
Selepas PRU-15 di Malaysia, kita mengalami situasi parlimen tergantung buat pertama kalinya. Sudah tentu ‘insiden’ ini memberi suatu pelajaran yang baharu kepada rakyat Malaysia. Bahkan suatu pengajaran yang besar buat pemimpin-pemimpin parti yang terlalu saling membenci dan bermusuhan sebelum PRU-15.
Bagi penulis, rakyat yang menuntut agar Zahid Hamidi tidak termasuk dalam senarai jemaah menteri adalah rakyat yang tidak berpijak pada realiti. Ingat ! Walau dengan siapa pun Barisan Nasional (BN) bergabung, Zahid Hamidi tetap terpaksa dilantik sebagai menteri tidak kiralah jika BN bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH). Selepas akta lompat parti berkuatkuasa, ketua parti yang menjadi ‘King Maker’ jauh lebih bernilai berbanding sebelum ini. Maka, mustahil untuk Zahid Hamidi tidak diberi jawatan menteri walau dengan siapa pun dia bergabung.
Dalam keadaan parlimen tergantung, idealis paling tak berguna dan mengganggu kestabilan negara. Padahal parlimen tergantung bukan kehendak Anwar, Zahid mahupun Muhyiddin. Idealis ketika parlimen tergantung (tiada pilihan) seumpama budak kecil yang berusaha keras menyampuk orang tua berborak politik. Hanya mengkritik dan mengharapkan keinginannya dipenuhi tapi tidak mempunyai idea penyelesaian yang realistik apabila idea itu diminta.
Golongan idealis tidak menerima kerajaan campuran yang ada hari ini dan mengharapkan kesempurnaan walaupun tiada pilihan yang boleh dibuat dalam realiti yang berlaku sekarang. Walaupun golongan idealis tidak menerima kerajaan hari ini, mereka tak dapat beri idea yang realistik bagaimana caranya untuk mencapai kesempurnaan itu dalam keadaan realiti yang berlaku sekarang. Idealis tak mahu rumah cacat walau sedikit. Idealis rela robohkan seluruh rumah jika rumah tu tak mampu terbina dengan sempurna .
Golongan realistis menerima kerajaan yang terbentuk hari ini dengan hati yang terbuka dan tidak mahu menggugat kestabilan politik negara sekalipun kerajaan itu tidak sempurna. Golongan realistis sedar dengan keterbatasan pilihan solusi yang ada dalam realiti menyebabkan tidak boleh tidak kerajaan yang terbentuk mesti menerima keberadaan Zahid Hamidi dalan kabinet kerana dia adalah “King” kepada parti “King maker” iaitu Barisan Nasional sejurus selepas tamatnya PRU-15 .
Golongan realistis takkan robohkan rumah yang cacat tapi cuba memperbaiki rumah itu walaupun pilihan alat bertukang sangat terhad. Realistis tidak berhenti setakat itu, tetapi berusaha untuk terus mencari peluang kalau-kalau bahagian cacat pada rumah tersebut boleh dibuang dan digantikan dengan binaan yang baharu tanpa perlu merobohkan rumah tersebut.
Siapakah anda? Realistis atau idealis?
Leave a Reply