Perjalanan Pemikiran Vol 6: Kurang tertarik dengan agamawan di Malaysia

Ketika berdebat dengan antek-antek agamawan di Malaysia –antaranya seperti pengikut-pengikut Ustaz Noor Deros, Adam Iman dll lagi– mereka mencemuh saya dengan mengatakan saya banyak merujuk buku-buku terjemahan dari Indonesia. Saya kehairanan. Jadi apa masalahnya?

Jujur saya katakan, di Malaysia kurang buku yang menarik minat saya terutama dalam bab agama. Jadi saya lebih banyak membaca buku-buku dari Indonesia. Seperti saya sebutkan sebelum ini, buku Abdul Munir Mulkhan bertajuk Teologi Kiri antara yang saya tekuni. Seterusnya buku-buku Ali Syari’ati, juga terjemahan. Buku Asghar Ali seperti yang saya sebutkan, itu juga terjemahan. Jadi saya memang kurang dengan pemikiran orang Malaysia, atau orang agama di Malaysia.

Bukanlah kerana saya antikan agamawan atau Salafi, maka saya mengabaikan terus buku-buku mereka. Saya antara peminat Maza satu masa dahulu. Saya mula tertarik dengannya ketika beliau berdebat dengan Astora Jabat. Saya difahamkan ini adalah debat kali kedua antara beliau dengan Astora Jabat. Di Dewan Bahasa Pustaka jika saya tak salah atau Karangkraf? Saya sudah lupa. Di mana saya tak ingat juga saya sendiri yang membeli vcd 3 keping berisikan perdebatan itu atau kakak saya yang membelinya.

Dalam debat itu, Astora memang nampak agak terkial-kial dalam membalas hujahan Maza. Saya ketika itu menganggap Astora sebagai musuh Islam kerana sering mengeluarkan pandangan-pandangannya yang kontroversial dan menghuru-harakan pemikiran umat Islam. Beliau sebelumnya banyak menulis di Mingguan Malaysia ketika itu. Juga Majalah Al-Islam.

Di kampung saya ketika itu, atau di sekitar kawasan saya, seorang ustaz dari Kedah yang terkenal bernama Ustaz Shahril Long. Beliau selalu mengatakan sama ada berseloroh atau memang meyakini dia seperti Ahmad Deedat. Jika Ahmad Deedat boleh menghafal Bible, beliau bukan sahaja mengingati ayat Al-Qur’an dengan lancar, bahkan juga tafsir-tafsir Al-Qur’an. Rupanya baru saya tahu di kemudian harinya, anak perempuannya satu pengajian dengan saya di KUIS dalam jurusan Qur’an Sunnah.

Shahril Long ini sangat lantang. Zaman itu zaman vcd. Pasti di hujung-hujung ceramahnya atau menjadi ‘trademark’ baginya ialah ‘ceroi’. Ceroi ini secara mudahnya, kureng baguslah. Saya pun tak pasti ini istilah buatan dia sendiri atau sememangnya ada dalam dialek Kedah.

Shahril Long ini juga sangat bersemangat. Dan semangat takfirinya itu kuat sekali. Mana-mana yang tak berhukum dengan hukum Allah itu kafir. Dan dia membacakan ayat-ayat Qur’an. Memang ada ayat begitu. Jadi Astora ini memang antara yang dihentam, dikecam dan dicerca oleh Ustaz Shahril Long dan ramai lagi ustaz-ustaz yang pro pada PAS. Saya rasa kalau pada masa itu, Astora menaiki basikal dari Thailand melalui Kedah, pasti nyawanya telah lama terbang. Syukur Malaysia masih aman.

Shahril Long ni bukan dari tradisi Asya’irah (tradisional) atau Pondok atau Wahabi. Saya fikir Wahabi pun tidak ngam dengan cara seperti beliau. Apatah lagi Salafi-Wahabi di Malaysia agak pro pemerintah. Shahril Long dan kebanyakan ustaz-ustaz radikal kebanyakannya lebih dari tradisi PAS. PAS ada unsur bughah atau Khawarij yang ketara. Saya tidak maksudkan secara negatif dalam pemerihalan ini, sekadar menyatakan.

Jadi dalam debat itu, Maza telah menang mengatasi Astora. Saya pun agak aneh dengan nama Astora itu. Rupanya saya tahu dia ialah orang Siam. Ketika mengadakan sesi Kuliah Buku di Masjid Jamek, pada sesi Zin Mahmud kawan lamanya di Utusan, Astora ada hadir sama. Saya ingat sebelum itu lagi, kami pernah berjumpa, mungkin tahun 2014 di rumah aktivis wanita, Norhayati Kaprawi.

Jadi saya makin kagum dengan Maza semenjak perdebatan itu. Ketika masuk ke KUIS tahun 2006 –Mei – saya mulai membaca Majalah I, iaitu majalah bulanan yang sangat pro pada Salafi. Antara tokoh panutan dalam Majalah I seperti Maszlee Malik, Maza sendiri, Ustaz Hasrizal (pada ketika itu popular dengan blog SaifulIslam.com) UZAR yang selalu bercakap perihal kewangan dan muamalah dalam Islam, dan entah apa nama lagi yang saya sendiri pun sudah lupa.

Geng Asya’irah pula bernaung di bawah Yadim, di bawah Ustaz Nakhaie, mereka menerbitkan Majalah Millenia. Majalah Millenia nampak lebih berat. Kata Faizal Riduan yang pernah menjadi editornya, Wan Ahmad Faysal antara yang pernah menulis di majalah itu. Saya ingat-ingat lupa.

Bila saya balik ke kampung, saya berasa bangga bila dapat memperkenalkan kepada kawan tingkatan enam saya dulu, tentang Maza. Saya dengar kuliahnya juga sedap.

Pada ketika Maza naik itu, saya ingat di hujung-hujung semester saya di KUIS, nama seorang ustaz dari Terengganu mulai tersohor. Saya ingat sekitar 2009 atau 2010. Ustaz Azhar Idrus. Ceramah-ceramahnya di peringkat awal nampak bagus, walaupun ketika saya berjumpa seorang cikgu dari Kelantan yang mengusahakan kebun di Pengkalan Hulu Perak dia mengatakan, Ustaz Azhar Idrus ni ‘pelawook’ sahaja.

Berbalik kepada Majalah I tadi memang saya menguliti tulisan-tulisan Maza yang nampak tenang, segar dan penuh dalil. Membaca tulisan-tulisan Maza seperti sedang mendengar beliau sedang berceramah. Kawan saya Busyro –sudah meninggal– juga seorang Salafi. Ada seorang lagi kawan sebilik saya, Yasir, seorang Asya’irah kental, dengan tradisi pondoknya. Yasir ini saya kenal semasa di sekolah menengah lagi. Tak sangka jumpa lagi di KUIS. Jadi Yasir dan Busyro ini memang berlaga. Saya kemudian baru tahu, rupanya dalam Islam ini ada perdebatan yang seru dan runcing antara Ayat Sifat. Seru dan runcingnya sampai tahap saling kafir mengkafirkan. Atau seperti kucing berjumpa dengan kucing yang musuhnya itu. Analogi paling benar untuk merujuk pada dua sekte ini.

Saya rasa Busyro juga hendak mendakwahi saya ketika itu. Tapi nampaknya seperti dulu, kini, dan mungkin selamanya, saya akan jadi non komformis dan freethinker di mana-mana. Tak dapat nak mengikuti aliran Salafi.

Tapi pada ketika ini saya bukanlah atau belum lagi menjadi pembaca tegar atau pembaca kritis. Lebih berminat nak bergaul dengan sebanyak-banyaknya jenis aliran. Saya dan Busyro sempat berada dalam Jamaah Islam Kampus.

Majalah I dan seterusnya majalah-majalah seumpama, Ustaz dll, akhirnya hanyalah persoalan berulang dan mengitar benda sama. Tidak ada benda baru yang menarik. Persoalan Dajal antara yang sensasi. Kemudian bila dah basi, maka berhenti. Tahun hadapan ulang lagi dengan kulit yang baru. Saya ingat kalau hari ini Majalah I itu ada lagi, pasti Noor Deros akan menulis di situ. Pasti topic yang dibawanya ialah topik-topik akhir zaman atau yang boleh laku keras untuk orang Islam Melayu di Malaysia ialah Teori Konspirasi.

Selain kenangan masa lalu dengan kawan-kawan nampaknya, semua ini tidak begitu membekas. Semuanya telah dibawa angin lalu.

About Benz Ali 6 Articles
Seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*