
oleh Abdul Rauf
1. Latar Belakang
Sekitar tahun 1972-1973, ketika menjalankan kerja-kerja renovasi di Masjid Besar Sanaa, Yemen, telah ditemukan sejumlah besar manuskrip dan tulisan-tulisan kuno atas kertas kulit yang berada dalam keadaan yang telah usang. Walaupun pada mulanya nilai penemuan itu tidak begitu disedari oleh para pekerja, presiden Yemeni Antiquities Authority pada ketika itu, iaitu Qadhi Ismail al-Akwa, menyedari bahawa penemuan itu mempunyai potensi nilai sejarah, dan atas usaha beliau, usaha pemuliharaan dokumen dimulakan pada tahun 1980 dengan kerjasama kerajaan Jerman Barat.
Terdapat kira-kira 12 ribu bahagian kertas kulit yang tertera dengan ayat-ayat Quran, yang mana kesemuanya telah diagihkan kepada 926 buah naskhah Quran yang berasingan setakat 1997, kecuali 1500-2000 bahagian. Tiada naskhah yang sempurna: kebanyakan daripada naskhah ini hanya mengandungi beberapa halaman yang masih kekal.
Daripada 1500-2000 bahagian yang tidak dikumpulkan kepada satu-satu naskhah, 280 halaman telah dimikrofilemkan oleh Hans-Caspar Graf von Bothmer dari Universiti Saarland, menjadi 651 imej – sesetengah daripada halaman ini telah dikenalpasti sebagai sebuah palimpsest.
Apa itu palimpsest? Palimpsest ialah istilah yang digunapakai bagai sesebuah manuskrip yang didapati mempunyai tulisan yang telah ditulis bertindih ke atas satu lagi lapisan tulisan yang asal, di mana lapisan yang asal itu dipadamkan dan diganti dengan lapisan tulisan yang baharu. Apa yang menjadi keunikan palimpsest Sanaa ialah, dua lapisan tulisan ayat Quran yang tertera menunjukkan indikasi bahawa tulisan Quran yang asal di bawah tulisan Quran yang baharu di atasnya, bukanlah varian daripada Rasm Uthmani – sebaliknya menunjukkan variasi yang beredar sebelum pengumpulan dan pelarasan (“canonization”) yang diarahkan oleh Khalifah Uthman bin Affan.
Tulisan yang asal dipercayai telah ditulis sekitar 632 -669 Masihi, dengan pentarikhan radiokarbon menunjukkan 95% kemungkinan ketepatan tarikh sebelum 669 Masihi dan 75% kemungkinan sebelum 646 Masihi. Pentarikhan begini membawa makna bahawa palimpsest ini ada kemungkinan dihasilkan pada era yang sama dengan tahun ketika Muhammad wafat, atau sebelum penyusunan Rasm Uthmani – lantas menjadikan palimpsest ini antara manuskrip tertua yang masih ada.
Sementara keusangan manuskrip ini menjadikan tulisannya sangat sulit dibaca, Asma Hilali (yang menulis buku “The Sanaa Palimpsest: The Transmission of the Quran in the First Centuries AH”) berkenaan manuskrip ini) telah dapat mentranskripsikan kandungan tulisan asal bagi 11 folio, dan mendapati bahawa terdapat 61 perbezaan yang tidak bersifat ortografik (yakni perbezaan kalimat, ayat dan makna) antara tulisan asal dengan manuskrip Quran kontemporari (edisi Kaherah 1924). Ini menjadikan palimpsest Sanaa sebagai sebuah manuskrip pra-Rasm Uthmani, yang mana belum pernah ditemukan sebelum ini mana-mana manuskrip yang menunjukkan tulisan Quran pra-Rasm Uthmani sama ada secara penuh atau sebahagian.
2. Pensejarahan Teks Quran:
Dalam buku “Textual Criticism And Qur’an Manuscripts” karya Keith E. Small, beliau membahagikan sejarah pembentukan Quran kepada 6 peringkat:
a) Peringkat Kenabian Muhammad (610-632)
Pada peringkat ini, tiada teks yang bersifat autoritatif – sebaliknya terdapat individu yang mempunyai naskhah buatan mereka sendiri, dan teks tidak mempunyai keutamaan atau kepentingan yang sama tinggi dengan transmisi lisan. Gregor Schoeler berpendapat adalah mustahil (atas sebab tiadanya bukti teks fizikal yang masih kekal dari peringkat ini) untuk mengetahui bagaimanakah caranya untuk mengetahui bacaan atau kandungan Quran dari peringkat ini, sementara Efim A. Rezvan menyatakan bahawa sedari awal lagi sudah terdapat versi-versi teks yang berkait dengan tradisi transmisi yang berlainan, lantas tidak ada apa yang dinamakan ‘versi asal (stemma) tunggal’; “strictly speaking, from the time of the Prophet there was no one stemma of the Qur’an text.”
b) Peringkat Pengumpulan Oleh Para Sahabat (632/10-653/30)
Adalah sulit untuk mendapati bentuk teks dari era ini kerana penghancuran dan penekanan variasi yang diarahkan oleh Uthman bin Affan. Namun manuskrip-manuskrip yang ditemukan di Yemen menjadi asas buat Gerd R. Puin untuk mempercayai bahawa terdapat sejumlah variasi susunan surah dan ayat Quran yang melebihi apa yang dinyatakan dalam sumber-sumber tradisi Islamik.
c) Peringkat Uthman dan Al-Hajjaj (653/30 – 705/86)
Versi Uthman (ataupun ada yang membilang bahawa ia versi Hafsa binti Umar) boleh dianggap sebagai bentuk teks kanonikal pertama. Dalam pembentukan ini, telah berlaku arahan untuk memusnahkan variasi yang lain – yang mendapat tentangan daripada Abdullah ibn Mas’ud yang dikatakan telah mengarahkan pengikutnya untuk tidak menyerahkan naskhah mereka untuk dibakar oleh Uthman dan lari ke Kufah, atas alasan bahawa naskhah beliaulah yang lebih autoritatif dari naskhah Uthman; terdapat isu bahawa naskhah Uthman mengambil input dari naskhah Zaid ibn Thabit yang dianggap Abdullah ibn Mas’ud sebagai tidak boleh dipercayai.
Al-Hajjaj pada lewat abad kelapan Masihi/abad pertama Hijriyah memperincikan dan menambahbaik asas konsonantal yang ada pada edisi terawal ini, di mana tanda-tanda diakritik (fathah, kasrah dan dammah) mula ditambahkan. Usaha Al-Hajjaj ini merupakan usaha bersifat interpretatif atas edisi kanonikal Uthman, dan sejurusnya hasil interpretatif itu sendiri menjadi kanonikal.
d) Suntingan dan Pengembangan Ortografi (705/86 – 936/324)
Dengan meluasnya pengaruh Islam di rantau-rantau sekeliling tanah Arab, ortografik bahasa Arab dan Quran juga mengalami perubahan bersifat alami. Dalam latar belakang ini, terdapat satu suntingan bersifat besar-besaran (major edition), iaitu suntingan oleh Ibn Mujahid (meninggal 936/324). Sementara suntingan ini ada kesatuan dalam asas konsonantalnya, terdapat kefleksibelan dalam vokalisasi yang bertujuan untuk memberi asas autoritatif kepada tujuh buah variasi, dan kemudian ditambah menjadi 10 variasi, dengan memberi pengiktirafan kepada 4 lagi variasi yang lain.
Ada juga edisi-edisi Quran dari era ini yang didakwa merupakan bacaan Ibn Mas’ud dan Ubay bin Ka’ab. Contohnya ialah dakwaan oleh Al-Kindi, seorang pegawai Kristian dalam kerajaan khalifah Al-Ma’mun yang menyatakan bahawa masih terdapat bacaan ibn Mas’ud dan Ubay bin Ka’ab sekitar tahun 830/215. Dakwaan ini penting kerana ia ialah pernyataan dari pihak ketiga (bukan Islam) yang menggambarkan apa yang ditulis oleh orang Islam pada generasi itu. Ibn Nadim dalam karyanya Kitab al-Fihrist juga menyatakan bahawa masih ada naskhah Ibn Mas’ud , Ubay bin Ka’ab dan satu naskhah versi Ali ibn Abi Talib.
Apa-apapun, yang menjadi kepastian ialah, dari era ini, terdapat banyak variasi teks dan pembacaan Quran, yang berbeza-beza mengikut lokasi – didakwa terdapat kira-kira lima puluh sistem pembacaan pada awal 900-an, dan satu konsensus (ijtimak) telah dicapai sekitar tahun 936 tentang cara pembacaan yang betul, atas asas sama ada ia boleh didapati dari teks konsonantal yang diterima, sama ada ia boleh dipertahankan secara linguistik mengikut hukum nahu Arab, dan sama ada ia mempunyai makna yang sesuai dengan tafsiran teks. Ini menunjukkan usaha untuk mengehadkan bilangan sistem yang saling bersaing, dan terdapat sesetengah ilmu pembacaan yang mula hilang.
e) Konsolidasi (Penyelarasan) Sepuluh Bacaan (936/324 – 1924/1342)
Daripada 10 variasi yang diberi asas autoritatif oleh Ibn Mujahid, terdapat pengembangan dan perubahan lanjutan yang membawa kepada wujudnya 80 versi (riwayat) yang diiktiraf bagi sepuluh sistem pembacaan ini. Semua pembacaan ini bersifat interpretatif dan terhasil daripada hakikat bahawa masih terdapat sedikit pembezaan antara tradisi tekstual dan tradisi alunan (recitation) lisan, serta penekanan yang diberikan kepada tradisi alunan lisan.
f) Pengutamaan Teks Hafs (Hafsonormativity) (1924/1342 – sekarang)
Pencetakan Quran pada tahun 1924 atas naungan Raja Fuad I di Mesir, yang berasaskan kepada teks riwayat Hafs bagi bacaan Asim, bacaan kelima dari tujuh bacaan autoritatif awal Ibn Mujahid, serta penyebarluasan besar-besaran versi Quran ini membawa kepada apa yang dinamakan oleh sesetengah ilmuan kontemporari hari ini sebagai ‘Hafsonormativity’ – di mana Quran Hafs bacaan Asim menjadi sistem standard untuk kebanyakan umat Islam di dunia ini pada masa kini.
Adapun satu perkara yang penting mengenai usaha ini ialah, teks 1924 ini bukanlah diambil dari manuskrip Quran yang nyata (actual), tetapi ialah rekonstruksi daripada rekod bertulis tradisi lisan riwayat Hafs bacaan Asim. G. Bergstrasser memerhatikan bahawa sumber teks konsonantal ini bukanlah manuskrip Quran bertulis tangan, tetapi kesusasteraan yang berkisar tentangnya.
Raja Fuad I menitahkan pencetakan Quran dan penyebarluasan besar-besarannya dengan tujuan menekankan kepimpinan Mesir sebagai pemimpin baharu umat Islam pasca kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah.
Semetara 80 versi riwayat masih mempunyai tempat dan diberi keutamaan dalam tradisi, tradisi-tradisi riwayat ini sedang diketepikan dan disisihkan oleh proses Hafsonormativity.
3. Contoh Perbezaan Antara Teks Asal Palimpsest Sanaa Dengan Quran Edisi 1924
Tidaklah dapat diutarakan semua perbezaan yang didapati antara teks asal Palimpsest Sanaa dengan Quran Edisi 1924 yang lazim ditemukan pada hari ini, atas faktor kekangan ruang dan skop artikel ini. Namun saya memberikan 6 contoh untuk rujukan kita bersama:
No: | Ayat Quran | Palimpsest Teks Asal | Edisi 1924 |
1 | 2:88 | بل لعنهم الل(ه) ىطلمهم Bal la3nahumullah bi-dzulmihim | بَل لَّعَنَهُمُ ٱللَّهُ بِكُفْرِهِمْ Bal la3nahumullah bi-kufrihim |
2 | 8:74 | و(الذ)ين امنواو…. او جهد…معک فى سب…الله ىامولهم و انفسه…والىک هم المومنو…حق… Walladhina amanu.. wa jahadu…ma3aka fi sab(il)illah bi amwalihim wa anfusihi(m)…wa ulaika humu (a)l-mu’minuna 7aqqa | وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوٓا۟ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ حَقًّۭا ۚ Walladhina amanu wa haajaru wa jahadu fi sabilillah walladhina aawau wwanasaru ulaika humu (a)l-mu’minuna 7aqqa |
3 | 9:13 | وان نکىوا اىمنهم م…ىعد ع…و…د ىىکم فقىلو ا…ا لک…لا اىم…ل..م …ه…ن* و ما لکم…لا ىف(؟)ون…ا…اا…هم وهم ىدوکم اول مره ه…ا ى…ح…ا ال…سول Wa’in nakathuu aimanahum ….wa hum bada’uukum awwala marrah (hammu bi (ikhraj) ar-(r)asul) | نَّكَثُوٓا۟ أَيْمَـٰنَهُمْ وَهَمُّوا۟ بِإِخْرَاجِ ٱلرَّسُولِ وَهُم بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ Nakathuu aimaanahum wahammu bi-ikhraaji (ar-)rasul wa hum bada’uukum awwala marrah |
4 | 9:18 | ح(ج)هد فى سىىل الله و لام ىحس الا الل(ه) Jahada fi sabilillah walam yakhsya illallah | وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ Wa aqaama as-salaata wa aataa az-zakaata walam yakhsya illallah |
5 | 9:18 | ان ىک…ىو من المفلحىن An yakuunuu min al-muflihin | أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ An yakuunuu min al-muhtadiin |
6 | 9:80 | لا ىعفر الله لهم ان الله لا ىهدى الق…ف…ق…ن La yaghfirullahu lahum innallaha la yahdi (a)l-qa(um) (al)-fa(si)qi(i)n | فَلَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ Falan yaghfirallahu lahum dhalika bi’annahum kafaru billahi wa rasulihi wallahu la yahdi (a)l-qauma (a)l-faasiqiin |
Sebagaimana yang boleh dilihat, terdapat perbezaan antara kalimat, ayat dan makna antara palimpsest dan juga Quran Rasm Uthmani cetakan 1924 Kaherah yang umum dipakai pada saat ini.
4. Implikasi
Terdapat beberapa tafsiran sejarah mengenai keberadaan palimpsest Sanaa. Namun terdapat beberapa pendapat:
a) Naskhah palimpsest Sanaa teks asal merupakan cerminan tentang perihal keadaan dan bentuk Quran yang belum distandardisasikan (sebelum Uthman mengumpulkan Rasm Uthmani).
Adapun ada yang membuat hipotesis bahawa teks asal ini merupakan peninggalan dari keluarga teks yang berkait dengan naskhah Quran yang dibikin oleh Abdullah ibn Mas’ud (yang merupakan salah seorang yang dinyatakan mempunyai naskhah bikinannya sendiri sebelum arahan penstandardan oleh Uthman). Pendapat ini dikongsi oleh Gerd-Rudiger Puin, Elisabeth Puin, Behnam Sadeghi dan Mohsen Goudarzi.
b) Naskhah palimpsest Sanaa merupakan satu naskhah yang sebetulnya merupakan salinan yang ditulis oleh pelajar yang sedang mendalami ilmu penulisan Quran.
Sementara Asma Hilali tidak menafikan atau menolak hipotesis bahawa teks asal merupakan tinggalan keluarga teks kodeks (codex) ibn Mas’ud, Asma Hilali juga berhujah bahawa terdapat ciri-ciri ‘latihan’ yang dapat dilihat pada kedua-dua teks asal dan teks lapisan yang lebih baharu pada palimpsest Sanaa.
c) Namun pendapat Asma Hilali ini telah dikritik oleh Nicolai Sinai yang membawa hujah bahawa palimpsest Sanaa itu memang merupakan bahagian satu naskhah Quran yang penuh dan tidak bertujuan semata-mata untuk latihan, bahkan memang adalah sebagai sebuah usaha dalam menyalin semula satu naskhah Quran yang sempurna – yang sememangnya ditulis dengan susunan ayat, pemilihan kalimat dan makna yang ditunjukkan oleh susunan tersebut.
Berkaitan dengan perbahasan ini, Yasin Dutton dan Khalil Andani telah mengutarakan pendapat bahawa Quran pada awalnya merupakan satu kumpulan set pembacaan (qiraat) yang bersifat ‘fluid’ yakni boleh berubah-ubah dan bersifat ‘multiform’ (berbilang bentuk), di mana Khalil Andani telah menambah bahawa erti kalimat ‘kitab’ dan ‘Quran’ itu sendiri dalam bahasa Arab Hijazi abad ke-7 tidak bererti seperti mana yang difahami kita sekarang; ‘kitab’ pada abad ke-7 menurut Andani merujuk khusus kepada ‘batu bersurat’ dan ‘Quran’ ialah ‘recitation’, yakni sesuatu yang dialunkan, bukan dibaca. Menurut Andani, kebolehubahan bentuk alunan Quran inilah yang diertikan oleh hadith ‘Quran empunya 7 ahruf’.
Andani juga mempunyai pandangan yang mengujar bahawa ‘kitab’ dalam erti teologi tidak selalu bererti ‘kitab mushaf’ – Quran, apabila menyebut perkataan ‘kitab al-mubiin’, misalnya, merujuk bukan kepada teks Quran itu sendiri, tetapi kepada kitab yang menjadi kalam Allah yang tertera di Luh Mahfuz. Pandangan ini merujuk kembali kepada perdebatan di mana dibahaskan sama ada kalam Allah itu makhluk (atau sebenarnya lebih tepat lagi, perbuatan atau tindakan “faal” Allah, yang bererti bahawa Quran dan kalam Allah itu hawadith atau baharu), atau qidam (sebagaimana yang difahami bahawa kalam adalah sifat Allah, dan justeru Quran ialah sifat dan zat Allah).
Penemuan palimpsest Sanaa justeru bolehlah ditakrifkan sebagai salah satu bukti fizikal bersifat tidak langsung, bahawa pemahaman kita tentang apa itu Quran itu sendiri, mempunyai sejarah dan tidak selamanya difahami oleh seluruh umat Islam sepanjang sejarah, sebagai sesuatu naskhah mushaf bertulis yang sentiasa sama dalam olahan dan susunannya – bahkan terdapat perbezaan pendapat tentang soalan apa itu Quran itu sendiri.
Rujukan:
1. “The Sanaa Palimpsest: The Transmission of the Quran in the First Centuries AH”, Asma Hilali, Cetakan Pertama 2017, Islamic Publications Ltd 2017
2. “Beyond The Cairo Edition: On the Study of Early Quranic Codices”, Nicolai Sinai, Oxford University, Journal of the American Oriental Society 140, no. 1 (2020): 189–204
3. “The Sanʿaʾ Palimpsest: Materializing the Codices.”, Eleonore Cellard, College de France, 2021, Journal of Near Eastern Studies
4. “Orality, Literacy and the ‘Seven Ahruf’ Hadith”, Yasin Dutton, University of Cape Town, Journal of Islamic Studies, Oxford University Press, 2012
5. “Textual Criticism And Qur’an Manuscripts”, Keith E. Small, Edisi Cetakan Kertas Pertama 2012, Lexington Books
Leave a Reply