
Wan Ji adakalanya -atau kerapkali- memperlekeh aliran orang lain. Sebenarnya tanpa sedar, ketika mana ia sedang memperlekeh orang yang menurutnya taksub pada mana-mana aliran, dia juga sedang melakukan hal yang serupa. Ketidaktaksuban kita kepada mana-mana pegangan barangkali membuat kita lebih mudah memperlekeh orang lain dan sebenarnya mengajak orang taksub pada kita pula. Walhal sikap sebenarnya ialah cuba menghormati dan cuba memahami pemikiran dan pegangan seseorang itu. Kenapa dia menjadi seseorang itu, kenapa dia bergelut dengan sesuatu itu adalah lebih menarik untuk difahami dan diterokai. Walaupun saya Kiri, saya faham kenapa seseorang itu menjadi Kanan. Dan selagi tidak agresif dan terlalu ultra, mungkin ada sisi Kanan itu yang kita boleh hormati.
Wan Ji tidakpun mengagumi Asghar Ali dan Ali Syari’ati seperti saya dan ramai lagi Muslim Kiri lain kagumi. Bagi saya, Asghar Ali seorang yang superb. Buku Asghar pertama kali saya baca di KUIS, dan saya tak boleh terima fahamannya.
Tapi makin lama hidup, bergaul dan mengamat, atau bak kata Hishamuddin Rais, iaitu bila telah menukar banyak kali kasut raya baru, saya sudah boleh terima argumentasinya yang sangat komunistik itu. Beliau adalah tokoh sepanjang hayat yang sangat mempengaruhi saya selain Ali Syari’ati. Ada beberapa hujah Hassan Hanafi yang bagus dalam bukunya Oposisi Pasca Tradisi, Eko Prasetyo termasuk Abdul Munir Mulkhan adalah guru dan kekaguman saya dalam Teologi Kiri.
Bung Rosli Ibrahim dalam awal pertemuannya dengan saya 2013 di Lepak Maqasid meminjamkan kepada saya buku koleksi peribadinya Teologi Kiri karangan Abdul Munir Mulkhan. Saya kemudian meng-copyleft-kan buku tersebut, selain untuk bacaan peribadi juga untuk jualan. Bagaimanapun saya telah lama menghentikan kegiatan copyleft apa² sahaja buku. Teologi Kiri itu yang telah habis stok pada masa itu, kini telah dicetak ulang dan diberikan kulit yang baru. Pengarangnya yang saya lihat sangat obses dengan Syeikh Siti Jenar pula telah meninggal dunia. Asghar Ali juga telah meninggal dunia. Jadi bila ditanya kepada saya siapakah guru-guru saya atau adakah saya mempunyai guru-guru atau pandai-pandai membuat filosofi sendiri? Saya kata ada. Saya juga ada guru-guru saya. Bagaimanapun boleh dikatakan kebanyakan atau hampir kesemua mereka telah meninggal dunia.
Bila ditanya juga adakah ada guru-guru atau ustaz-ustaz yang saya kagum atau jadikan rujukan dan sandaran di Malaysia? Jawabnya, hampa. Seperti tidak ada sama sekali. Pembacaan orang-orang Malaysia -lebih-lebih lagi para agamawan- santat kontot dan terhad. Mereka hanya membaca dan menulis hal-hal populis. Ketika saya menulis tulisan-tulisan yang kemudian dibukukan dalam buku Anti Universiti (sebelum 2020), pada hari ini, saat ini (hujung 2022), saya masih berfikiran yang sama: pembacaan orang Malaysia termasuk agamawan sangat kontot dan terhad meskipun Rora telah menjadi Profesor Madya dan Kamilin mempunyai PhD. tetap saya rasa hambar dan tawar. Kerana itu saya boleh dikatakan tidak atau jarang membaca apa² sahaja buku tentang atau berkaitan Salafi.
Jadi Asghar Ali lebih saya minati. Meskipun nama beliau tidaklah sepopular Ali Syariati, dan buku²nya juga tidak banyak di Malaysia dibandingkan dengan di Indonesia dan dibandingkan dengan buku² agamawan lain di Malaysia, saya tetap minat Asghar Ali. Saya juga baru perasan, Jomo K. Sundram (ya benar, ahli ekonomi itu) antara yang mengagumi Asghar. Islam dan Cabaran Masakini -kulit hijau- itu dikelolakan oleh pasukan beliau termasuk ada esei yang dikompilasikan dalam sebuah buku berkait dengan ekonomi Islam yang dikelolakan oleh beliau atau pasukan beliau. Maka cukuplah bagi saya jika tak ramai orang kagum atau kenal dengan Asghar Ali pun, sedikit atau segelintir yang handal kenal pun sudah cukup bagus.
Leave a Reply