
Menyusul daripada bab yang lepas, iaitu mengenai struktur Al-Quran yang menjadi pembantu yang utama dalam pemahaman dan pentafsirannya, mungkin ada yang bertanya tentang penulisan dari warisan ilmu Islam Tradisional yang membutirkan tentang penurunan ayat-ayat. Penulisan ini dinamakan sebagai ‘asbab an nuzool’ (sebab-sebab penurunan). Persoalan karangan ini, iaitu ‘adakah Al-Quran turun kesemuanya sekali atau berperingkat-peringkat’ timbul kerana kewujudan penulisan asbab an-nuzool.
Kenapa persoalan ini penting kepada kita yang hidup sudah berzaman pasca penulisan dan pengumpulan Al-Quran? Ia penting kerana jika kita berpegang kepada fahaman yang Al-Quran turun secara berperingkat, maka sifatnya sebagai sebuah teks yang mempunyai penyusunan yang tertentu tidak akan jadi penting buat kita. Pernahkah paca pembaca mendengar satu hujah yang digunakan untuk menegakkan otoriti Hadis dan Sunnah? Ia menggunakan ayat berikut:
‘apa-apa yang diberikan rasul, maka ambillah. Dan apa-apa yang dihentikan rasul, maka tahanlah..’
Ayat ini Al-Quran 59/7 dan digunakan oleh segenap lapis Ahlus Sunnah Wal Jama’ah untuk menegakkan fahaman mereka. Namun begitu, ia bukanlah ayat penuh dan bukan juga dari permulaan ataupun pengakhiran ayat! Ia bahagian pertengahan ayat dan bermula dengan ‘wa’ (dan iaitu ‘dan apa-apa yang diberi Rasul..’)!
Ini mungkin akibat dari pembacaan yang berpaksi kepada penurunan berperingkat.
Saya berpegang kepada penurunan Al-Quran secara keseluruhan sebagai satu teks. Nabi Muhammad telah diberi kitab Al-Quran dalam malam keberkatan (laylah mubarakah). Saya mengambil dalil daripada ayat-ayat berikut:
Ha Meem,
Demi Kitab yang Jelas,
Sesungguhnya kami menurunkannya dalam malam keberkatan, sesungguhnya kami memberi amaran (44/1-3)
Dalam ayat-ayat di atas (dan juga dalam 97/1-5 iaitu malam yang sama), Al-Quran diturunkan dalam satu malam. Tiada ayat yang mengatakan Nabi menerima teks Al-Quran secara berperingkat.
Satu daripada kisah-kisah dalam Al-Quran ialah kisah Musa. Dalam kitab Tuhan ini, tiada personaliti yang lebih rapat dengan Al-Quran dari segi pengalaman dengan teks (human experience with the text). Contohnya, Musa juga menerima teks di atas kertas (6/91-92). Musa juga menerima teks bersama prinsip-prinsip siratun mustaqeem (6/151-155).
Seperti penurunan Al-Quran ke atas gunung dan menghancurkan bukit itu (59/21), Musa juga ‘bercakap’ dengan Allah di mana ketajallian Allah juga telah menghancurkan gunung (7/143). Fokus kita ialah apa yang berlaku kepada Musa selepas dialog ini:
Allah berfirman: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia dengan membawa perutusanKu dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur”.
Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu. Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang yang sebaik-baiknya. Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik – derhaka” (7/144-145)
Penerimaan perutusan dan kalam Tuhan secara langsung yang menggunakan ‘yaa al mutakallim’ sebagai dhomir (first person singular pronoun) menunjukkan proses yang sama dengan penurunan Al-Quran. Seperti penurunan kitab Musa seperti dinyatakan ayat-ayat di atas, Al-Quran juga dirakamkan ke atas alwah yang dilindungi (85/21-22) dan yang paling penting, ia menjelaskan segala sesuatu (tafseelan li kulli shay). Maka seluruh kitab diturunkan sekaligus.
Para pembangkan kepada idea ini akan berkata, bagaimana pula dengan ayat 25/32:
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu atasnya semuanya sekali (dengan sekaligus)?” Dengan begitu, Al-Quran diturunkan untuk Kami menetapkan hatimu dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur rapi.
Jawapan saya ialah, jika kita membaca ayat ini secara keseluruhan dengan sendirinya pun, kita akan tahu bahawa ia bukan berkenaan teks Al-Quran. Ini adalah kerana penetapan hati (tathbit al-fu’ad) datang apabila kita memahami teks dengan lebih mendalam. Bagaimana kita berbuat demikian? Dengan menyiasat tentang penyusunannya yang di atur rapi oleh Tuhan sendiri (sila baca Bab 7). Tuhan juga memberi tahu kita untuk menegakkan malam dengan bacaan Al-Quran:
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan susunan rapi
Sesungguhnya kami akan menurukan ke atasmu kata-kata yang berat (73/4-5).
Kata-kata ini bukanlah ayat baru tetapi maksud ayat yang sedia ada. Kerana teks sudah ada kepada kita, maka kita dapat menyusunnya dan mendapat maksud yang lebih mendalam.
Konteks Quran 25/32 juga dapat memberi gambaran tentang situasi pada detik itu iaitu hari pembalasan. Dua ayat sebelumnya, iaitu Quran 25/30 sendiri, kita dapat melihat aduan rasul kepada Tuhan yang kaumnya telah mengambil Al-Quran sebagai satu yang ditinggalkan. Ini bukanlah sebahagian Al-Quran tetapi secara keseluruhan. 25/31 memberitahu kita yang musuh-musuh nabi akan memotong ayat-ayat (iaitu lawan kepada penyusunan!). Akhir sekali, 25/33 memberitahu kita yang tiap-tiap misalan yang dibawa akan dijawab Tuhan dengan sesuatu yang lebih baik sebagai tafsir! Maka, 25/32 bukanlah mengenai teks Al-Quran tetapi maksud teks.
Leave a Reply