Al-Quran: Satu Penilaian Semula (Bahagian 7: Struktur Teks Al-Quran: Alat Yang Paling Objektif dalam Pemahaman)

Apabila kita mengambil keputusan untuk membaca dan mengkaji Al-Quran dengan sendiri, kita akan memerlukan alat-alat untuk mencapai sasaran ini. Alat-alat ini termasuklah kamus-kamus, buku-buku tentang nahu bahasa Arab dan juga terjemahan-terjemahan ke dalam bahasa yang kita fahami.

Semua alat ini adalah buatan manusia. Mereka mungkin benar, mungkin tidak. Terpulang kepada kita untuk menggunakan fikiran kritis untuk mentarjihkan maklumat-maklumat ini untuk memahami Al-Quran. Ini akan menimbulkan hakikat kesubjektifan (subjectivity) dalam proses ini. Kesubjektifan ini boleh diminimakan dengan mentahqiqkan dengan teks dan falsafah Al-Quran sendiri tetapi susah untuk dibasmikan sama sekali dan mencapai keobjektifan.

Namun begitu, ada satu alat yang sememangnya objektif. Alat itu ialah struktur teks Al-Quran iaitu susunannya. Kaum Muslimeen memang mempercayai yang susunan teks adalah daripada Allah. Ini diperakui oleh Quran sendiri di mana ia membahasakan dirinya sebagai ‘al-kitab’ iaitu penulisan. Penulisan itu sesuatu entiti yang tersusun. Ini adalah dalil naqli (teks)

Bagaimana pula dengan dalil ‘aqli? Ia pun begitu juga. Mari kita meniliti fakta-fakta berikut:
A. Puak-puak Sunni dan Syiah mempunyai Al-Quran yang mempunyai susunan sama. Dengan konflik antara mereka, mengapa Syiah tidak menyusun kembali Al-Quran supaya sesuai dengan sejarah mereka?
B. Mengapa Surah Al-Fatihah yang pendek diletakkan di hadapan surah-surah lain? Bukan kebetulan yang ia mempunyai pautan-pautan dengan konsep-konsep yang kerap digunakan dalam teks Al-Quran.
C. Mengapa kita mendapati, walaupun puak Ahlus Sunnah mempunyai sistem tradisi yang kompleks untuk menerangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku yang mengakibatkan penurunan ayat-ayat (iaitu ‘asbab an nuzool’), mereka menyusun Al-Quran dengan format yang amat berbeza daripada tradisi-tradisi ini?

Daripada fakta-fakta di atas, kita dapat mengakui yang susunan Al-Quran datangnya daripada Allah sendiri. Maka, ia adalah objektif kepada orang-orang yang beriman kepadanya. Dan jika begitu, apakah implikasinya kepada bacaan-bacaan kita?

A. Surah Al-Fatihah yang disebut di atas, adalah bab yang pendek yang diletakkan di hadapan bab-bab yang panjang. Mengapa begitu? Mungkin kerana bab ini menjadi kunci kepada kitab Al-Quran secara kesuluruhan. Apabila kita membaca Al-Fatihah, kita akan ‘membumikan’ bacaan kita kepada konsep-konsep asas kitab (seperti Allah, kitab, deen, ‘ibadah dsb)

B. Surah Al-Baqarah adalah bab yang terpanjang dalam Al-Quran dengan 286 ayat. Ia dapat dipecahkan kepada 18 bahagian mengikut panggilan (seperti ‘hai manusia’). Bukan sahaja itu, ia dipecahkan kepada 2 bahagian besar (mengikut panggilan kepada manusia, ayat 2/21 dan 2/168). Satu daripada bahagian (2/47-103 iaitu kepada Bani Israil dapat dipecahkan kepada 18 seksyen lagi (mengikut frasa ‘wa idh’ iaitu ‘dan apabila’). Ia juga mempunyai pembukaan (Ayat 1-20) dan penutup (Ayat 2/284-286). Jika kita mengambil perhatian kepada susunan ini, kita akan dapat mendapat kesedaaran yang lebih mendalam tentang maksud bab ini.

C. Surah-surah Al-Baqarah, Aali ‘Emran, An-Nisa, Al-Maaidah yang bab-bab yang terpanjang (dari segi bilangan ayat dan juga panjang ayat). Bukan sahaja itu, mereka juga mempunyai tema-tema yang sama iaitu penubuhan masyarakat yang stabil iaitu syurga di dunia. Mereka mempunyai aspek-aspek yang tertentu mengenai tema-tema ini. Al-Baqarah menceritakan tentang jalan ke arah masyarakat ini dari segi komuniti walhal An-Nisa juga sama tetapi dari segi prinsip-prinsip seperti ekonomi. Aali ‘Emran menceritakan tentang rasul dan perhubungannya dengan sahabat-sahabat walhal Al-Maaidah memberi pendekatan dari segi sistem.

D. Surah-surah pendek di belakang Al-Quran  mempunyai 3 lapisan iaitu daripada Surah Al-Hadeed (57)kepada Surah An-Naas (114). Ini adalah setengah daripada bilangan surah-surah Al-Quran tetapi hanya 1/10 daripada juz-juz Al-Quran (iaitu 3 daripada 30 juz). Maka jika pembaca memahami hakikat ini, mereka akan dapat sedar tentang konsep-konsep ringkasan kitab secara keseluruhan.

E. Penutup Al-Quran adalah tiga surah iaitu Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Mereka semua bermula daripada perkataan ‘qul’ iaitu ‘katakanlah’. Al-Ikhlas menerangkan tentang hakikat tawhid. Al-Falaq dan An-Naas mengingatkan kita tentang sumber-sumber yang akan membawa kita kepada kejahatan. Ia adalah sesuai untuk dibawa dalam kehidupan seharian.

About Farouk Peru 14 Articles
Editor dan penulis utama Wacana Pemikir Jaringan Quranis Bersatu

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*