan, dan bahasa perpaduan. Sama juga seperti setiap hasil
tulisan saya sejak tahun 1992.
Sesungguhnya juga, setiap kali saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”,
pasti ada pihak mengetap gigi dengan penuh rasa benci. Kononnya, istilah
“Bahasa Malaysia” tidak wujud dan tidak boleh digunakan.
Puak berkenaan sebenarnya buta sejarah. Maklumat terperinci — berserta bukti
— mengenai kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” bolehlah dibaca dalam Kavya
Sastra (2021) iaitu buku yang diterbitkan daripada disertasi (tesis) ijazah
sarjana sastera saya.
Beberapa rencana dalam Suvarna Bhumi (2022) juga boleh membantu
membuka minda serta mendedahkan kebenaran yang cuba dinafikan dan
disembunyikan puak tertentu.

Istilah “Bahasa Malaysia” terpakai sejak tahun 1960-an, iaitu sebelum digunakan
secara rasmi mulai tahun 1970. Pada 21 Oktober 1966, Perdana Menteri Tunku
Abdul Rahman mengusulkan supaya sebutan “Bahasa Malaysia” digunakan.
Inilah Bahasa Malaysia yang saya gunakan sejak lahir.
Akhbar Utusan Malaysia (8 September 1973) melaporkan: “Kerajaan tidak akan
berganjak dengan keputusan menjadikan Bahasa Malaysia bahasa pengantar
sepenuhnya di semua sekolah dalam [mulai] 1982, tegas Pemangku Perdana
Menteri, Tun Hussein Onn.”

#
Pada tahun 1999, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah cuba menafikan hak
saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”. Pengalaman perjuangan awal saya
menegakkan hak boleh dibaca dalam tulisan bertajuk “My Right to Use Bahasa
Malaysia” di akhbar New Straits Times (3 November 1999).
Sepertimana kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said: “Saya dapati
bahawasanya Uthaya sememangnya suara yang melawan; bukan suara yang
menurut. Bagi saya, lawannya itu adalah waras” (Malaiur Manikam, 2015).
Semasa meneliti dokumen lama dalam simpanan, saya terjumpa satu surat saya
yang tersiar di majalah Pelita Bahasa (Mac 1992) terbitan DBP di mana saya
menulis: “Saya ingin tahu akan perbezaan di antara istilah ‘bahasa Melayu’ dan
‘Bahasa Malaysia’.”

Petikan jawapan yang diterima: “Tidak ada apa-apa perbezaan antara bahasa
Melayu dan Bahasa Malaysia; perbezaan hanyalah pada nama sahaja.”
DBP cuba menafikan hak saya menggunakan “Bahasa Malaysia” pada 1999.
Kemudian, pada tahun 2007, Kabinet mengumumkan keputusan menggunakan
istilah “Bahasa Malaysia”.
Sehingga kini, masih ada puak yang tidak mahu menerima hakikat kewujudan
istilah “Bahasa Malaysia”. Dalam hal ini, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor
Negara (MPN), Dr. Kamaruddin M. Said turut tertanya-tanya, “Apa salahnya
kita gunakan Bahasa Malaysia; keputusan itu sudah dibuat Kabinet pada 2007”
(Astro Awani, 21 April 2022).
Dalam situasi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil
membuat suatu pengumuman penting. Akhbar The Star (22 Mei 2022) memetik
beliau sebagai mengesahkan ada beza antara “Bahasa Malaysia” yang digunakan
di Malaysia dan “bahasa Melayu” yang digunakan di beberapa negara Asean.
Malah, beliau menegaskan, “tidak pernah terlintas di fikiran kerajaan untuk
menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa Asean”. Sebaliknya, “hasrat yang
ingin dirintis beliau (Ismail Sabri Yaakob) ialah menjadikan bahasa Melayu yang
turut diguna pakai di beberapa negara jiran sebagai bahasa pengantar” (Astro
Awani, 22 Mei 2022).
Sudah terbukti bahawa dalam keadaan sekarang, “Bahasa Malaysia” dan “bahasa
Melayu” dilihat sebagai dua bahasa atau entiti yang berlainan. Bahasa yang saya
gunakan untuk berkomunikasi — secara lisan dan bertulis — sejak lahir (1972)
ialah Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia jugalah yang saya gunakan dalam
penulisan karya yang terbit di pelbagai media sejak tahun 1992.
Kedudukan “Bahasa Malaysia” kini umpama bahasa Paisachi yang digunakan
oleh Gunadhya untuk mengarang teks Brihat Katha tetapi tidak diiktiraf dan
diperakukan oleh Raja Satavahana yang angkuh dan narsisistik. Huraian lanjut
kisah ini bolehlah dibaca dalam buku Katha Sarit Sagara.
Walau bagaimanapun, harap maklum bahawa “Bahasa Malaysia” benar-benar
wujud, walaupun DBP dan beberapa puak lain sentiasa berusaha menafikan
hakikat ini. Tindakan DBP dalam perkara ini tidaklah menghairankan kerana
sebagai sebuah badan bahasa yang rasis, fasis, hipokrit, etnosentrik, dan
subversif, DBP turut menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan istilah
“Tuhan” (Suvarna Bhumi, 2022).
Sementara DBP dan sesiapa sahaja terus melalak dan melaungkan slogan
“bahasa Melayu”, biarlah saya meneruskan agenda dan perjuangan
memartabatkan Bahasa Malaysia.
DBP tidak berhak mengawal atau menghalang saya menerusi mana-mana akta
kerana penulisan saya tidak tertakluk dalam lingkungan “bahasa Melayu” yang
merupakan bidang kuasanya. Saya menggunakan Bahasa Malaysia yang “tidak
wujud”.
(Uthaya Sankar SB adalah penulis dan pejuang Bahasa Malaysia. Rencana ini
dipetik dan diubah suai daripada bahagian “Prakata” buku Katha Sarit Sagara
yang bakal terbit pada Januari 2023.
Leave a Reply