
Seorang kenalan Ahmadiyah yang bekerja dengan NSI mengatakan di dalam Al-Qur’an banyak ayat2 tentang sekular. Saya seorang yang tidak percaya begitu, pertama kali pula berjumpa dengan kenalan Ahmadiyah itu, jadi tertarik bila seorang Ahmadiyah mengatakan sedemikian.
Saya memang seorang yang tidak berguru secara talaqi (lutut bertemu lutut), atau hanya seorang guru dan hanya bertukar guru bila guru itu mati. Tetapi ini bukan saya sahaja, malah ramai lagi umat manusia (bukan sahaja Melayu Islam di Malaysia) di dunia. Kita di sekolah rendah sahaja sudah berapa guru? Di sekolah menengah, di kolej, di universiti? Jadi memang saya pernah pergi memondok untuk suatu ketika semasa di Melaka di Baitul Quro’. Tetapi bukan hanya itu sahaja yang pernah saya buat atau Ustaz Zulkifli Ismail sahaja guru saya. Saya rasa dia tidak kenal pun saya. Kerana banyak lagi anak muridnya yang lain.
Saya rasa pengaruh besar dalam bab agama, yang membuatkan saya berani berpendirian dan berfikiran ini ialah Wan Ji. Rauf yang saya sebutkan sebelum ini lebih awal. Tetapi itu fasa pertama. Yang mana fasa itu belum teruji.
Dengan Wan Ji, sememangnya tidaklah begitu lama. Adalah kira-kira dua penggal atau dua semester kalau mahu dibaca ala sistem kolej universiti. Iaitu hujung 2012 hingga awal 2014. Itu antara tempoh saya bersama dengan beliau. Fasa paling lama –walaupun sangat singkat usianya– ialah di Lepak Maqasid.
Saya rasa Wan Ji di era ini, dalam sekitar beberapa tahun ini (2012-2015), tidaklah seperti di era hari ini. Warna orthodoksinya lebih menyerlah dibandingkan dengan warna ketika dia di alam liberal-sekular. Di era itu dia nampak lebih progresif. Ya, walaupun saya kurang berminat dengan idea maqasidnya.
Lepaq Maqasid, hayatnya singkat. Tetapi pengaruh dan impaknya fenomenal. Saya tak fikir banyak kumpulan diskusi anak muda mampu menyamai populariti Lepak Maqasid. Hatta KUBU (Kuliah Buku) sekalipun. Kerana Kuliah Buku (KUBU) tidak mahu menjadi terlalu kontroversial, dan tidak bersifat agresif. Sesekali ada perdebatan, tetapi lebih terkawal dan bersifat untuk pelajaran atau pendidikan. Yakni tidak bersifat untuk menyerang pembentang. KUBU yang saya pimpin dan asaskan bersama, lebih fokus sebenarnya untuk mendiskusi buku. Bukan untuk membuat kecoh atau sesuatu yang kontroversial. Meski ada elemen politikal, KUBU ada beza yang banyak dengan Lepak Maqasid.
Saya agak rapat dengan Wan Ji sebelum Lepak Maqasid lagi. Kami pernah ke Kedah –Sik jika saya tak salah– untuk sesi beliau berceramah dan kemudian kembali ke KL semula. Ketika saya bekerja di sebuah restoran Cina Muslim (Fish Castle), kami selalu melepak. Kereta dia pernah kemalangan ketika nak membawa saya pulang selepas lepak. Kemudian ketika kemalangan itu, hanya kereta yang rosak. Laporan polis dibuat. Pemandu yang melanggar dari belakang itu mabuk. Wan Ji kemudian bersembahyang di bilik saya –tempat saya kerja– jika saya tak salah ingatan. Jadi hubungan saya dan Wan Ji sudah lama. Atau perkenalan saya dengan Wan Ji, bukan baru.
Jadi bila hendak diwujudkan Lepak Maqasid ini, memang saya sukalah untuk menghadirinya. Ketika itu diadakan di sebuah restoran –bukan mamak– di Shah Alam. Saya ingat pembentang pertamanya jika tak salah ialah Imran Rasid. Saya rasa Wan Ji yang ambil Imran. Sebab sekitar situ memang agak jauh dengan LRT. Tren yang paling dekat ialah KTM. Itupun di Padang Jawa.
Kemudian seterusnya, tajuk-tajuk yang dibincangkan di Lepak Maqasid ini pelbagai. Dan ramai di antara pembentangnya, saya jemput kembali ketika KUBU mulai beroperasi. Lepak Maqasid 2013, KUBU bulan Ramadan 2014. Saya fikir Lepak Maqasid pun dibuat pertama kalinya dalam bulan Ramadan. Mungkin ada peserta atau pengikut Lepak Maqasid atau Wan Ji sendiri boleh betulkan semula jika saya salah.
Saya ingat Wan Ji sendiri pernah berkata, sebab sekularisme lah yang menyebabkan India selamat –bukan konteks pemerintahan BJP yang kuat Hindu seperti hari ini – konteks yang disebutkannya ialah sebelum era BJP itu. Sebab, di India, dua agama yang dominan di sana ialah Islam dan Hindu. Jika pemerintah di sana menggunakan agama sebagai alat pemerintahan, maka pihak satu lagi akan menjadi ‘zimmi’ atau kelas kedua. Maka kerana itu, rahmatnya sekular. Kalau di sana pemerintah menggunakan agama Islam, maka bukan Islam seperti Hindu akan menjadi zimmi. Sementara jika Hindu yang memerintah, maka jadilah seperti BJP hari ini. Ini adalah yang orang seperti Rauf dan Ustaz Zul tidak mampu fahami. Mereka juga terbenam dalam pasir jerlus Timur Tengah.
Sedangkan dunia Arab yang diperintah oleh satu bangsa dan satu agama pun berkecah habis. Sedangkan di sana bukannya pekat sekularisme pun seperti di negara-negara Barat. Itupun punya banyak masalah.
Wan Ji gigih memprovok massa. Walaupun saya kurang senang juga, tapi adakalanya saya mengikut sahaja ketika itu. Saya perlu catatkan di sini juga, di Lepak Maqasid ketika itu, semacam terbahagi sayap Kiri dan sayap Kanan Lepak Maqasid. Saya dan Awie berada di posisi Kiri. Sementara lain-lain pengikut Wan Ji berada di posisi Kanan. Posisi Kanan dalam ertian lebih banyak menyetujui dan mengangguk atau mengiyakan apa sahaja yang Wan Ji katakan. Dan posisi Kanan kurang main peranan dalam apa sahaja tajuk yang dibincangkan.
Tetapi seperti disebutkan, Lepak Maqasid menjadi fenomenal. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan turut menjadi gempar sampai ke mahasiswa-mahasiswa Malaysia di Australia. Di sana kumpulan Islam ISMA jika tak silap saya mengadakan, Sepak Mafasid –suatu jenis penganjingan kepada Lepak Maqasid– Kemudian kumpulan HT antara yang digempur Wan Ji pada awal permulaan Lepak Maqasid. Ahli-ahli atau simpatisan HT masuk ke dalam ruang, dan ada yang bertakbir. Tetapi syukurlah acara tersebut meskipun panas dan sindir menyindir, tiada apa-apa insiden tidak elok berlaku.
Ada sekali Ustaz Zulkifli Ismail meresponse tentang Lepak Maqasid. Kali ini Wan Ji pula panas. Wan Ji kemudian pergi Melaka untuk berhujah dengan Ustaz Zulkifli Ismail. Saya tidak ada pula ketika ini. Hanya mendengar dan membaca dari jauh. Saya fikir berani betul Wan Ji nak masuk kandang singa. Nasib baik tidak berlaku apa-apa. Hari ini saya fikir tindakan sebegitu kurang bijak, malahan membahayakan.
Banyak juga yang saya belajar dari Lepak Maqasid sebenarnya. Bukan sedikit. Saya fikir jika saya tidak bertemu dengan Wan Ji, mungkin perjalanan saya akan lebih jauh sedikit dari orbit apa yang saya mahu lakukan.
Akhirnya saya menganjak semakin hari ke haluan yang lebih Kiri berbanding Wan Ji yang semakin lama semakin menghala ke Kanan.
Leave a Reply